Pautan Suara Sukan

Wednesday, November 19, 2014

PIALA AXIATA JUNIOR TAMPILKAN 24 JUARA PERINGKAT NEGERI!

Selepas pencarian selama tiga minggu pemain badminton paling berbakat di kalangan remaja, Piala Axiata Junior menampilkan 24 pemenang yang kini akan melangkah ke pentas lebih besar beraksi di Pusingan Akhir Kebangsaan bulan depan.

Pencarian bakat Piala Axiata Junior telahpun menjelajah ke 12 buah negeri, dari Perlis di utara hingga ke Johor di selatan semenanjung, dan tidak ketinggalan Kelantan, Terengganu dan Pahang di Pantai Timur.

Hampir 1,300 pelajar dari sekolah kerajaan, institusi swasta dan akademi badminton mempertontonkan bakat mereka selepas melalui proses saringan yang diketuai pemenang pingat perak acara beregu di Sukan Olimpik Atlanta, Cheah Soon Kit, dan panel penilainya.

Kesemua 12 pemain lelaki dan 12 pemain wanita yang muncul juara di peringkat negeri masing-masing selepas berakhirnya pusingan awal kini akan bertanding di Pusingan Akhir dari 4-7 Disember depan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras - dengan sasaran untuk bergelar juara kebangsaan Piala Axiata Junior, membuka laluan kepada mereka untuk menyerlah menjadi bintang masa depan arena badminton tanah air.


Di Negeri Sembilan, pelajar tingkatan empat SMJK Chan Wa 2, Ngai Yong Kien menewaskan Lee Jia Jun 21-9, 21-18 untuk muncul juara kategori lelaki manakala Kelly Siow Zhi Xin dari SMK King George V mengetepikan tentangan Lee An Nie 21-12, 21-18 pada aksi akhir yang berlangsung 15 minit.

Pakar acara beregu, Helmie Zulhaidee Zulman, 16, dari SMK Segambut mencipta kejutan apabila menjuarai kategori perseorangan lelaki di Kuala Lumpur menerusi kemenangan 21-18, 21-16 ke atas Lim Jia Lek, 15 tahun dari Chong Hwa Independent High School, Jalan Ipoh. Kedua-dua pemain merupakan pelatih di Akademi Badminton Synergy dan sudahpun sedia memahami corak permainan masing-masing.

“Saya tidak pernah langsung bermain dalam acara perseorangan dalam mana-mana kejohanan sebelum ini kerana saya adalah pemain beregu. Jurulatih beritahu saya tentang Piala Axiata Junior dan meyakinkan saya untuk menyahut cabaran,” ujar Helmie. “Saya cukup teruja dengan kemenangan ini dan akan berusaha keras untuk menghadapi Pusingan Akhir.

Bagi kategori wanita, pemain SMK Seri Bintang Selatan, Dyvylyn Saha menewaskan Ng Joe Ee 21-5, 21-8 pada perlawanan akhir yang berlangsung 30 minit. Tatkala Dyvylyn mendapat ‘bye’ di pusingan pertama, Joe Ee pula beraksi di kesemua pusingan penyingkiran dan ternyata kepenatan menjejaskan permainannya pada perlawanan akhir.

Dyvylyn, berusia 13 tahun adalah anak kepada Davincy Saha, dan cucu kepada Hj Sanusi Mohamad yang merupakan jurulatih dan bapa kepada antara keluarga pengiat badminton paling tersohor, adik-beradik Saha, yang mana kesemuanya pernah mewakili negara dalam sukan badminton. Davincy sendiri pernah beraksi di empat Kejohanan All-England, dengan pencapaian terbaiknya adalah tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas kepada Zhao Jianhua dari China.

Di Johor, Low Yi Sheng, 13, dari SMK Seri Perling menang set pertama 21-9 ke atas Richie Ting Wei Jing, lawan yang lebih tua tiga tahun daripadanya. Pada set kedua, Low mendahului 5-0 sebelum Richie, pelajar tingkat empat di SMK Skudai, menarik diri selepas mengalami kekejangan otot di kedua belah kakinya.

Nur Azlinda Azlin Hassim dari SMK Convent Muar muncul juara kategori wanita selepas bekerja keras dalam pertarungan tiga set menentang Tang Ying Hui, untuk mencatat kemenangan 14-21, 23-21, 21-18 pada aksi akhir.  

Kesemua juara dan naib juara peringkat Negeri menerima RM500 setiap seorang di atas usaha mereka, manakala sekolah yang mereka wakili turut menerima RM300 sebagai token penghargaan. 

SENARAI PEMENANG (Juara Negeri)
PERLIS – Lelaki : Yee Bin Xian (SMK Syed Hassan, Kangar); Wanita: Nur Rizuwani (SMK Syed Hassan, Kangar).

JOHOR – Lelaki: Low Yi Sheng (SMK Seri Perling); Wanita: Nur Azlinda Azlin bte Hassim (SMK Convent Muar).

KEDAH – Lelaki: Ng Yong Chai (SMK St Michael, Alor Star); Wanita: Eng Sin Jou (SMK St Michael, Alor Star)

KUALA LUMPUR – Lelaki: Helmie Zulhaidee Zulman (SMK Segambut); Wanita: Dyvylyn Sahar bte Davincy Sahar (SMK Seri Bintang Selatan).

MELAKA – Lelaki: Tai Chuan Zhe (SMK Katholik); Wanita: Hamisya bte Hashudin (SMK Seri Kota).

PAHANG – Lelaki: Nabeel Azriq B Nazri (SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan); Wanita: Wong Jia Mei (SMK Air Putih, Kuantan).

KELANTAN – Lelaki: Mohammad Akram bin Mohd Razi (SMK Putera, Kota Baru); Wanita: Tuan Nur Aina Nazirah bte Tuan Daud (SM Agama (1) Nurul Ittifak, Pasir Puteh).

TERENGGANU – Lelaki: Muhammad Shahfuan bin Mat Desa (SMK Bukit Nenas, Setiu); 
Wanita: Hafizah Adila bte Hasran (SMK Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu).

SELANGOR – Boys: Wong Kin Pan (Sri Sempurna International School, Cheras); Wanita: Chen Ai Yin (SMK Katholik, Petaling Jaya)

PERAK – Lelaki: Tan Choong Yen (Tenby Ipoh International School); Wanita: Ting Ee Chin (SMJK Yuk Choy).

PULAU PINANG – Lelaki: Ng Wei Shun (SMK Jalan Damai); Wanita: Ooi Shi Jie (SMJK Jin Sin)

NEGERI SEMBILAN – Lelaki: Ngai Yong Kien (SMK Chan Wa 2, Seremban); Wanita: Kelly Siow Zhi Xin (SMK King George V, Seremban)


No comments:

Post a Comment