Pautan Suara Sukan

Wednesday, July 25, 2012

Arsenal Nyaris Diaibkan Sang Harimau, Wenger Puji Aksi Gary, Farizal


foto : Ahmad Junaidi

Kealpaan barisan pertahanan dalam tempoh 3 minit terakhir memisahkan Malaysia daripada mengulangi sejarah 37 tahun lalu, apabila kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad Malaysia kendalian Datuk K.Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia, yang tewas 0-4 kepada lawan sama tahun lalu tampil sebagai sebuah pasukan berbeza kali ini, dengan aksi dan penguasaan bola yang lebih meyakinkan, lebih banyak mencipta gerakan dan peluang, justeru tidak hairanlah pengurus Arsenal, Arsene Wenger sendiri menyatakan rasa kagumnya terhadap peningkatan ditunjukkan Harimau Malaya.

Malah, Wenger juga memuji aksi beberapa pemain terutamanya Gary Steven Robbat dan penjaga gol, Farizal Marlias.

“Pasukan yang kami tentang malam ini jauh meningkat berbanding tahun lalu, saya harus memuji kawan saya (Rajagobal) atas peningkatan ini, mereka menyukarkan kami, dan saya agak tertarik untuk melihat aksi beberapa pemain, antaranya nombor 15 (Gary), nombor 8 (Safiq), nombor 16 (Kunalan) agak lincah dan pastinya penjaga gol (Farizal) yang cukup cemerlang (fantastic) malam ini.

foto : Ahmad Junaidi
“Apapun, bagi saya keputusan perlawanan tidaklah terlalu penting pada aksi pra-musim, yang penting adalah persefahaman dan keserasian yang dapat dipupuk, itu yang saya tekankan kepada pemain saya, saya menurunkan barisan berbeza di setiap babak permainan, adunan pemain berpengalaman dan muda sebagai pendedahan kepada pemain muda kami. Musim EPL cukup panjang, mereka perlu bersedia beraksi bila-bila masa diperlukan andai ada perkara luar dugaan berlaku, contohnya seperti kecederaan pemain utama,” ujar Wenger pada sidang media selepas perlawanan.

Manakala bagi Rajagobal, beliau cukup gembira dengan prestasi para pemainnya.

“Apabila menentang pasukan seperti Arsenal, sebuah kelab gergasi, kita mampu menjaringkan gol dan hampir menewaskan mereka, ia pastinya perlu dipuji. Pemain saya telah melakukan yang terbaik, dan tiada apa untuk dimalukan dengan kekalahan ini, walaupun saya akui sedikit kecewa untuk tewas selepas mendahului pada saat yang begitu getir.

Mengenai komen Wenger tentang Gary Steven, Rajagobal berkata : “Ya, Wenger ada bertanya kepada saya pemain ini cukup bagus kenapa tidak masukkan dia awal-awal, tetapi saya berkata ia adalah perancangan taktikal, lagipun saya mahu beri peluang kepada semua pemain membuktikan sesuatu. Saya turunkan Shakir Shaari di posisi Gary untuk melihat keberkesanan dia, tetapi dia baru sahaja mewakili Kelantan menentang QPR dan kelihatan penat, justeru saya menggantikan dia dan Gary membalas kepercayaan saya.”

Pada perlawanan itu, Malaysia mengejutkan Arsenal menerusi gol pembukaan pemain pertahanan kiri, Azmi Muslim dari jarak hampir 30 meter yang mengegar gawang kawalan Vito Mannone pada masa kecederaan babak pertama.

foto : Dunia Sukan
Arsenal yang beraksi sambil lewa sebelum itu, menggandakan usaha mencari gol penyamaan di babak kedua, namun semua usaha mereka menemui jalan buntu, sama ada disebabkan keutuhan pertahanan diterajui S.Subramaniam dan Aidil Zafuan mahupun kecemerlangan Farizal mengagalkan beberapa percubaan berbahaya.

Keputusan Rajagobal mengeluarkan Azmi dan meletakkan penyerang, Rozaimi Rahman di posisi bek kiri menjadi titik tolak kebangkitan Arsenal yang memanfaatkan kepincangan di sebelah kiri untuk mencipta gol penyamaan menerusi Thomas Eisfeld pada minit ke-87, dan selang dua minit kemudian Chuks Aneke menjaringkan gol kemenangan The Gunners sekaligus menyentap hasrat Malaysia mencipta kejutan.

foto : Dunia Sukan
Sementara itu, gandingan penyerang utama – Norsharul Idlan dan Safee Sali – terus hambar dengan kedua-dua pemain itu dilihat masih bergelut untuk kembali menemui prestasi sebenar mereka. Safee, di sebalik berjaya menguji Manonne 3 kali, mempamer sentuhan kecundang setiap kali mendapat bola, manakala Norsharul masih terbawa-bawa aksi tidak meyakinkannya sejak pulih dari kecederaan jangka panjang.

1 comment:

  1. masuk amar rohidan trus kena 2 gol hahaha

    ReplyDelete