Pautan Suara Sukan

Friday, May 10, 2013

Hai-O : Silap besar jika pandang enteng keupayaan Felda

Artikel yang saya nukil untuk Media ATM sebagai membantu rakan saya, Harris Rajahdin yang sedikit sibuk minggu ini. 


Kapten The Gladiators, Hairuddin Omar berkata adalah silap jika menganggap pertemuan menentang pasukan di kedudukan tiga tercorot, Felda United petang esok sebagai perlawanan yang mudah justeru menggesa rakan sepasukannya agar tidak hilang tumpuan dalam memastikan tiga mata menjadi milik mutlak ATM.

“Di atas kertas mungkin nampak mudah, tetapi saya tetap berpendapat ia perlawanan yang sukar. Prestasi semasa Felda tidak boleh dijadikan ukuran kerana mereka tentunya memberi tentangan sengit untuk keluar dari zon penyingkiran. Ia silap besar yang mungkin akan makan diri jika kita memandang enteng keupayaan mereka.


“Lagipun kita perlu berhati-hati kerana perlawanan esok berlangsung pada waktu petang, itu satu lagi kekangan bagi kita kerana keputusan kita tak berapa bagus apabila beraksi pada waktu petang. Kita juga akan turun tanpa Afizze Faizal, K.Reuben dan Christie Jayaseelan yang digantung perlawanan, jadi saya percaya kami akan dikerah bekerja keras,” ujar pemain kelahiran Setiu itu.

ATM ketika ini berada di tahap prestasi terbaik mereka selepas mencatat empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, terbaru kemenangan 2-0 ke atas pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim pada Selasa lalu namun berdepan kebimbangan tidak dapat menurunkan ayam tambatan yang juga penjaring terbanyak, Marlon Alex James akibat kecederaan.

“Saya tidak pasti tentang situasi Marlon, sehingga semalam selepas latihan dia mengalami kecederaan lutut dan mungkin tidak diturunkan. Saya juga tidak berada pada tahap kecergasan 100% tetapi ATM mempunyai barisan pemain simpanan yang tahap mereka sama dengan pemain di kesebelasan utama. Itu kelebihan kita,” tambah Hairuddin lagi.

Dengan 30 mata daripada 16 perlawanan, ATM ketika ini di tangga kedua, ketinggalan satu mata di belakang Lions XII yang beraksi kurang satu perlawanan dan lima mata meninggalkan dua pasukan yang mengekori di belakang, Selangor dan JDT, masing-masing 25 mata.

Ini meletakkan anak buah B.Sathianathan sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Super pada musim pertama mereka di pentas elit bolasepak negara ini setelah juara sejak dua edisi lalu, Kelantan mengalami kemerosotan prestasi dan terperosok di tangga ketujuh ketika saingan hanya berbaki 6 perlawanan untuk ditamatkan.

Tambah Hairuddin : “Kita sudah berada di laluan yang terbaik, kita ada kemampuan untuk mencabar kejuaraan. Apa yang penting saya dan rakan sepasukan perlu memberi yang terbaik untuk memastikan kita mencatat keputusan baik pada baki 6 perlawanan akan datang. Tidak mustahil kita boleh mencipta kejutan dengan muncul juara sekiranya prestasi ini dikekalkan hingga akhir musim.”

No comments:

Post a Comment