Pautan Suara Sukan

Thursday, May 9, 2013

Bahang SUKMA makin terasa


Dengan kerjasama Sports247, dipersembahkan berita mengenai Sukan Malaysia. 

Bahang semakin terasa tatkala tinggal hanya 50 hari sahaja lagi sebelum peminat sukan tanah air disajikan dengan kehangatan temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan berlangsung bermula 28 Jun hingga 7 Julai depan.

Temasya yang seringkali menjadi medium terbaik mencungkil bakat-bakat muda berpotensi besar ini tidak pernah sepi dari sambutan meriah dan begitu jugalah ceritanya tahun ini apabila dilaporkan hampir 500 atlet dari seluruh negara bakal turun berentap memburu pengiktirafan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Seri Zolkples Embong berkata segala persiapan pra-kejohanan berjalan lancar dan yakin pihak sekretariat akan menyediakan khidmat terbaik agar maklumat-maklumat terkini dapat disampaikan dengan tepat dan pantas kepada orang ramai.


“Kita telah membuat persiapan sejak tahun lepas lagi, selepas berakhir SUKMA di Pahang dan saya bersyukur kerana pilihanraya yang telah berlangsung juga tidak menjejaskan sedikitpun kelancaran persiapan. Ini bukti betapa sukan tidak dipengaruhi oleh mana-mana faktor luar.

“Hari ini, kita melancarkan laman web rasmi temasya, menunjukkan betapa kita serius untuk mengangkat martabat sukan negara tanpa mengira tahap kompetitifnya,” kata Zolkples pada Majlis Pelancaran Laman Web & Detik 50 Hari Sukan Malaysia ke-16 Kuala Lumpur.

Tambah beliau lagi : “Kualitinya mungkin rendah, tidak seperti web yang dibangunkan dengan kos berjuta-juta, tetapi apa yang penting adalah menyampaikan maklumat yang dikemaskini. Apa yang kita tekankan adalah menyediakan sebuah kejohanan yang tinggi mutunya, kita mahu lahirkan lebih ramai atlet berkelas tinggi dan mahu lihat lebih ramai atlet pecahkan rekod kebangsaan.”

Temasya SUKMA yang lazimnya diadakan setiap dua tahun mula dijadikan sebagai kejohanan tahunan sejak 2011 dengan Terengganu muncul juara edisi lalu menerusi pungutan 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa sekaligus mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut sejak pertama kali muncul juara pada 2008.


Untuk edisi kali ini, sebanyak 20 acara sukan akan dipertandingkan antaranya bolasepak, ping pong, ragbi, gimnastik, akuatik dan bina badan manakala sukan seperti muay-thai, woodball dan bolasepak pantai pertama kali dipertandingkan.

Upacara perasmian dan penutupan kejohanan dijadual berlangsung di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil sementara venue pertandingan pula akan membabitkan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment