Pautan Suara Sukan

Thursday, January 26, 2012

Laksanakan Tugas Penuh Keikhlasan, Dedikasi : Rosmah


Isteri YAB Perdana Menteri, juga Penaung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Paduka Seri Rosmah Mansor mahu Yayasan itu yang ditubuhkan sejak 4 tahun lalu, terus berada di landasan tepat dalam membela nasib dan menjaga hal ehwal kebajikan para ahlinya, yang terdiri daripada atlet dan bekas atlet kebangsaan.

Beliau yang menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan baru diketuai Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh buat kali pertama di Sri Perdana minggu lalu, menyatakan rasa bangga terhadap apa yang telah dilaksanakan Datuk Jamil sejak mengambil alih teraju kepimpinan daripada Dato’ Paduka Mumtaz Jaffar sejak Oktober lalu, dan mahu momentum yang sedia tercipta ini berkekalan agar Yakeb terus kekal relevan dalam mencapai matlamat penubuhannya.

Dalam pertemuan yang lebih berupa kepada Program Suai Kenal juga ‘ice-breaking’ antara beliau sebagai Penaung dan Ahli Lembaga Pengarah Yakeb itu, Rosmah telah diperkenalkan kepada barisan kepimpinan Yakeb yang terdiri daripada kombinasi peneraju badan sukan negara dan juga bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara oleh Datuk Jamil.

Datuk Jamil juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada DS Rosmah, di atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada bekas atlet apabila sudi kembali sebagai Penaung Yakeb, yang mana membuktikan komitmen dan sokongan berterusan beliau kepada bekas atlet tidak pernah sekalipun pudar.

DS Rosmah kemudiannya menerima penjelasan terperinci daripada Datuk Jamil tentang gambaran sebenar kedudukan Yayasan serta perancangan yang telah dicapai sewaktu Mesyuarat Ahli Lembaga tempoh hari, selain memaklumkan halatuju Yakeb di bawah pentadbiran baru yang mana lebih menumpukan kepada aspek kebajikan.

Datuk Jamil turut memaklumkan kepada DS Rosmah tentang perjalanan Program Yakeb bagi tahun 2012, dan tidak ketinggalan setiap pandangan dan cadangan yang diutarakan menerusi sessi dialog bersama bekas atlet pada setiap kali Program Turun Padang Yakeb.

DS Rosmah, nyata teruja dengan perkembangan semasa Yakeb, dan menasihatkan mereka agar bekerja penuh keikhlasan dan berdedikasi, selain menjaga imej dan nama baik Yakeb.

Maklumbalas positif yang diterima, pastinya menyuntik semangat Ahli Lembaga Pengarah untuk terus bekerja keras bagi meneruskan tradisi kecemerlangan di Yakeb, khususnya di dalam membela nasib bekas atlet. 

No comments:

Post a Comment