Musim baru 2012
perlumbaan JK Racing Asia Series akan hanya bermula akhir bulan ini di Litar
Sepang; namun nama pemandu negara Nabil Jeffri sudah menjadi sebutan di
kalangan para pencabarnya sebagai saingan yang perlu diatasi dalam misi mereka
memburu mahkota kejuaraan.
Mewakili pasukan juara bertahan, Eurointernational,
Nabil, yang sudahpun disahkan sebagai pemandu utama pasukan berkenaan dan akan
menggunakan #1 sebagai nombor pertandingan pada jenteranya.
“Tentunya, satu kebanggaan besar buat saya.
Sememangnya, ia adalah tekanan tambahan; tetapi, saya juga melihatnya sebagai
pembakar semangat. Sememangnya, kejuaraan keseluruhan adalah sasaran saya musim
ini,” kata Nabil pada majlis sidang akhbar yang diadakan di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
“Lebih membanggakan saya lagi adalah kepercayaan yang
diberikan kepada saya oleh pasukan ini, yang meletakkan saya sebagai pemandu
utama mereka,” tambah Nabil, yang menjadi pemandu Asia pertama untuk dipancing
oleh pasukan terkemuka dunia yang beribupejabat di Itali itu.
Pada majlis yang disaksikan oleh Menteri Belia dan
Sukan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, satu Memorandum Persefahaman turut
dimeterai antara pasukan Eurointernational, Akademi Kemahiran Belia Motorsport,
Kementerian Belia dan Sukan; dan Comma Motorsports, yang mewakili Nabil.
Di bawah memorandum berkenaan, pasukan
Eurointernational akan menempatkan dua penuntut dan seorang tenaga pengajar
daripada Akademi Kemahiran Belia Motorsport sebagai sebahagian daripada tenaga
krew pasukan yang akan menyokong cabaran Nabil musim ini dalam siri perlumbaan
itu. Melalui kerjasama ini, pelajar dapat menimba ilmu serta budaya kerja
pasukan lumba terbaik Eropah.
Menduduki Tempat Kelima keseluruhan pada musim
sulungnya pada 2010, pelumba muda berusia 18 tahun yang bercita-cita menjadi
pemandu F1 satu hari nanti ini, menduduki tempat ketiga keseluruhan
musim lepas di mana dia mencatat satu kemenangan dengan 10 kali menamatkan
perlumbaan di podium kemenangan.
Kemenangan tunggal
itu dicatat pada saingan pembuka musim kejohanan JK Racing Asia Series di Litar
Sepang di mana siri berkenaan menjadi perlumbaan sokongan kepada
Grand Prix F1 PETRONAS Malaysia.
Menceritakan sebahagian dari pengalaman beliau,
“Pengalaman paling buruk adalah pada perlumbaan di Litar Sentul, Indonesia.
Segalanya tidak berjalan seperti dirancang dan seluruh pasukan bergelut dengan
pelbagai kepayahan sepanjang hujung minggu itu.
“Bagaimanapun, menjelang
perlumbaan terakhir, kami berjaya mengatasi segala masalah. Malangnya, ia sudah
agak terlambat. Sememangnya, itu adalah kekecewaan terbesar saya
musim lepas,” kata Nabil, yang pernah mencatat sejarah menjadi
pemandu ujian F1 paling muda pada usia 16 tahun 10 bulan dan 7
hari pada 1 September 2010 di Duxford, Britain.
Memasuki musim yang ketiga, Nabil berkata bahawa dia
berkeyakinan tinggi dapat mengikut jejak pelumba Austria Lucas Auer, yang
muncul juara tahun lepas untuk menghadiahkan kejuaraan kepada pasukan
Eurointernational, yang sememangnya dianggap antara pasukan lumba kereta
terulung di Eropah.
Menurut Nabil, beliau telah menjalani sesi ujian
selama dua hari di Litar Varano, Itali bulan lepas dan dapat merasakan
keserasian dengan seluruh krew pasukan dan dengan jentera yang digunakan.
“Segalanya berjalan dengan baik dan saya dapat rasakan
kerasian itu. Kami mempunyai pasukan yang hebat dengan tenaga krew yang hebat
dan penuh pengalaman. Saya bukan saja berharap untuk memenangi kejuaaraan
keseluruhan tetapi juga untuk mencatat sebanyak kemenangan mungkin,” tambah
beliau.
Musim baru perlumbaan JK Racing Asia Series akan
bermula di Litar Sepang untuk Pusingan 1, 2, 3 dan 4 pada 25 hingga 27 Mei ini
dan pusingan seterusnya di Paul Ricard, Perancis untuk Pusingan 5 dan 6 pada 29
Jun hingga 1 Julai. Pada 27 hingga 29 Julai, pusingan 7 dan 8 akan diadakan di
Litar Spa-Francorchamps di Belgium; diikuti dengan Pusingan 9 dan 10 di
Singapura daripada 21 hingga 23 September.
Enam pusingan akhir akan diadakan di New Delhi, India
dengan Pusingan 11 dan 12, yang akan diadakan 26 hingga 28 Oktober, dan
Pusingan 13, 14, 15 dan 16 dari 30 November hingga 2 Disember.
Bagi Nabil, saingan paling mencabar bagi dirinya
adalah kedua-dua perlumbaan yang akan diadakan di Eropah, yang mana akan
menjadi pengalaman pertama buat dirinya.
“Secara jujur, saya katakan bahawa kedua-dua
perlumbaan itu adalah yang paling mencabar buat saya. Tetapi, ia juga adalah
dua perlumbaan yang saya memang nantikan. Kerana, kedua-dua litar itu penuh
dengan tradisi dan banyak menyaksikan jaguh-jaguh F1 bersaing.
“Secara keseluruhan, pada saya musim 2012 adalah
menyeronokkan tetapi cukup mencabar. Terdapat ramai pemandu-pemandu berbakat
termasuk yang memasuki musim kedua. Tetapi, saya sudah memasuki musim ketiga
dan ini memberikan kelebihan kepada saya.
Diasaskan daripada siri perlumbaan Formula BMW,
kejohanan ini banyak melahirkan para pemandu handalan dunia termasuk Timo
Glock, Nico Rosberg, Nico Hulkenberg dan juara dunia F1 sebanyak dua
kali Sebastian Vettel.
JK Racing Asia Series, yang dahulunya dikenali sebagai
Formula BMW Pacific Series, menampilkan para pelumba daripada seluruh dunia
termasuk daripada Asia Pasifik, Afrika dan Eropah. Ia juga adalah platform
untuk perkembangan bakat daripada Asia untuk mereka yang mengejar impian
menjadi pelumba profesional.
No comments:
Post a Comment