Pautan Suara Sukan

Wednesday, January 16, 2013

Di mana dia Rajagobal sayang..


Musim baru Liga Super baru berlangsung tiga perlawanan, tetapi ianya tidak sepi dari kejutan awal – pendatang baru, Pahang umpama terbang di langit ketujuh apabila muncul pendahulu tidak diduga carta liga dengan kutipan 9 mata hasil tiga kemenangan berturut-turut, tatkala juara bertahan, Kelantan dan pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim belum menampakkan potensi sebenar selaku pencabar kejuaraan.

Pahang ketika menentang Felda. Foto : Sports247
Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh nyata mencuri tumpuan ketika ini – bermula dengan episod kebangkitan menakjubkan ketika menewaskan barisan berstatus bintang JDT 3-2 pada aksi pembuka tirai, mereka meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Felda United 1-0 sebelum mengutip tiga lagi mata dengan menewaskan juara 2006, Negeri Sembilan, 2-1.

Kelantan pula masih bergelut untuk mempamer prestasi sebenar selepas kehilangan beberapa pemain tonggak antaranya S.Subramaniam akibat kecederaan, manakala Nurul Azwan Roya dan Mahmoud Ghaddar memilih untuk berhijrah ke pasukan lain dan ia dilengkapkan oleh kesilapan berprofil tinggi Bojan Hodak dalam pemilihan Keita Mandjou untuk mengisi satu daripada dua slot pemain import.

Ini menyaksikan skuad juara treble itu masih terkial-kial mencari keserasian, dan memerlukan gol masa kecederaan Zairul Fitri Ishak untuk melakukan sepak mula misi mempertahankan kejuaraan dengan langkah kanan menewaskan PKNS Selangor 2-1, tetapi tumbang pula 0-1 kepada T-Team, sebelum bangkit mempamer dominasi menyeluruh ketika mencatat keputusan seri 1-1 menentang Darul Takzim.

Sports247
Pertemuan Kelantan menentang JDT hadir terlalu awal, pada ketika masing-masing belum lagi menekan gear dan belum cukup panas namun ia tidak menghalang pemain seperti Badri Radzi, Norfarhan Mohamad, Nik Shahrul Azim dan Zamir Selamat untuk mempamer aksi mantap dan meyakinkan – memungkinkan mereka untuk mendapat call-up ke skuad kebangsaan, itupun andai aksi mereka disaksikan Datuk K.Rajagobal yang sepatutnya berada di stadium untuk menilai majoriti pemainnya yang beraksi pada perlawanan itu.

Hampir 10 pemain kebangsaan, beberapa bekas pemain yang masih berpotensi dipanggil semula seperti Indra Putra, Norfarhan dan Daudsu Jamaludin, beberapa pemain yang mungkin boleh mendapat call-up kali pertama seperti Nurul Azwan Roya, bekas penjaga gol Harimau Muda yang mempunyai prospek menjadi penjaga gawang masa depan negara, pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Nik Shahrul - kesemua mereka beraksi dan Rajagobal tiada di stadium? Mungkin beliau bercuti kerana menyambut Ponggal bersama keluarga atau mungkin Raja berada di Stadium Ipoh untuk menyaksikan Amar Rohidan beraksi. 

Beberapa pemain seperti Fauzi Roslan, Gopinathan, Hafiz Kamal dan nama-nama yang telah disebut tadi sedang mula meniti nama tetapi Raja tidak menyaksikan aksi mereka, dan kemudiannya mendakwa 'saya kenal pemain saya'?

Berbalik kepada cerita Liga Super 

Selangor yang disuntik khidmat beberapa pemain  berpengaruh seperti Sharbinee Alawi, Mahali Jasuli, S.Kunanlan dan Forkey Doe pula kembali ke landasan kemenangan apabila menundukkan Terenganu 2-1 dan menoktahkan badi 11 tahun tanpa kemenangan di gelanggang Sang Penyu – skuad Irfan bakti tewas kepada Lions XII pada aksi kedua dan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 sebelum itu.

Lions XII, naib juara musim lalu, mengharungi musim kedua dalam saingan Liga Super dengan dengan catatan kemenangan dalam dua perlawanan awal – menewaskan Angkatan Tentera Malaysia dan Selangor namun dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada skuad Abdul Rahman Ibrahim, PKNS Selangor sekaligus menyaksikan hanya Pahang yang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.

Pujian juga seharusnya menjadi milik bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan – beliau kehilangan khidmat beberapa pemain utama antaranya Aidil Zafuan, Zaquan Adha dan Azmi Muslim malah memulakan aksi pertama di pentas elit bolasepak tanah air dengan kekalahan tetapi bangkit bergaya menepis cakap-cakap yang mempersoal kredibiliti pasukannya.


Penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu, Marlon Alex James mungkin layak digelar kuda tua, tetapi peduli apa dia dengan label itu - sentuhannya masih berbisa dan belum berkarat, naluri pemusnahnya tetap tajam dan nafsunya untuk menjaringkan gol masih belum hilang.

Selepas dikritik hebat kerana gagal menyempurnakan peluang terbuka di depan gol pada aksi pertama, penyerang dari St. Vincent ini meledak hatrik ketika menundukkan PKNS dan kemudiannya menjaringkan satu gol dalam kemenangan mutlak 3-0 ke atas T-Team kendalian Peter Butler, sekaligus melonjakkan pasukannya ke tangga kedua.

Dengan PKNS dan Felda United menjadi pasukan terbaru mencatat kemenangan, tinggal hanya finalis Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan dan Terengganu masih belum merasai nikmat kemenangan pertama setakat ini, manakala Perak kendalian Azraai Khor Abdullah mungkin memerlukan lebih masa untuk mencari keserasian dan mencetus impak.

Sports 247 – Inspirasi baru dunia sukan

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang Sports 247, sebuah kumpulan media online yang sebelum ini beroperasi secara kecil-kecilan kini pantas menempa nama sebagai salah sebuah portal media sukan terbaik negara dan terlibat secara aktif di dalam melaporkan berita, kupasan isu dan kontroversi semasa arena sukan.

Ditunjangi editor dan wartawan berpengalaman yang pernah berkhidmat di agensi media terkemuka negara, portal yang mana kandungannya boleh dibaca dalam dwibahasa ini – inggeris dan melayu – telah mula beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu dan laman web mereka boleh dilayari di www.sports247.my.

No comments:

Post a Comment