Pautan Suara Sukan

Monday, August 29, 2011

I’m The Best, Belum Ada Jurulatih Mampu Cabar Rekod Saya


Dikenali sebagai jurulatih serba boleh dengan TRACK RECORD yang boleh dibanggakan dan pastinya dicemburui oleh mana-mana jurulatih lain, K.Devan tidak dinafikan boleh diangkat sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Liga Malaysia.

Seorang yang mudah mesra, senang berbicara dan senang berkongsi pandangan – pastinya ramai yang sedar betapa Devan juga merupakan seorang dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara, pantang dikritik, dan gemar mencetus perang psikologi – sifat yang menjadikannya popular bukan sahaja di kalangan peminat bolasepak tempatan, juga media. 

Devan kebiasaannya tidak akan bercakap besar mengenai kemampuan pasukannya tetapi sekadar memuji ala kadar, dan gemar mengagungkan, bercakap tentang kelebihan dan kelemahan pasukan lawan - antara cara dia mencetus mainan psikologi dengan setiap tutur katanya pasti mempunyai makna yang tersirat, hingga adakalanya dia dilabel bongkak, bangga diri, angkuh atau apa sahaja perkataan yang sama waktu dengannya.

Baru-baru ini, selepas bertekak hampir setengah jam bersama penulis dan editor sebuah stesen tv tempatan mengenai statistik pertemuan Selangor – Kelantan, yang tiba-tiba menjadi topic panas hinga dia dilabel biadap oleh stesen TV berkenaan, Devan akhirnya berjaya COOL DOWN dan duduk berborak panjang, melawak bersama SS.

“lain kali kalau u nak tulis, u jangan la tulis pasal statistic pertemuan. u tulislah pasal pencapaian seseorang jurulatih, I nak tanya u tahu tak siapa jurulatih terbaik di Liga Malaysia? U tahu tak siapa jurulatih di Malaysia yang menang paling banyak piala? U ada simpan tak statistic tu? u cakap u buat homework kan, so u mesti tahu siapa jurulatih terbaik itu..”. – K.Devan.

Terus-terang, memang SS tiada buat homework tentang jurulatih paling berjaya dalam liga tempatan, dan rupa-rupanya jurulatih yang dimaksudkan Devan, adalah dirinya sendiri.

“mana ada jurulatih lain pernah menang banyak piala macam saya menang, saya menang Liga Super 3 kali bersama Negri Sembilan (2005), Selangor (2009,2010), Piala FA dengan Selangor (2009), Liga Premier dengan Kuala Muda NAZA (2008), Piala Sumbangsih bersama Selangor 2009 & 2010..”.

“itu belum campur masa saya menang Piala Presiden dengan N.Sembilan, saya jurulatih Piala Presiden sebelum jadi chief coach Negri, selain pingat Naib Juara, u check tengok Karathu menang berapa kejuaraan, Sathia menang berapa, even Azraai Khor menang treble dua musim berturut-turut pun baru 6 piala, saya berapa? So bukan kah saya terbaik di Liga Malaysia..?”.

Sesungguhnya, rekod Devan diakui cukup menakjubkan – 3 trofi Liga Super, 2 trofi Piala Sumbangsih, 1 trofi Piala FA, 2 trofi Piala Presiden dan satu-satunya piala yang belum ada dalam almari koleksi kejuaraan Devan, Piala Malaysia dan dia berazam menoktahkan penantian lama itu musim ini, dengan membawa Selangor merangkul kejuaraan ke-33.

Bimbing Selangor muncul Juara Piala FA 2009
Paling hampir, adalah ketika dia membimbing Negeri Sembilan mara ke final Piala Malaysia 2006, sebelum tewas kepada Perlis dengan jaringan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Andai berjaya membawa pulang Piala Malaysia musim ini, Devan boleh diiktiraf selaku jurulatih paling sempurna dalam sejarah liga tempatan (menang semua kejuaraan utama), namun jika gagal menjawablah anda dengan Persatuan Bolasepak Selangor nanti. 

p/s : Kepada semua pembaca/pengunjung, SS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin, moga hubungan sesama kitta bertambah erat, insyaAllah.

Tuesday, August 23, 2011

Dilabel Biadap, Timbulkan Kemarahan Devan


Tempoh hari Jurulatih Selangor, K.Devan mengatakan dia tidak peduli akan rekod pertemuan atau lebih tepat statistik 11 pertemuan lalu menentang musuh ketat, Kelantan, serta berpendapat ianya bukanlah sesuatu yang harus dibimbangkan. (baca sini)

Namun dalam diam, rupanya Devan ‘TIDAK LENA TIDUR’ sejak diajukan soalan itu oleh Suara Sukan, apatah lagi reaksi amarahnya menjawab soalan itu selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Kelantan minggu lalu dilabel BIADAP oleh sebuah stesen TV tempatan.

Tidak berpuas hati dengan statistic dipaparkan Suara Sukan tempoh hari, Devan menemui penulis sebentar tadi pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Bolasepak Selangor, dan menegaskan Selangor HANYA gagal menewaskan Kelantan 9 kali berturut-turut, bukan 11 kali, dan sekali lagi berpendapat ianya fakta tidak tepat dan sengaja mahu merendahkan kewibawaan Selangor berbanding lawan dari Pantai Timur itu.

“saya dengar Aiman kutuk saya dekat blog, kata saya macam2. sekarang saya nak tanya awak, kalau awak pemberita datang tanya saya dengan fakta salah, saya sebagai coach adalah orang paling sesuai untuk perbetulkan fakta itu, saya ada senaraikan statistic, u nak tengok saya boleh tunjuk, again, kita bukan gagal 11 kali, hanya 9 kali, saya tak boleh terima u cakap 11 perlawanan, seolah-olah u nak cakap Selangor ni memang tak mampu nak tewaskan Kelantan..”.

“saya sekali lagi nak tanya u macam mana u dapat statistic 11 perlawanan? Tahun ni 4 kali kita kalah 3 seri 1, 4 kali tahun lalu seri 3, kalah 1, campur frenly baru 9, 2009 kita last menang FA Cup, memang game tu seri 90 minit, tapi keputusannya kita menang, menang tetap menang la penalti pun. so statistic u patutnya kira selepas game tu..”. – K.Devan.

Kesungguhan Devan mempertahankan reputasi Selangor dengan membuat HOMEWORK tentang rekod pertemuan menentang Kelantan – sesuatu yang disifatkannya tidak menjamin keputusan di masa hadapan, memberi gambaran jelas betapa Devan sebenarnya terganggu dengan kegagalan pasukannya menewaskan Kelantan untuk tempoh 2 tahun (11 perlawanan mengikut statistik 90 minit permainan, atau 9 perlawanan mengikut perkiraan Devan).

Dan berpunca daripada reaksinya menjawab soalan itu Rabu lalu (17 Ogos), mendorong sebuah stesen televisyen swasta, melabelnya BIADAP, yang mana menimbulkan kemarahan Devan yang berpendapat laporan itu sama sekali menjatuhkan air mukanya sebagai Ketua Jurulatih yang dihormati.

“pernah tak saya marah wartawan sebelum ini? tak pernah kan? saya cuma perbetulkan fakta u hari tu, mungkin reaksi saya marah, tapi saya hanya mahu perbetulkan fakta u. itu tak bermakna saya BIADAP. Sampai ada yang call tanya saya apa saya buat hingga laporan berita kata saya BIADAP.  kalau ikutkan saya boleh saman stesen TV tu.  kita sama-sama tolong la, u as wartawan nak berita, tapi tak perlulah sampai burukkan dan jatuhkan imej oranglain..”.

Kepada Devan, sebenarnya perihal berkaitan statistik tidak perlu diperbesarkan dan dijadikan isu, apatah lagi anda sendiri mengatakan ianya tidak membawa apa-apa makna, manakala tentang dilabel BIADAP, SS tiada kena mengena dengan laporan berita tersebut, jangan SS pula yang terkena tempiasnya.

Apapun, professionalisme Devan tetap harus dipuji apatah lagi dia masih mahu bergurau dan melawak dengan penulis dan beberapa rakan pemberita lain, di sebalik laporan negatif mengenainya - tidak seperti jurulatih skuad kebangsaan.

Saturday, August 20, 2011

Karathu Cool, Shahrizan Dijamin Kesebelasan Utama


foto : mazram-iv
Menang 1-0 dalam dua aksi persahabatan terakhir menentang ATM PDRM dan Selangor, serta 5-0 ke atas skuad ‘separa kuat’ Kuala Lumpur sebelum itu belum boleh dianggap suatu keputusan yang meyakinkan buat skuad Juara Liga Super dan Finalis Piala FA, Kelantan yang dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Namun, pengendalinya, Datuk M.Karathu langsung tidak cemas, mahupun panic dengan situasi berkenaan, kerana beliau ketika ini masih dalam proses ‘TRY AND ERROR’ dan tidak sama sekali peduli akan keputusan yang dicatatkan dalam perlawanan pemanas badan.

“kita dalam proses mencuba, mencari gandingan terbaik, kombinasi terbaik, tak perlu panic, kerana gandingan ini hanya akan menjadi selepas beraksi bersama untuk beberapa perlawanan, bukan 1,2 game. jika dulu kita cuma ada Norshahrul, sekarang kita ada banyak pilihan dan saya percaya mereka akan tunjukkan keserasian apabila Piala Malaysia bermula. Kita masih ada masa yang panjang so tidak perlu khuatir..”. – Datuk M.Karathu.

Malah yang lebih mengembirakan jurulatih berasal dari Perak itu, kecemerlangan penjaga gol kedua, Shahrizan Ismail yang dilihat berjaya menutup dengan baik ketiadaan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat yang kini bersama skuad Olimpik di Slovakia.

Foto : mazram-iv
Shahrizan tidak bolos dalam kedua-dua perlawanan persahabatan, malah menurut Karathu dia cukup yakin dengan prestasi Shahrizan dan bersedia mengekalkan penjaga gol berusia 31 tahun itu dalam kesebelasan utama meskipun dengan kehadiran semula Apek, memandangkan Shahrizan tidak pernah sekalipun mengecewakannya setiap kali diturunkan.

Shahrizan beraksi antara 3-5 perlawanan sepanjang ketiadaan Apek dalam aksi Liga Super dan Piala FA, dan tidak bolos walau satupun gol dalam kesemua perlawanan itu.

Karathu juga menjelaskan kehadiran dua pemain pinjaman dari Pahang, Azamudin Akil dan R.Surendran sememangnya memberikannya lebih pilihan apatah lagi Kelantan bergelut dengan masalah ketiadaan penyerang berbisa sebelum ini selain Norshahrul Idlan Talaha - namun dalam masa sama menegaskan mereka tetap perlu bersaing hebat dengan pemain sedia ada untuk merebut posisi dalam kesebelasan utama. 

Kelantan akan menentang T-Team dalam aksi persahabatan berikutnya pada 24 Ogos, dan Karathu berjanji akan mencuba variasi gandingan, tidak lagi STICK kepada satu gandingan pemain yang sama sepertimana diamalkannya sebelum ini.

Thursday, August 18, 2011

Devan Tertekan, Enggan Terima Hakikat

Tewas sekali lagi kepada Kelantan, buat kali keempat musim ini - kali ini dengan jaringan 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam sebentar tadi masih boleh diterima pengendali Selangor, K.Devan.

Namun jurulatih yang sama, yang mana kehilangan suaranya ketika Selangor dibelasah 1-5 oleh Kelantan pada aksi semi final Piala FA 13 Mei lalu TIDAK MAHU sama sekali mengakui dan MENAFIKAN sekeras-kerasnya betapa kekalahan hasil jaringan tunggal Azamuddin Akil itu, melebarkan REKOD TANPA MENANG pasukannya ke atas Kelantan, kepada 11 perlawanan.

2009, selepas tewaskan Kelantan menerusi penalti
Devan nyata tidak senang dengan soalan Suara Sukan, yang bertanya apakah dia bimbang dengan KEGAGALAN SELANGOR MENEWASKAN KELANTAN buat kali ke-11 berturut-turut, yang mana seolah-olah memperlekehkan kemampuan pasukan bimbingannya itu, dan BERPENDAPAT STATISTIK ITU TIDAK BENAR.

“apa maksud u 11 perlawanan, tunjukkan saya statistic 11 perlawanan itu, jangan main petik jer kata 11 perlawanan tak pernah menang, yang kita menang Piala FA tu apa? Yang kita menang 3-0 di stadium ini juga pada 2009, zaman Peter Butler tu nak letak mana? Semak dulu fakta sebelum tanya, tahun 2009 kita tak tewas langsung kepada Kelantan, dalam 2010 dan 2011 kita jumpa Kelantan pun tak sampai 10 kali, so macam mana u boleh cakap kita tak pernah tewaskan Kelantan 11 kali?..”. – reaksi MARAH K.Devan.

Kepada K.Devan, pertamanya SS minta maaf, kerana di atas permintaan anda, SS senaraikan statistik 12 perlawanan Selangor menentang Kelantan sejak kali terakhir Selangor menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Shah Alam, di mana kedua-dua Surendran (D &R) menjaringkan gol. 

Jadi Devan, nilai sendirilah sama ada statistik tidak tepat, atau anda enggan menerima hakikat betapa Kelantan lebih gah dari Selangor dalam tempoh 2 tahun yang lalu.

STATISTIK PERTEMUAN SELANGOR – KELANTAN, 12 pertemuan kesemuanya sejak 2009 – 2011. Selangor di bawah bimbingan K.Devan, manakala Kelantan Peter Butler (2009), B.Sathianathan (2010) dan Datuk M.Karathu (2011).

17/08/2011
Selangor 0 – 1 Kelantan
Shah Alam
Friendly
16/05/2011
Selangor 1 – 1 Kelantan
Kota Bharu
Piala FA Semi Final
13/05/2011
Selangor 1 – 5 Kelantan
Shah Alam
Piala FA Semi Final
26/04/2011
Selangor 0 – 1 Kelantan
Kota Bharu
Liga Super
29/01/2011
Selangor 0 – 2 Kelantan
Shah Alam
Liga Super/Sumbangsih
15/10/2010
Selangor 0 – 3 Kelantan
Kota Bharu
Piala Malaysia (suku akhir)
12/10/2010
Selangor 0 – 0 Kelantan
Shah Alam
Piala Malaysia (suku akhir)
10/07/2010
Selangor 1 – 1 Kelantan
Shah Alam
Liga Super
12/03/2010
Selangor 0 – 0 Kelantan
Kota Bharu
Liga Super
25/04/2009
Selangor 1 – 1 Kelantan
Bukit Jalil
Piala FA (Final)
11/04/2009
Selangor 1 – 1 Kelantan
Bukit Jalil
Liga Super
28/02/2009
SELANGOR 3 – 0 KELANTAN
Shah Alam
Liga Super

Andai ditolak sekalipun perlawanan sebentar tadi, jumlahnya tetap menunjukkan 10 perlawanan, justeru apakah Devan masih mahu berdalih selepas melihat statistic ini, atau akur betapa sudah dua tahun lebih pasukannya tidak merasai nikmat kemenangan ke atas Kelantan – jawapannya, Devan tidak peduli semua rekod lampau tersebut.

“(DENGAN NADA MARAH) tak kisahlah tak pernah menang, keputusan semalam atau hari ini tidak menjamin keputusan di masa depan, menang hari ini belum tentu dia (Kelantan) boleh maintain same performance. Saya nak tanya u boleh jamin ke Kelantan boleh menang Piala Malaysia?? Tak boleh kan? so kenapa saya perlu bimbang dengan Kelantan, they play their game, we play our game.. (START COOL DOWN) apapun saya minta maaf jika saya terkasar bahasa, no heart feeling ok..”.  

Diteliti kata-kata Devan, tampak pasti beliau sebenarnya tertekan untuk memastikan Selangor tidak menamatkan musim ini dengan tangan kosong, justeru Piala Malaysia adalah peluang terbaik buatnya merealisasikan hasrat itu – piala yang kali terakhir dimenangi pada 2005.

Wednesday, August 17, 2011

Penyokong Punya Pasal, KAFA Kena Lagi?


Persiapan skuad Kelantan menghadapi saingan Piala Malaysia, sedikit tersentak apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), berdepan hukuman denda RM10,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana tindakan membaling botol dan mercun oleh penyokong mereka ketika perlawanan akhir Piala FA, 11 Jun lalu. 

FAM dilaporkan sudah menghantar surat pertuduhan untuk dijawab KAFA dalam tempoh waktu ditetapkan sebelum dipanggil membela diri, dan nyata, perkhabaran kurang gembira ini hadir tidak kena pada waktunya, dan lebih perit ini bukanlah kali pertama KAFA berdepan hukuman Persatuan Bolasepak Malaysia gara-gara tindakan segelintir penyokong mereka.

Andai  hukuman sah dijatuhkan selepas mesyuarat jawatankuasa tatatertib bersidang, ia boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga apatah lagi mereka tewas pada perlawanan final menentang Terengganu itu, hasil gol sendiri minit akhir Daudsu Jamaludin, dan gol masa tambahan Ahmad Nordin Alias, selain perlawanan juga dihentikan 4 minit ekoran balingan objek ke pintu gol Terengganu.

Kalau beginilah situasinya setiap kali Kelantan beraksi pada perlawanan-perlawanan besar, maka nampak gayanya kantung KAFA akan sentiasa bocor meskipun menjuarai semua trofi dan kejuaraan yang dipertandingkan.

Tuesday, August 16, 2011

Selangor, Kelantan Janji Tampil Aksi Persis Final, Devan Enggan Diaibkan Lagi


Di atas kertas, mereka dijangka bertemu di pentas final Piala Malaysia. Namun, Selangor dan Kelantan bersedia menghidupkan suasana itu lebih awal apabila bertemu dalam aksi pemanas badan menjelang bermulanya saingan Piala Malaysia malam esok, di Stadium Shah Alam.

Kedua-dua pasukan telahpun bertemu 4 kali musim ini dalam saingan Liga Super dan Piala FA, yang mana Kelantan menang 3 daripadanya, dan 1 berkesudahan seri. Untuk rekod, Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Gergasi Merah Kuning dalam 10 pertemuan lalu, iaitu sejak kali terakhir tewas 0-3 pada 28 Februari 2009 di Stadium Shah Alam.

Malah, Kelantan dilabel sebagai pasukan WAJIB ditewaskan anak buah K.Devan yang dinafikan EMPAT KEJUARAAN oleh The Red Warriors dalam tempoh kurang setahun – Piala Malaysia 2010 (Suku Akhir, 0-3), Piala Sumbangsih 2011 (0-2), Piala FA 2011 (Separuh Akhir, 2-6) dan Liga Super 2011 – justeru Devan tidak mahu melihat barisan bimbingannya diaibkan sekali lagi oleh Kelantan di venue sama yang menjadi saksi kekalahan besar 1-5 pada aksi separuh akhir Piala FA, 13 Mei lalu.

“pasukan kita memang wajar bertemu Kelantan, kerana mereka adalah pasukan yang mempunyai kekuatan yang baik, kita tak akan jumpa mereka hingga aksi final, peluang untuk kita mengetahui gaya permainan mereka. secara tidak langsung dapat menguji kekuatan dan kelemahan team kita sekaligus memberi saya ruang meneliti dan membaiki kelemahan, tengok sama ada kombinasi pemain berkesan atau tidak..”.

“..jika mendapat keputusan positif maka moral dan keyakinan pemain akan bertambah baik, lagipun kali terakhir di Shah Alam kita kalah 1-5 kepada Kelantan, so memang kita tak sabar menanti game ini..”. – K.Devan.

Devan juga memberitahu pasukannya akan beraksi tanpa kelibat tiga pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, dan Asrarudin Putra Omar yang direhatkan kerana baru sahaja pulang dari kem skuad kebangsaan, manakala Khairul Anuar Baharom tersisih kerana kecederaan namun menegaskan pemain yang sedia ada mampu mengisi kekosongan ditinggalkan mereka dengan baik. 

Tambahnya ini memberi ruang kepada pemain-pemain simpanan untuk membuktikan keupayaan masing-masing dan mereka yang menyerlah berpotensi diturunkan dalam kesebelasan utama.

Sementara bagi jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu, beliau mahu pemainnya turun ke padang dengan mentality sama seperti perlawanan sebelumnya, dan beraksi tanpa tekanan memandangkan ia hanyalah perlawanan persahabatan.

Fokusnya adalah untuk menyediakan pasukan ini untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia justeru berpendapat menang atau kalah pada perlawanan pemanas badan bukanlah sesuatu yang menunjukkan keupayaan sebenar sesebuah pasukan.

Monday, August 15, 2011

MSN Bayar Gaji Harun, Kuartet 4x100 Wanita Berpindah Tangan


Selepas kecoh seketika, isu tunggakan gaji Ketua Jurulatih Olahraga Negara, Harun Rashid boleh dikatakan selesai, apabila majikannya Majlis Sukan Negara, bersetuju menyelesaikan isu berbangkit itu secepat mungkin. 

Cuma untuk berlaku adil, Ketua Pengarah MSN, Dato’ Zolkples Embong dalam sidang media petang tadi berkata jumlah yang akan dibayar bukan sepertimana dituntut Harun iaitu RM32,000, sebaliknya gaji tertunggak dari Januari hingga 23 Mei 2011 (tarikh Harun ‘menghilangkan’ diri ekoran kes anti-doping membabitkan atlet di bawah kendaliannya).

“berkenaan gaji Harun, yang ni untuk satisfy Aiman (blogger Suara Sukan), kita bersetuju untuk bayar gaji Harun, dari Januari hingga 23 Mei iaitu tarikh beliau menghilangkan diri . kita dah minta serahkan geran kepada KOAM untuk setelkan gaji beliau..”. – Dato’ Zolkples Embong.

Selesai memang selesai, tapi rasanya Dato’ Zolkples tidak perlulah menyebut untuk SATISFY Aiman (blogger Suara Sukan) yang sebelum ini ‘menghentam’ dan mempersoalkan profesionalisme beliau kerana isu ini, (baca sini dan sini). 

Pendedahan Suara Sukan sebelum ini, sekadar untuk memperjuangkan hak Harun, bukan hak peribadi dan sudah tentunya apabila isu ini selesai, ia SATISFY semua pihak termasuk media, bukan saya seorang.

Dalam sidang media sama, Zolkples berkata Harun kekal selaku Ketua Jurulatih Olahraga Negara, cuma bezanya kali ini Harun akan memantau perkembangan olahraga secara keseluruhan, bukan lagi spesifik kepada mana-mana atlet.

Ini bermakna kuartet 4x100meter wanita yang memecahkan rekod kebangsaan di Poland tahun lalu akan berpindah tangan kepada Tan Kok Lim, dalam masa sama menyaksikan kombinasi Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah, Norjannah Hafiszah, Yee Ee Ling, dan Nurul Sarah yang berpecah sejak melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping hujung Mei lalu, akan kembali digandingkan selepas lebih dua bulan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja KOAM-MSN juga memutus untuk membenarkan KOAM menggunakan Ranau sebagai pusat latihan fasa akhir Sukan Sea Indonesia, manakala beberapa atlet berlatih di luar negara - antaranya atlet veteran, Noraseela Khalid (Afrika Selatan), kuartet 4x100meter, dan beberapa atlet lain yang telah layak, dan berpotensi layak ke temasya dwitahunan itu.

Azamudin, Surendran Skor Pada Penampilan Pertama


Ianya mungkin tidak lebih daripada sebuah perlawanan pemanas badan menjelang bermulanya saingan Piala Malaysia dalam tempoh 3 minggu lagi, namun juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan tetap tampil garang apabila membelasah skuad Warga Kota, Kuala Lumpur, 5-0, dalam aksi persahabatan di Stadium Selayang, semalam.

Dua pemain pinjaman dari Pahang, Azamudin Akil dan R.Surendran masing-masing meledak satu gol dalam perlawanan tersebut, namun jurulatih pasukan, Datuk M.Karathu tampak belum cukup yakin dengan barisan pemainnya apatah lagi mengambil kira skuad Kuala Lumpur sendiri hanya membariskan skuad ‘separa kuat’. 

“Memang kita menang besar, tapi it just a friendly, kadang-kadang kita main tidak komited 100%, kadang-kadang mereka main tidak komited 100%, so susah nak menilai, after all ini baru first game kita, selepas beberapa perlawanan lain baru kita boleh nampak team kita punya full potential..”

“tentang alex dan surendran, mereka memang beraksi baik, skor gol, saya akan nilai, kita masih ada masa..”. - Datuk M.Karathu.

Pada perlawanan itu Kelantan mendahului 2-0 pada babak pertama, hasil jaringan Nurul Azwan Roya dan Azamudin sebelum menambah 3 lagi gol di babak kedua menerusi Badri Razi, Solehin Kanasian, dan R.Surendran, selain menyaksikan penampilan penjaga gol veteran, Halim Napi.

Saturday, August 13, 2011

Mara Ke Final, ‘Superb’ Chong Wei Di Landasan Tepat Rangkul Kejuaraan Dunia


Jaguh badminton tanah air, Lee Chong Wei semakin hampir untuk menoktahkan kemarau kejuaraan di Kejohanan Dunia, apabila mara ke final kejohanan itu buat kali pertama selepas 6 kali mencuba sejak 2005,  seterusnya menempah tiket beraksi di FINAL KELAPAN musim ini.

Jika tahun lalu, Lee Chong Wei berada di prestasi menakjubkan, tahun ini jaguh badminton dunia itu nyata berada di KEMUNCAK PRESTASI MENAKJUBKAN itu, dan terlalu ampuh untuk disaingi mana-mana pemain, dan pada aksi separuh akhir sebentar tadi, pemain no.1 dunia itu mempamer perwatakan sang juara dengan membenam cabaran pemain no.6 dunia, juga JUARA BERTAHAN dari China, Chen Jin, 21-13, 21-9 dalam masa 43 minit.

Pencapaian terbaik pemain berasal dari Pulau Pinang itu sebelum ini ialah mara ke separuh akhir (2005), manakala cabarannya tersekat di peringkat suku akhir pada 2006, 2009 dan 2010, manakala pada 2007 dia sekadar mara hingga ke pusingan ketiga. Kejohanan Dunia tidak dipertandingkan pada 2008, kerana memberi laluan kepada Sukan Olimpik Beijing.

Dalam laluannya ke final, Chong Wei menundukkan Thanonsak (Thailand, Pusingan Pertama), Park Sung Hwan (Korea, Pusingan Ketiga), Kevin Cordon (Guatemala, Suku Akhir) – kesemuanya dalam masa tidak sampai 30 minit, dan tanpa tewas walaupun satu SET. Kejayaan ini membuktikan Chong Wei bukan sekadar gah pada status pemain no.1 dunia, tetapi berada di KELAS TERSENDIRI yang pastinya sukar dicapai oleh mana-mana pemain terbaik dunia sekalipun. 

Pada aksi final esok, Chong Wei dijangka berdepan musuh ketatnya, ‘The Super’ Lin Dan yang mempunyai rekod menjuarai kejohanan ini 3 kali pada 2006, 2007 dan 2009 ATAU pemain veteran dari Denmark, Peter Gade Christensen – kemenangan pada aksi final akan menyaksikan Chong Wei merangkul kejuaraan ketujuhnya tahun ini selepas BWF Masters Final, Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India, Terbuka Malaysia GP Gold, dan Terbuka Indonesia.

Friday, August 12, 2011

MSN Kata Tidak Pernah Lantik Harun, Tapi Kenapa Ada Pembahagian Tugas?


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, MSN, Dato’ Zolkples Embong, mendakwa MSN tidak pernah melantik semula atau dalam kata lain memperbaharui kontrak Harun Rashid sebagai Ketua Jurulatih Olahraga Negara, selepas kontrak beliau berakhir pada 31 Disember 2010, justeru berpendapat tuntutan tunggakan gaji 8 bulan sebanyak RM32,000 oleh Harun, sebagai tidak berasas.

Cuma yang peliknya, andai betul dakwaan Zolkples itu, siapakah pula yang bertindak sebagai Ketua Jurulatih Olahraga Negara sepanjang tempoh 8 bulan yang lalu, DAN atas dasar apakah pula Harun diberi tanggungjawab melatih atlet 4x100 meter wanita, selepas berakhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Kerja April lalu – seorang individu diberi tugas membimbing sekumpulan atlet, tetapi tidak dilantik sebagai jurulatih, di mana relevannya? 

Senang cerita, kalau tak lantik, kenapa agihkan tugas? Ini petikan kenyataan Zolkples kepada pemberita.

Harun Rasheed
“Kita tak pernah lantik beliau, belum lantik sebagai jurulatih macam mana timbul masalah gaji, beliau juga tahu bahawa DALAM PERBINCANGAN MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA, BELIAU SEhARUSNYA MELATIH ATLET 4x100m WANITA, atlet bawah program kita, 3 orang iaitu Siti Zubaidah, Siti Fatimah, dan Ee Ling, tak pernah dilatih beliau, jadi macam mana kita kena ayar gaji? Yang pertama tak pernah lantik, dalam masa sama TAK PERNAH LAKSANAKAN TUGAS YANG SEPATUTNYA BELIAU LAKSANAKAN. Kita persetujui bersama KOAM dalam mesyuarat JKK dihadiri Dato Sri Shahidan..”.

“kita takda masalah dengan jurulatih lain, kita lantik dan bayar dari Januari seramai 8-9 orang, SEBAB MEREKA JALANKAN TANGGUNGJAWAB MEREKA, selepas isu doping, mana beliau pergi, saya hanya dapat tahu melalui media beliau pergi Bulgaria, saya tak tahu keputusan siapa, beliau tak pernah memaklumkan kepada kita, apatah lagi utk mendapat kelulusan. Kalau beliau berada di bawah lantikan kita, kita agensi kerajaan ada peraturan, ke luar negara mesti mendapat kelulusan dan sebagainya, saya tak tahu apa asas beliau buat tuntutan MSN harus bayar gaji beliau..”. – Dato’ Zolkples Embong. 

Daripada kenyataan di atas serta maklumat yang diterima, bukan sahaja Harun, tetapi kesemua jurulatih Olahraga negara, sememangnya ditawarkan pelantikan baru hanya selepas berakhir mesyuarat JKK, iaitu pada Mei, bagi membolehkan persatuan memilih jurulatih berdasarkan pemantauan prestasi atlet dan jurulatih itu sendiri.

Hanya selepas pelantikan baru dibuat, kesemua gaji tertunggak sejak Januari dibayar MSN – masalahnya kesemua jurulatih lain mendapat pembayaran masing-masing, kecuali Harun, apakah masalahnya? Ditanya kepada Zolkples, ini jawapan yang diberikan.

“Sepatutnya memang kita yang bayar, tapi kita tak pernah lantik, beliau hilang, kita tak sempat lanjut kontrak dia hilang, sebab tu yang lain takde masalah, kalau beliau menuruti arahan KOAM, lain dari keputusan yang kita capai, KOAM harus bertanggungjawab bayar gaji beliau, beliau sorang jer, yang lain kita bayar..”.

Katanya tidak pernah lantik, kemudian tidak laksanakan tanggungjawab? Kalau tidak dilantik, tak perlulah beliau laksanakan tanggungjawab, apa masalah? Masalah di sini, MSN bukan tidak pernah melantik, cuma Harun tidak sempat menandatangani pelantikan baru ekoran terjadinya insiden yang mana atlet di bawah bimbingannya lari dari menjalani ujian anti-doping, menyebabkan Harun menghilangkan diri seketika selepas insiden itu.

‘Kehilangan’ Harun itulah, ditambah pula pergeseran dengan KOAM, dijadikan alasan oleh MSN untuk tidak menawarkan kontrak baru, tanpa memberikan beliau sebarang notis, surat amaran atau surat tunjuk sebab. 

MSN sebagai majikan memang berhak mengambil tindakan ke atas Harun, namun menyekat gaji beliau sejak dari January, sedangkan pelantikan dibuat Mei, manakala insiden pula berlaku penghujung Mei tidak wajar dijadikan alasan untuk mengatakan Harun tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. 

Adakah MSN mempergunakan beliau untuk memberikan khidmat percuma, atau sumbangan beliau untuk 5 bulan pertama sekadar khidmat SUKARELA?  

Dalam satu mesyuarat KOAM-MSN minggu lalu, dikhabarkan isu tunggakan gaji ini telah diutarakan dan tidak pula wujud perdebatan bahawa Harun tidak dilantik sebagai jurulatih ketika itu, jadi kenapa sekarang mahu menafikan?

Malah, kenyataan Zolkples bahawa Harun tidak pernah melatih 3 atlet yang disebut beliau iaitu Siti Fatimah, Siti Zubaidah dan Yee Ee Ling juga tidak munasabah, apatah lagi kesemua 3 mereka, termasuk 3 atlet lain – Norjannah Hafiszah, Nurul Sarah dan Imran Hadi berlatih di bawah bimbingan Harun sejak tahun lalu, termasuk ketika di Ranau sebelum mereka berpecah ekoran insiden lari daripada ujian anti-doping.

Malah, kuartet 4x100meter kendalian Harun jugalah yang memecahkan rekod kebangsaan milik gandingan Mumtaz Jaafar, Anita Ali, Sajaratuldur Hamzah dan G.Shanti (baca sini, dan sini 2010), dan ini pula artikel yang membuktikan Harun pernah melatih kesemua atlet itu tahun ini (2011, baca sini).

Apa sekalipun, MSN dan KOAM memang tidak ada peluang untuk berbaik-baik pada generasi ini, mungkin perlu tunggu 7 generasi akan datang, namun janganlah kerana ego dan pergeseran anda, kita kehilangan atlet dan jurulatih berkualiti.

Kita harapkan MSN akan bersikap professional dengan mengadakan pertemuan 4 mata bersama Harun, dan membayar tunggakan gaji sepertimana dituntut Harun, usahlah kita menafikan hak beliau.