Pautan Suara Sukan

Wednesday, January 22, 2014

ATM bungkus awal

Badi tersingkir awal terus menghantui Angkatan Tentera Malaysia yang sekali lagi ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama apabila tewas 1-2 kepada Sime Darby di Stadium Selayang malam tadi.

Kekalahan ini menyaksikan The Gladiators berputih mata untuk mara ke pusingan kedua buat musim ketiga berturut-turut, mengiringi kekecewaan di tangan Selangor dan Perak pada dua edisi sebelum ini.

Penampilan pertama B.Sathianathan bersama ATM pada 2011 menyaksikan ATM kecundang 0-1 kepada Perak manakala pertemuan menentang The Red Giants musim lalu berlangsung dalam keadaan dramatik, namun berakhir dengan kesudahan sama apabila tersingkir menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 pada akhir 120 minit.

Marlon cuba melepasi halangan pemain Sime Darby dalam pertemuan antara kedua-dua pasukan semalam. Kredit foto : Berita Harian. 

Pemain tengah Syria, Mahmoud Al Amna meranapkan impian ATM apabila meledakkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat pada ketika perlawanan seakan diheret ke masa tambahan berikutan jaringan penyamaan Rezal Zambery Yahya pada minit ke-66 yang melenyapkan pendahuluan minit ke-15, Al Amna.

Pertahanan tinggi lampai, Amiridzwan Taj Tajuddin berkata wujud hikmah di sebalik kekalahan ini yang membolehkan mereka menumpukan kepada kempen liga yang bersambung dengan pertembungan menentang PKNS, Jumaat ini.

“Saya akui kecewa selepas ATM tersingkir buat kali ketiga berturut-turut pada pusingan pertama. Pada perlawanan semalam, saya beraksi sepanjang 25 minit selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua. Mungkin kami mengambil terlalu mudah cabaran Sime Darby dan beraksi dengan sambil lewa. Pemain seharusnya mengambil pengajaran terhadap kekalahan ini dan bangkit pada aksi seterusnya (menentang PKNS) dalam liga,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment