Pautan Suara Sukan

Wednesday, February 20, 2013

Bojan : Gol Keita Hanyalah Permulaan

PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak melaungkan amaran kepada musuh bahawa gol berganda Keita Mandjou yang memusnahkan Terengganu 2-0 pada pertembungan derby Pantai Timur semalam, hanyalah satu permulaan.


Bojan yakin penyerang import Guinea itu akhirnya menemui sentuhan yang dicari-cari, selepas dihantui kemarau gol sebanyak enam perlawanan.

“Apabila seseorang penyerang itu meraih semula keyakinan dalam dirinya, dia tidak akan berhenti meledak gol dan dua jaringan ini hanyalah satu permulaan bagi Keita,” kata Hodak.

Hodak sendiri turut menjadi sasaran kritikan penyokong-penyokong setia The Red Warriors (TRW) kerana kerap menggunakan khidmat pemain berusia 33 tahun itu, meskipun kurang berkesan di depan gawang namun ‘kedegilan’ jurulatih warga Croatia itu nampaknya membuahkan hasil dengan Keita membalas kepercayaan bosnya itu, sekaligus menutup mulut pengkritik.

“Sayalah orang paling gembira apabila menyaksikan dia menemui jaring dua kali pada perlawanan ini. Saya gembira kerana dia (Keita) membalas kepercayaan yang saya berikan terhadapnya. Keita bukan pemain pertama menghadapi masalah yang sama, Muhammad Ghaddar (bekas penyerang Kelantan), juga begitu pada permulaan musim lalu namun menjadi pemusnah benteng pertahanan lawan sebaik sahaja menemui sentuhan sebenar,” jelas Hodak.

Sementara itu, Bojan turut memuji kombinasi jentera tengah membabitkan Mohd. Shakir Shaari dan ketua pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi dalam memimpin rentak permainan pasukan, di samping sumbangan pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin.

“Mohd Shakir dan Piya (Badhri) adalah gandingan pemain tengah terbaik negara dan ini dibuktikan dengan kebijaksanaan mereka mencorakkan permainan yang kreatif dan menghidangkan banyak peluang untuk rakan-rakan. Pengalaman Indra Putra juga memainkan peranan besar,” ujar Bojan.

kredit to : sports247

1 comment: