Pautan Suara Sukan

Saturday, April 20, 2013

Bojan tak setuju prestasi terburuk Kelantan


Juara bertahan, Kelantan tewas buat kali kelima musim ini tatkala barisan pemain Bojan Hodak mempamer antara prestasi terburuk mereka musim ini dalam kekalahan 1-2 kepada pasukan PKNS Selangor.

Pengendali dari Croatia ini menjadi sasaran kritikan dan ejekan para peminat The Red Warriors apabila beberapa keputusannya termasuk membuat dua pertukaran awal dan membiarkan pemain veteran, K.Nanthakumar kekal di atas padang sehingga tamat perlawanan meskipun beraksi buruk namun dia tetap tidak bersetuju prestasi pasukannya dikatakan terburuk musim ini.

foto : duniasukan online/fadzlie deto
Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Bojan berkata :

“Saya tidak rasa ini adalah prestasi terburuk Kelantan, apabila cakap terburuk, apa yang dimaksudkan dengan terburuk. Selain fizikal, yang lain semuanya ok. Pemain sangat letih, mereka cuba memberikan yang terbaik tetapi itu sahaja mereka mampu. Terburuk bukan perkataan yang sesuai, penyokong tidak faham aspek fizikal, pemain sangat letih, kalau boleh saya nak tukar semua pemain tetapi saya hanya boleh buat tiga pertukaran.

“Saya buat pertukaran awal kerana dua pemain muda itu (Zamri/Khairul) tidak begitu menyerlah, lebih-lebih lagi saya tidak gembira dengan Zamri. Saya mahu pemain yang lebih bertenaga yang boleh membantu bawah dan atas, Dickson sepatutnya dapat beraksi lebih baik tetapi dia susah mendapat bola, dia dikawal ketat.

“Nathakumar pula, saya tiada calon yang lebih sesuai untuk mengambil alih tempat Shakir. Hanya ini pemain yang saya ada, apa boleh saya buat. Memang dia bukan pemain yang atraktif, tetapi dia telah memberi yang terbaik. Dia banyak mencabar bola udara, membuat takel yang penting, apa lagi boleh saya minta.”

Pada perlawanan itu, Kelantan mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan Ahmad Fakri Saarani namun selepas itu mempamer aksi hambar dan membenarkan PKNS menguasai perlawanan.

Bojan memasukkan Dickson Nwakaeme dan Farisham Ismail ketika babak kedua bersambung tetapi apa yang dapat disaksikan adalah aksi lebih buruk membolehkan Roman Chmelo menyamakan kedudukan enam minit babak kedua bersambung.

foto : duniasukan online/fadzlie deto
Fauzan Zulkifli menjaringkan gol menerusi sepakan percuma cantik menewaskan Khairul Fahmi untuk memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah – meskipun Patrick Ronaldinho dilayangkan kad merah pada minit akhir permainan, Kelantan sememangnya tidak berhak untuk membawa pulang walaupun satu mata.  

“Babak pertama kita beraksi lebih rileks, dan baik secara fizikal, tetapi babak kedua fizikal kami down. Kami beraksi terlalu banyak perlawanan dalam tempoh dua minggu, pemain kehabisan tenaga dan kami tidak mempunyai cukup pemain untuk digilirkan. Anda boleh nampak perbezaannya, bermain tiga perlawanan sebulan dan 10 perlawanan sebulan. Ini adalah sesuatu yang bukan berada di tangan saya. Ini sebabnya kami tewas malam ini,” tambah Bojan.

Sunday, April 14, 2013

Rekod 42 perlawanan lebur di tangan Gladiators


Rekod cemerlang Kelantan yang tidak tewas dalam 42 perlawanan di Kota Bharu sejak 25 Mei 2011, kini tinggal hanya sejarah apabila ianya lebur di tangan pahlawan The Gladiators yang menterjemahkan antara aksi terbaik musim ini untuk pulang dengan kemenangan 3-1.

ATM menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad ke-IV sejak T-Team melakukannya hampir dua tahun lalu – terima kasih kepada jaringan kapten kesayangan, Hairuddin Omar, Christie Jayaseelan dan penyerang import klinikal, Marlon Alex James.
 
Lebih manis, kemenangan ATM diinspirasikan perancangan taktikal hebat B.Sathianathan yang menolak ke tepi seketika sentimen dan hubungan baiknya dengan penyokong serta pihak pengurusan Kelantan untuk membawa ATM mencatat kemenangan pertama dalam aksi 90 minit ke atas The Red Warriors selepas gagal melakukannya sejak 5 pertemuan lalu. 

  
“Ya, ia satu kemenangan yang manis. Kita menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari sini selepas dua tahun.

“Tetapi, saya tidak fikir pasal rekod mereka, yang selalu saya tekankan adalah prestasi pemain saya, mereka mengikut segala arahan saya dengan baik dan cukup menakjubkan malam ini. Saya tetap berpendapat Kelantan sebuah pasukan yang baik dan akan bangkit selepas ini,” kata Sathianathan.

Pada perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 20,000 penyokong setia tuan rumah itu, Hairuddin memilih detik tepat untuk menoktahkan kemarau jaringan musim ini apabila rembatannya dari luar kotak penalti membias kaki pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim sebelum mengegar gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-11.

11 minit berselang, berpunca daripada hantaran sepakan akrobatik Venice Alphi Denis Kaya, bola yang disambut Marlon dilorongkan pula ke dalam kotak penalti dan Christie mudah menolak masuk dari jarak dekat untuk ATM selesa mendahului 2-0.

Selepas gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan menerusi Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohd dan pemain import baru, Dickson Nwakaeme dek kecemerlangan Farizal Harun mengawal gawang selain palang yang menjadi penghalang, Kelantan akhirnya merapatkan kedudukan menerusi rembatan Faiz Subri, empat minit sebelum tamat babak pertama.

Namun, ATM tidak membenarkan dua kesilapan pertahanan yang berlaku di Paroi berulang kali ini sebaliknya menoktahkan episod kebangkitan Kelantan menerusi rembatan voli rendah Marlon pada minit ke-63 – gol ke-12 penyerang St Vincent & Grenadines itu musim ini.

“Memang kita bernasib baik Kelantan tidak memanfaatkan beberapa peluang jaringan yang mereka dapat, kita pula menggunakan sebaiknya setiap peluang. Itu yang memisahkan.

“Saya tidak nafikan, pada kedudukan 2-1, memang saya sudah tidak senang duduk, dapat dilihat sepanjang 20 minit pertama babak kedua Kelantan menguasai perlawanan dan berusaha mencari gol penyamaan tetapi mereka kehilangan idea. Pemain saya bertindak bijak mengagalkan setiap gerakan mereka dan menutup ruang, meminimakan kesilapan,” tambah Sathianathan.

Mengenai gol pertama Hairuddin musim ini, Sathia berkata : “Dia membuktikan kualiti yang ada padanya, saya tidak pernah kisah tentang kemarau golnya, kerana saya tahu walaupun dia tidak menjaringkan gol, dia tetap memberi sumbangan terbaik kepada pasukan.

“Dia adalah pemain yang mengikut setiap arahan dan ini memudahkan mana-mana jurulatih untuk bekerjasama baik dengannya. Inilah contoh pemain yang perlu ada dalam setiap pasukan.”

Friday, April 12, 2013

ATM tidak gentar kebangkitan Kelantan

Kebangkitan ditunjukkan Kelantan serta rekod pertemuan yang secara nyata menyebelahi pasukan Pantai Timur itu tidak sedikitpun menggentarkan semangat para pemain The Gladiators yang berazam memulakan fasa kedua aksi Liga Super dengan nota ceria.

Angkatan Tentera Malaysia akan membuka tirai pusingan kedua dengan berkunjung ke gelanggang keramat pasukan lawan, Stadium Sultan Muhammad ke-IV, membawa misi menebus kekalahan 2-3 pada pertembungan terbaru kedua-dua pasukan pada aksi terakhir pusingan pertama 29 Mac lalu.

foto kredit : ATMFA
Kunjungan terakhir ke Kota Bharu menyaksikan pasukan bimbingan B.Sathianathan tewas 3-4 dalam aksi berbalas jaringan penuh dramatik.

Ironinya, skuad ATM tidak pernah menewaskan The Red Warriors dalam aksi 90 minit permainan setidak-tidaknya dalam 10 pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sejak 2007 meskipun berjaya menjulang Piala Sumbangsih menewaskan lawan sama menerusi sepakan penalti pada awal musim tempoh hari.

Manakala Kelantan pula mengetepikan prestasi suram awal musim dengan catatan 6 kemenangan berturut-turut namun Sathianathan tidak mahu membazir masa memikirkan tentang prestasi semasa lawan mereka itu.

Bekas pengendali skuad kebangsaan ini tampak lebih berminat untuk mempersiapkan pasukannya dalam misi merampas semula takhta liga yang terlepas ke tangan Lions XII sejurus berakhirnya pusingan pertama Liga Super.

“Kita ada baki 11 perlawanan, setiap perlawanan adalah mencabar, bukan hanya menentang Kelantan. Saya tidak mahu tumpuan atau persiapan pasukan terganggu memikirkan kekuatan pasukan lain, mana-mana pasukan akan ada pasang surut jadi kami tidak gentar.

“Cabaran terbesar saya ketika ini adalah mempersiapkan pasukan ini pada situasi beberapa pemain tonggak masih tidak dapat bersama pasukan tetapi saya percaya pemain yang sedia ada semuanya mempunyai potensi untuk membuktikan sesuatu,” kata Sathianathan.

ATM ketika ini kehilangan khidmat pemain versatile berpengaruh, Shukor Adan serta tiga lagi pemain – G. Jeevanathan, R.Surendran dan pemenang kasut emas Liga Perdana 2010, Fitri Omar – akibat penggantungan perlawanan manakala  Norfazly Alias pula tersisih akibat kecederaan tulang pipi.

Begitupun, sedikit keceriaan di kem ATM apabila mendapat semula khidmat dua pemain, Rezal Zambry Yahya dan pemain pertahanan meningkat naik, K.Reuben yang tidak beraksi dalam kekalahan kepada Kelantan kerana menjalani penggantungan automatik satu perlawanan dek mengutip tiga kad kuning.

Sathianathan juga menegaskan dia berpuas hati dengan kelibat dua pemain import, Marlon Alex James dan Bruno Sebastian Martelotto justeru tiada sebab untuk membuat rombakan atau menggantikan mereka dengan pemain lain pada ketika pasaran perpindahan Liga Malaysia sudahpun dibuka sejak 8 April lalu sehingga 22 April depan.

“Saya kagum dengan komitmen mereka, boleh dikatakan pemain import terbaik dalam Liga-M. Jadi sudah tentu saya gembira untuk terus bekerjasama dengan mereka, tiada keperluan untuk kita mencari yang lain. Kita juga akan memberi lebih peluang kepada pemain muda dari skuad Piala Presiden, serta mendapatkan khidmat seorang pemain Piala Presiden Terengganu yang kini berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia.”

Dalam pada itu, kapten pasukan, Hairuddin Omar pula tidak gusar dengan kemarau jaringan yang dilaluinya ketika ini dan berpendapat ia adalah asam garam yang perlu dilalui mana-mana penyerang.

foto kredit to ATMFA
“Masanya akan tiba untuk saya menjaringkan gol. Fernando Torres pun kemarau gol tetapi akhirnya menjaringkan gol. Lagipun, pada musim ini saya tidak bertindak sebagai penyerang tetapi lebih kepada pemain tengah. Tugas saya adalah mengumpan kepada pemain lain untuk menjaringkan gol, jadi itu tidak menjadi kebimbangan,” katanya.

Musim lalu, Hairuddin atau lebih popular dengan panggilan Hai-O merupakan penjaring kedua terbanyak ATM dengan 17 gol, di belakang Marlon yang unggul dengan ledakkan 34 gol.