**Pandangan/Kupasan penulis selaku wartawan sukan, tidak semestinya menggambarkan pandangan umum**
Secara kasarnya, gelaran juara Liga Perdana England musim ini sudah hampir pasti menjadi milik Manchester United, apatah lagi dengan hanya berbaki 5 perlawanan, dan kelebihan 6 mata di tangga teratas, ia memerlukan keajaiban untuk menafikan United, trofi EPL ke-19 mereka.
Ironinya, setiap kali Manchester United mencicirkan mata, setiap kali juga cakap-cakap bahawa saingan merebut trofi EPL kembali terbuka lantang kedengaran, namun setiap kali itu jugalah, pencabar terdekat, Arsenal gagal memanfaatkan kesempatan untuk merapatkan beza mata.
5 kali seri dalam 6 perlawanan terakhir, termasuk 3-3 menentang Tottenham Hotspurs awal pagi tadi, bermakna anak buah Arsene Wenger kini kekal ketinggalan 6 mata di belakang Red Devils, namun lebih malang, mereka dipintas Chelsea, yang melonjak ke tangga kedua hasil perbezaan jaringan, selepas menewaskan Birmingham 3-1.
Arsenal rebah di saat yang begitu penting dalam misi mereka menamatkan kemarau trofi 5 tahun, yang tampak akan berlanjutan untuk tidak-tidaknya semusim lagi. Mereka memulakan dengan cukup indah, namun seperti lazimnya mereka rebah gara-gara kesilapan sendiri.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger |
Beberapa aksi MESTI MENANG umpamanya menentang Sunderland, Blackburn, dan West Brom kesemuanya berkesudahan seri, dengan dua daripadanya adalah di gelanggang sendiri. Seri menentang Liverpool pula mungkin adil bagi kedua-dua pasukan, namun yang menjadi persoalan krisis keyakinan tampak semakin merudum di Emirates, apatah lagi semua situasi kini tidak menyebelahi mereka.
Contohnya, menentang Liverpool, 90 minit permainan tiada satupun jaringan terhasil, malah penguasaan bola juga lebih memihak Arsenal, apabila mereka beroleh gol penalty minit ke-97 yang boleh ditakrif gol kemenangan, mereka tetap bolos gol lewat, lewat permainan, juga menerusi penalty.
Menentang Spurs, mendahului 3-1 pada satu ketika, penjaga gol Wojciech Sczesny tiga kali membuat ‘cubaan’ menghadiahkan penalty kepada lawan – mengasari Roman Pavlyuchenko, Gareth Bale dan Aaron Lennon. Dan kekasaran ke atas Lennon, menyaksikan penalty untuk Spurs, sekali lagi seri dramatic untuk The Gunners.
Kini, kedua-dua Chelsea dan Arsenal ketinggalan 6 mata, dan daripada 15 mata maksimum yang tinggal, kelebihan 6 mata bagi United itu mungkin juga ‘lenyap’ begitu sahaja, apabila United menentang Arsenal dan Chelsea berturut-turut pada perlawanan ke 35 dan 36.
Justeru dengan cabaran dihadirkan Arsenal semakin longlai, dan Chelsea pula berusaha keras untuk mempertahankan kejuaraan, hanya United sendiri yang kini boleh menentukan nasib mereka, sama ada dapat menggengam gelaran ke-19 atau sebaliknya.
6 mata tak banyak pun hhuhuu..
ReplyDelete