Pautan Suara Sukan

Sunday, May 12, 2013

Sathia bangga prestasi gemilang ATM

Ketua Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia, B.Sathianathan percaya tiada tekanan yang menghimpit barisan pemainnya menjelang baki 5 perlawanan yang boleh diibaratkan seperti final selepas membimbing skuadnya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada aksi yang berlangsung di bawah terik mentari di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Gol tandukan kapten pasukan, Hairuddin Omar berpunca daripada sepakan percuma Rezal Zambry Yahya pada minit kesembilan sudah memadai untuk menghadiahkan ATM tiga mata berharga seterusnya kekal dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini, masih ketinggalan satu mata di belakang Lions XII yang mengukuhkan cengkaman hasil kemenangan 3-0 ke atas T-Team.

foto :bharian
Sathianathan berpendapat pemainnya telah menampilkan aksi cukup komited meskipun tidak berada pada tahap prestasi terbaik dan tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada ketika pencapaian berada di kedudukan kedua sudah cukup untuk dibanggakan.

“Tiada sebarang tekanan untuk kami mengejar kedudukan pertama, saya tidak pernah kata kami idam untuk muncul juara tetapi jika ia hadir, kami tidak akan melepaskan peluang itu. Memang kita sedang berusaha ke arah itu tetapi jika berkesudahan di tangga ketiga sekalipun, saya tidak akan kecewa,” kata Sathianathan.

Tambahnya lagi : “Sejak awal dahulu saya sudah tegaskan kedudukan tiga teratas adalah pencapaian yang sudah cukup baik, kami hanya perlu kekal di kedudukan ini kerana secara kasarnya pasukan ini adalah dibentuk daripada skuad juara Liga Perdana musim lalu jadi ia mengujakan melihat skuad ini mengorak langkah ke depan.”   

Begitupun, kemenangan kesepuluh ATM musim ini tidak hadir dengan mudah apabila Felda yang turun membawa misi keluar dari zon penyingkiran dilihat liat untuk dijinakkan malah beberapa kali mengancam gawang kawalan Farizal Harun – termasuklah menerusi percubaan minit akhir Leonel Preux yang terkena tiang.

Mengulas mengenai kemenangan penting ini, Sathianathan berkata : “Ia kemenangan yang sukar, kami menjaringkan gol awal tetapi sukar untuk kami beraksi di bawah cuaca panas terik seperti ini. Kami bernasib baik pada sebahagian besar perlawanan kerana Felda gagal menyempurnakan peluang mereka.

“Tetapi apa yang lebih penting pemain saya berjaya menyesuaikan diri dan menunjukkan persefahaman mantap walaupun tanpa beberapa pemain utama. Kita beraksi tanpa Marlon (cedera lutut) dan Hairuddin menggalas tanggungjawab sebagai penyerang di samping peluang yang saya berikan kepada Nizarudin Yusoff.

“Ia sudah tentu lebih bagus jika Marlon beraksi, kami mungkin tampil lebih kuat. Dia bukan sekadar pemain yang baik atau sederhana, tetapi seorang pemain yang hebat, dia adalah role model pasukan ini. Apabila dia beraksi, rakan sepasukan lebih yakin. Dia akan kembali pada perlawanan akan datang, diharap kami akan bertambah baik.

“Dari aspek disiplin, saya gembira untuk melihat pemain telah mengkoordinasi dan menyusun pertahanan dengan baik, meminimakan kesilapan. Shukor (Adan) dan Irwan (Fadzli) telah menjalankan tanggungjawab dengan cukup bagus.”

Aksi menentang Felda merupakan perlawanan sebelah petang terakhir buat ATM dan lima perlawanan selepas ini kesemuanya akan berlangsung pada waktu malam justeru Sathianathan berharap ia akan memberi kelebihan buat pasukannya untuk mengekalkan rentak konsisten. 

No comments:

Post a Comment