Pautan Suara Sukan

Thursday, November 3, 2011

Mumtaz Berundur, Percaya Datuk Jamil Calon Terbaik Terajui Kepimpinan YAKEB

Datuk Jamil Salleh
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, menerima pelantikan pucuk pimpinan baru, dengan Dato' Paduka Dr. Mumtaz Jaffar tidak lagi berperanan sebagai Pengerusi Eksekutif. Tempat beliau diambil alih Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh, manakala pelantikan 8 Ahli Lembaga Pengarah baru oleh KBS, merangkumi nama-nama seperti Rabuan Pitt, Nor Saiful Zaini, Datuk Khalid Yunus, dan Datuk Dina Rizal.

"Terima kasih di atas kepercayaan yang telah diberi kepada saya untuk menerajui YAKEB sejak ia ditubuhkan. Pelbagai pengalaman saya tempuh dalam tempoh 3 tahun memegang pucuk pimpinan YAKEB, dan saya gembira tanggungjawab ini telah saya laksanakan dengan hati terbuka."

"Hanya seorang atlet, yang paling memahami penat lelah dan pengorbanan seseorang atlet itu, justeru saya berbangga diberi peluang untuk berbakti dan melakukan sesuatu yang bermakna untuk warga bekas atlet yang banyak berjasa di dalam mengharumkan nama negara."

"Saya lihat jumlah keahlian yang semakin bertambah dari hari ke hari, sebagai satu perkembangan positif, yang mana saya yakin ia didorong oleh inisiatif yang kita ambil di dalam menghargai jasa dan pengorbanan bekas atlet. Ini sekaligus membuktikan kredibiliti YAKEB sebagai sebuah yayasan yang relevan dalam menjaga hal ehwal kebajikan atlet selepas mereka bersara, dan dalam masa sama melonjakkan kebolehpercayaan bekas atlet terhadap peranan yang kita mainkan."

"Selepas beroperasi lebih 3 tahun, jumlah keahlian YAKEB kini mencecah 1300 ahli, di mana kita mendapat ahli baru hampir setiap hari - tahniah dan syabas kepada semua warga kerja YAKEB yang berusaha keras menjalankan tanggungjawab dengan baik di dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, menghebahkan peranan dan kepentingan YAKEB kepada bekas atlet, seterusnya mengangkat reputasi YAKEB ke tahap yang wajar disegani."

"Apapun, kita tidak harus mudah berpuas hati kerana jumlah itu sebenarnya belum cukup ramai, dan saya mahu lebih ramai individu yang pernah bergelar atlet kebangsaan untuk mendaftar sebagai ahli YAKEB, dan sekiranya jika kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, penuh keikhlasan dan teliti dalam menyalurkan bantuan, secara sendirinya kita akan dilihat sebagai relevan kepada mereka."

Bersama wargakerja YAKEB
"Harapan saya, Yakeb akan terus berdiri teguh, dan meneruskan misi berbakti kepada warga bekas atlet. Saya telah memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk tampil dengan senarai ahli lembaga baru apabila tempoh pelantikan saya dan ahli lembaga lain tamat pada Oktober, dan saya yakin KBS telah memilih calon pengganti tepat, yang berwibawa dan berkarisma untuk terus memimpin YAKEB."

"Dengan pengalaman luas Datuk Jamil Salleh sebagai Timbalan Ketua Setiausaha KBS, kredibiliti, dan ciri-ciri kepimpinan tinggi yang beliau miliki, saya yakin Datuk Jamil akan memacu YAKEB ke arah kejayaan lebih gemilang.

"Kepada Datuk Jamil, saya ucapkan selamat datang ke YAKEB, dan SELAMAT MAJU JAYA." - Dato' Paduka Dr. Mumtaz Jaafar.

No comments:

Post a Comment