Pautan Suara Sukan

Tuesday, July 17, 2012

Subra : Padang Keras Macam Batu


Pemain pertahanan Kelantan, yang juga antara pemain pertahanan terbaik negara, S.Subramaniam menyifatkan padang bolasepak di Malaysia tidak berkualiti. Syabas Subra, kerana berani bersuara demi  kemajuan bolasepak tanah air. Artikel ini telah disiarkan di Majalah Kakibola baru-baru ini, yang mana pengarangnya adalah saya sendiri.  

foto kredit : shazlishamsuddin, theredwarriors.com
Malaysia mungkin boleh berbangga dengan reputasi selaku jagoan bolasepak Asia Tenggara, malah seringkali juga menjadi tumpuan kelab gergasi bolasepak antarabangsa sebagai destinasi persiapan pra-musim.

Kita memiliki himpunan stadium berkapasiti besar yang sesuai digunakan untuk penganjuran kejohanan berprestij seperti Piala AFF Suzuki malah pernah menganjurkan Kejohanan Champions Youth Cup yang berlangsung di beberapa lokasi, namun sejauh mana pula aspek kualiti padang itu ditekankan?

Jujur saya katakan, kualiti padang dan infrastruktur stadium bolasepak di Malaysia masih lagi di tahap yang menyedihkan.

Seringkali kita mendengar rungutan dan keluhan para pemain mahupun jurulatih yang mempersoalkan kualiti padang yang tidak menepati standard atau piawaian, dan akhirnya membawa kepada permainan tidak sepertimana yang diharapkan, menganggu taktikal yang telah dirancang selain meningkatkan risiko kecederaan,namun apabila bersuara kita dikatakan memberi alasan.  

Penyokong membayar harga tiket yang tinggi untuk menyaksikan permainan bolasepak berkualiti dan menghiburkan, tetapi mutu padang yang teruk menyebabkan mereka seringkali pulang hampa apabila pemain tidak dapat menyerlahkan aksi sebenar mereka.

Pemain terpaksa mengambil extra-touch walhal mereka sebenarnya boleh bermain one-touch football kerana padang yang tidak rata, keras dan tidak sesuai untuk perlawanan bolasepak – ini mungkin disebabkan pengurusan yang tidak peka akan penyelenggaraan rumput dan penjagaan padang, selain penggunaan stadium untuk aktiviti selain bolasepak.

Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman saya sendiri, ketika beraksi pada perlawanan Piala AFC membabitkan Kelantan dan Navibank Saigon dari Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, perlawanan itu berlangsung dengan 60% padang ditakungi air akibat hujan lebat.

Sistem saliran air stadium masih lagi lemah dan tidak guna kita mempunyai stadium yang besar dan berkapasiti tinggi, disifatkan terbaik di Asia Tenggara, tetapi kemudahan padang, tandas, dan bilik persalinan pemain tidak berada di tahap yang terbaik – dan malangnya keadaan ini boleh dikatakan berlaku di kebanyakan venue.

Kebanyakan stadium bukan milik persatuan bolasepak negeri, sebaliknya perbadanan stadium dimiliki kerajaan negeri dan ini menyebabkan kesukaran untuk proses penyelenggaraan dilakukan pihak persatuan – masalah ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan, kerana dikhuatiri akan memberi imej buruk kepada bolasepak tanah air, seterusnya menjejaskan pembangunan bolasepak negara.

Jika benar kita sayangkan bolasepak kita, langkah drastik perlu segera diambil, dan diberi penekanan dari semasa ke semasa, kerana daripada penyokong hinggalah pemain, semuanya mengharapkan padang berkualiti untuk mutu bolasepak yang terbaik.

S.Subramaniam, pemain Kelantan dan kebangsaan.

Majalah Kakibola yang kedua di bawah penulisan saya akan berada di pasaran bermula hari ini. Jangan lupa dapatkannya, lebih banyak kupasan menarik dimuatkan di dalamnya.




1 comment:

  1. Kerajaan mampu membelanjakan sejumlah RM 238 juta untuk menjayakan SUKMA XV baru2 ini yang ke berbaloianya belum dapat dipastikan. Untuk membolehkan setiap negeri di Malaysia mempunyai sebuah padang bolasepak tiruan (Astroturf)yang bertaraf antara bangsa kerajaan hanya perlu menyediakan peruntukan sekitar RM 26 juta sahaja.Mari sama2 kita renungkan....

    ReplyDelete