Pautan Suara Sukan

Thursday, May 12, 2011

Gagal 8 kali, Mampukah Selangor Atasi Badi Kelantan?


Sedar atau tidak, kali terakhir Selangor menewaskan Kelantan dalam 90 minit permainan adalah lebih 2 tahun lepas, iaitu pada 28 Februari 2009, ketika itu Selangor menang 3-0 hasil jaringan R.Surendran dan 2 gol D.Surendran di Stadium Shah Alam. 

Amri, tonggak Selangor
Selangor selepas itu mendapati Kelantan terlalu sukar untuk ditundukkan, dan kemenangan pada final Piala FA 2009 (25/04/09) pula, hanyalah menerusi tendangan penalty selepas kedudukan terikat seri 1-1.

3 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, menyaksikan Kelantan menang kesemuanya iaitu separuh akhir Piala Malaysia 2010 (3-0), serta Liga Super 2011 (2-0, 1-0), manakala lima pertemuan sebelum itu kesemuanya berkesudahan seri. (Tak percaya, rujuklah sini, kami tak tipu ya)

Nyata, Kelantan adalah pasukan WAJIB ditundukkan anak buah K.Devan, apabila mereka bertemu pada aksi Separuh Akhir Piala FA 2011, sekaligus mengulangi pertembungan sensasi 2009, ketika itu Kelantan di bawah bimbingan Peter Butler, dan diketuai Indra Putra Mahyuddin.

Mengambil kira rekod pertemuan, kelebihan nyata milik Kelantan, namun rekod di atas kertas tidak boleh dijadikan ukuran pada ketika Selangor pastinya tidak mahu kempunan sekali lagi selepas cabaran mereka dinoktahkan Negeri Sembilan di peringkat separuh akhir, musim lalu.

Dan barisan pemain diketuai pemain serba boleh, Amri Yahyah juga pastinya mahu memanfaatkan sebaik mungkin aksi di laman sendiri untuk mencari kelebihan awal sebelum bertandang ke Kota Bharu pada 16 Mei nanti.

Norshahrul, ayam tambatan Kelantan
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Shah Alam, Kelantan menang 2-0 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan Badri Razi, seterusnya menjulang Piala Sumbangsih, pada saingan pembuka tirai musim 2011.

Malah, K.Devan juga pastinya sudah merencana strategi ampuh untuk menyekat kemaraan TRW, apatah lagi beliau sendiri turun padang menyaksikan aksi Kelantan menentang Negeri Sembilan di Paroi tempoh hari. 

Sama ada Kelantan mampu meneruskan badi mereka ke atas Selangor, atau penantian lebih 2 tahun  Selangor untuk menewaskan Kelantan tercapai, sama-sama kita nantikan aksi penuh debaran di Stadium Shah Alam, pada Jumaat.

No comments:

Post a Comment