Pautan Suara Sukan

Tuesday, April 5, 2011

Liga Super : Mampukah Indra Lakukan Sekali Lagi?


6 perlawanan Liga Super akan berlangsung malam ini, dan tumpuan ramai pastinya terarah ke Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, di mana tuan rumah T-Team, melayan kunjungan pendahulu liga, Kelantan.

Bukan kerana reputasi hebat dimiliki, apatah lagi Kelantan ketika ini berkelebihan 9 mata mengatasi T-Team yang menduduki tangga ke-10, dengan hanya 8 mata, sebaliknya seperti diketahui peminat bolasepak tempatan, pertemuan kedua-dua pasukan mempunyai ceritera tersendiri.

Indra Putra Mahyudin, Norfarhan Mohd dan Azizi Mat Rose – 3 bekas pemain Kelantan yang kemudiannya dilabel 3 Abdul kerana meninggalkan pasukan secara tidak sah dijangka beraksi malam ini sekaligus menjadi duri dalam daging bagi Kelantan, tatkala Kelantan pula pastinya mahu  membuktikan mereka lebih hebat tanpa kehadiran tiga pemain berpengalaman itu.

Apapun, ini bukan pertemuan pertama kedua-dua pasukan musim ini, aksi Pusingan Pertama Piala FA 13 Februari lalu antara Kelantan dan T-Team, berkesudahan seri 1-1, dan Kelantan menang penentuan sepakan penalti.

Lebih menarik, bekas kapten, dan sanjungan Kelantan sejak 2 musim lalu, Indra Putra menjaringkan gol penyamaan cantik pada perlawanan itu, yang mana rembatan kencangnya menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat. Meskipun dianggap sebagai tonggak kekuatan T-Team musim ini, nama Indra seakan tenggelam dan sehingga kini belum menampakkan sebarang impak kepada pasukannya berbanding ketika bersama Kelantan, dari 2009 – 2010. 

Bukan sahaja Indra, malah nama Norfarhan juga tenggelam selain dibelenggu kecederaan, sekaligus mengukuhkan tanggapan penyokong Kelantan bahawasanya mereka telah membuat keputusan silap untuk ‘mengkhianati’ Kelantan.

Indra pastinya mahu sekali lagi membuktikan kepada peminat TRW betapa dia mampu mencipta gemilang bersama pasukan barunya, tapi persoalannya mampukah dia pada ketika pemain Kelantan juga sudah tentu menutup segala ruang untuknya bergerak bebas.

Manakala Azizi pula jika anda masih ingat, beraksi di bawah tekanan hebat ketika aksi 13 Februari lalu, yang menyaksikannya sekadar dilayangkan kad kuning walaupun berulang kali menolak pengadil perlawanan, gara-gara tidak berpuas hati dengan sepakan penalti yang diberikan kepada Kelantan.

Apapun, satu kelebihan buat T-Team malam ini, selain beraksi di gelanggang sendiri, tiga pemain ini pastinya mengetahui di mana kekuatan dan kelemahan sebenar The Red Warriors, justeru jika mereka mahu meraih 3 mata malam ini, mereka perlu memanfaatkan sebaik mungkin setiap kelemahan Kelantan.

Kelantan pula, selain Indra, juga perlu berhati-hati dan menutup ruang buat seorang lagi pakar sepakan percuma, Zairo Anuar Zailani serta Harris Safwan Kamal, dan mengelakkan kesilapan-kesilapan mudah sepertimana dilakukan ketika menentang Harimau Muda tempoh hari.

Selain perlawanan T-Team - Kelantan, turut berlangsung Kedah - Johor Fc, Negeri Sembilan - Kuala Lumpur, Perak - Perlis, Felda Utd - Sabah, Harimau Muda - Selangor.

No comments:

Post a Comment