Pautan Suara Sukan

Friday, May 24, 2013

Tracie tidak putus asa


Meskipun masih dihimpit masalah kecederaan berulang di pergelangan kaki ditambah kecederaan bahu yang baru dialami pada awal Mei lalu, gimnas artistik serba boleh, Tracie Ang tidak melihat ia sebagai alasan untuk meminggirkan diri daripada sesi latihan dan tetap bersemangat untuk sekali lagi mempamer kelibat di temasya Sukan Malaysia.

Permata gimnastik negara yang akan membawa cabaran Melaka ini tidak menafikan masalah kecederaan sedikit membataskan perjalanan kariernya namun berkata ia tidak sedikitpun menjejaskan moralnya dan tidak akan berputus asa untuk kembali bangkit.



“Dengan kecederaan yang saya alami ini, saya belum pasti sama ada akan bertanding atau tidak di SUKMA, saya perlu lihat bagaimana keadaan saya tetapi jika diberi pilihan, sudah tentu saya mahu bertanding.

“Saya tidak boleh terburu-buru dan perlu mendapatkan nasihat doktor. Untuk kembali bangkit memang satu cabaran besar tetapi semangat saya tetap kuat.

“Masih ada lebih sebulan jadi saya harap kecederaan ini akan pulih sebelum tempoh itu. Saya mungkin tidak menyertai kejohanan di Singapura awal bulan Jun nanti untuk tumpu pada proses pemulihan, jadi SUKMA adalah kejohanan yang terdekat selepas itu. Bagi saya, SUKMA adalah medium paling relevan untuk mencuba kemahiran atau teknik baru,” katanya.

Untuk rekod, gimnas berusia 20 tahun ini adalah antara sandaran utama skuad gimnastik Melaka setiap kali berlangsungnya SUKMA – pada 2004 di Kedah ketika berusia 11 tahun, Tracie menyumbang dua pingat emas manakala satu pingat emas masing-masing pada 2008, 2010 dan 2012.

Manis sungguh budak ni :)
Tracie sebelum ini tersisih sepanjang tahun 2011 akibat kecederaan pergelangan kaki dan seandainya gagal pulih menjelang tempoh SUKMA bermula, skuad gimnastik artistik Melaka bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Mikhail Gutsalyuk akan menyandarkan harapan untuk merampas semula pingat emas berpasukan yang terlepas tahun lalu di bahu Tan Ing Yueh, Chong Yan Ling, Deifrin Choo Hui Sin, Yap Chien Wen dan Emily Tan Voon Ling.

No comments:

Post a Comment