Pautan Suara Sukan

Thursday, August 29, 2013

Nik Shahrul sedia balas kepercayaan

Dia pernah menolak peluang untuk membarisi pasukan Harimau Muda ketika diberi peluang tidak lama dahulu, begitupun pertahanan versatile Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dan bersedia membalas kepercayaan Ong Kim Swee apabila namanya disenaraikan pengendali itu untuk membawa cabaran di Pestabola Merdeka bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun yang boleh beraksi di segenap posisi pertahanan sama ada pertahanan tengah, kanan mahupun kiri ini sudahpun mengukuhkan reputasinya selaku salah seorang pemain pertahanan terbaik dimiliki negara selepas membentuk kombinasi mantap bersama Obinna Nwaneri di barisan belakang The Red Warriors musim ini.


“Tahun ini adalah peluang terakhir saya untuk mewakili Harimau Muda, selepas ini saya sudahpun melebihi had umur. Jadi saya mahu memanfaatkan peluang yang hadir ini dengan memberikan aksi terbaik dan memikat perhatian Kim Swee, mungkin ada rezeki saya untuk membentuk senarai akhir pemain ke Sukan Sea nanti jika mampu menyerlah di Pestabola Merdeka dan mengekalkan prestasi yang ditunjukkan bersama Kelantan,” kata Nik Shahrul.

Hanya mendapat peluang untuk berada di dalam kesebelasan utama Bojan Hodak pada tahun ini ekoran kecederaan jangka panjang dialami S.Subramaniam dan Azizi Matt Rose, Nik Shahrul pantas menyerlah membuktikan kredibilitinya sehinggakan berlaku episod tarik tali antara pengendali skuad senior negara, Datuk K.Rajagobal dan Kim Swee untuk menggunakan khidmatnya.

Meskipun tidak seperti rakan lain di dalam skuad Harimau Muda yang berpengalaman beraksi di Eropah dan kejohanan berprestij seperti Sukan Universiade Dunia di Kazan baru-baru ini, Nik Shahrul berpendapat dia tiada sebab untuk rasa terasing atau janggal kerana dia juga pernah beraksi di pentas Piala AFC bersama Kelantan selain tiga aksi final liga domestik, termasuk Piala FA pada Jun lalu.

“Saya percaya dengan kebolehan saya, sebagai pemain setiap perlawanan adalah pengalaman baru. Baik ianya domestik atau antarabangsa. Saya telah mendapat kepercayaan untuk beraksi menentang Chelsea dan Barcelona, saya kutip banyak pengalaman.

“Di peringkat tempatan, saya pernah beraksi dalam suasana final dikelilingi 90,000 penyokong, jadi tiada sebab untuk gemuruh atau rasa kekok. Saya berjanji, jika diberi peluang saya akan tampilkan aksi terbaik saya,” kata pemain kelahiran Rantau Panjang ini.

Andai mahu merebut tempat di dalam kesebelasan utama, Nik Shahrul sedar ianya bukan mudah kerana dia perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman seperti Fadhli Shas, Amir Zafran dan juga Shukur Saad.

No comments:

Post a Comment