Pautan Suara Sukan

Tuesday, June 11, 2013

Duo perenang kebangsaan sandaran Selangor

Pengalaman luas dua perenang kebangsaan, Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee Ying Huey menjadi taruhan skuad renang berirama Selangor untuk mencapai sasaran membawa pulang dua pingat emas dari temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Pengurus pasukan, Yap Soon Kiat yakin ia sasaran realistik dengan mengambil kira reputasi hebat Katrina dan Zylane : “Tujuh pingat emas ditawarkan, tetapi sasaran minima kita dua emas. Saya yakin ia boleh dicapai kerana kita mempunyai Katrina dan Zylane yang akan mengetuai pasukan, mereka berpengalaman luas dan pernah mewakili negara dalam banyak kejohanan antarabangsa.”

Katrina adalah kakak kepada Farah Ann
“Kita juga telah melantik jurulatih baru, Song Yi Xin sejak Ogos lalu di mana beliau mengendalikan latihan sehingga lima atau enam sesi seminggu. Dahulunya, kita cuma berlatih dua atau tiga sesi, jadi ini pastinya meningkatkan komitmen dan tahap kesediaan perenang kita.

“Mereka juga banyak menunjukkan peningkatan dan lebih banyak menunjukkan prestasi impresif sejak kebelakangan ini. Ini bukan bermakna kita letak sasaran tinggi, kerana kita tidak mahu beri tekanan kepada jurulatih tetapi kita percaya pada kemampuan perenang kita,” kata Soon Kiat yang berharap pencapaian 3 pingat emas pada 2011 dapat diulangi.

Zylane Lee
Selain Katrina dan Zylane yang berlatih di Kompleks Akuatik Bukit Jalil, seramai 8 perenang lain disandarkan harapan iaitu Kimberley Yap Jie Yee, Michellyn Jane, Jessie Kwong, Nur Amira Amiruddin, Ng Lyn Sze, Lai Nicole, Tan Wei Yi dan Sharifah Zarifah Syed Sharifudin di mana mereka meneruskan latihan intensif di Pusat Akuatik Darul Ehsan.


Renang berirama yang dijadual berlangsung selama 3 hari bermula 2 – 4 Julai depan akan menawarkan tujuh pingat emas untuk direbut, iaitu dua menerusi acara solo (rutin bebas dan teknikal), dua menerusi acara duet (rutin bebas dan teknikal), dua menerusi acara berpasukan (rutin bebas dan teknikal) manakala satu menerusi acara kombinasi berpasukan.

No comments:

Post a Comment