Pautan Suara Sukan

Thursday, April 7, 2011

Akaun Facebook Bukan Milik Saya - Nizad - Beri Saya Peluang Buktikan


Di mana hendak penulis mulakan, tentang pengesahan tuan punya badan Nizad Ayub yang berulang kali menegaskan akaun facebook yang mempunyai 2934 rakan sehingga saat artikel ini ditulis bukan miliknya, atau pemberontakan di dalam dirinya yang mahu diberi peluang beraksi untuk membuktikan sentuhan berbisanya.

Baik, penulis mulakan dengan topik pertama. Sebenarnya perihal akaun facebook Nizad Ayub, bukan miliknya sudah lama kedengaran, cuma mungkin ada di kalangan tidak begitu mengambil serius akan hal berkenaan lebih-lebih lagi bagi mereka yang teruja untuk berkenalan jejaka yang bukan sahaja dikenali sebagai bakat serba boleh, tetapi juga mempunyai raut wajah yang tampan ini.

Penulis sendiri sudah lama diberitahu oleh Nizad sendiri akan hal ini, yang mahu perkara ini didedahkan tambahan pula ketika itu penulis bertanya kepada Nizad (face to face) kenapa tidak pernah membalas sebarang mesej atau komen di facebook.

“saya takda akaun facebook jangan salah anggap. Saya ada dimaklumkan ada yang menyamar menjadi diri saya oleh rakan-rakan lain, tapi sumpah itu bukan saya, dan saya langsung tiada akaun facebook, saya tidak tahu ini kerja peminat atau pengkhianat, saya harap abang boleh dedahkan sebab saya tidak mahu dilabel sombong nanti..”, jelas Nizad.

Penulis percaya akaun itu mungkin diwujudkan peminat setia Nizad, namun apa sekalipun jika benar dia peminat, lebih elok dia sendiri memberitahu bahawa ini adalah sekadar hanya Laman Peminat (Fan Page) dan bukannya menambah (add) atau mengesahkan (approve) permintaan rakan, kemudiannya mendiamkan diri menampakkan seolah Nizad seorang yang sombong. 

Nizad juga berharap penjelasannya ini, dapat menutup ragu orang ramai sekaligus meminta orang ramai tidak mudah percaya mana-mana profil yang menggunakan nama pemain bolasepak terkenal. Tinjauan Suara Sukan mendapati dua nama pemain Kelantan yang menpunyai lebih daripada 5 akaun facebook – Badhri Razi dan Norshahrul Idlan Talah, namun kedua-duanya adalah bukan tuan punya badan.

Dalam pada itu, mengulas prestasi terkini Sang Kijang, Nizad berkata adalah perkara biasa sesebuah pasukan mengalami naik turun prestasi, dan itu bukan tanda kejatuhan Kelantan. Nizad berkata belum tiba masa untuk menekan butang panik, kerana saingan liga masih di peringkat awal.

Apapun, pemain berusia 23 tahun ini, berharap Dato’ M.Karathu akan lebih memberi ruang kepadanya beraksi, agar dapat membuktikan kelibatnya tetap berbisa, berbanding lebih banyak menggunakannya sebagai pemain gantian.

Nizad berkata semangatnya cukup tinggi setiap kali perlawanan, namun tidak diberi ruang secukupnya untuk beraksi, namun beliau yakin pemain dalam kem Kelantan semuanya beraksi di tahap terbaik, justeru itulah yang sebenarnya menyebabkan Karathu pening kepala membariskan pemain terbaik.

Pendapat penulis, Karathu harus mempergunakan sebaiknya kelompok pemain yang beliau ada, bukan hanya 'stick' pada barisan pemain yang sama, seterusnya menggunakan khidmat pemain-pemain ini pada ketika krisis kecederaan atau tak cukup pemain. Ini akan menyebabkan pemain gagal menyesuaikan diri dengan tempo permainan, atau lambat panas. 
Lihat Selangor, di mana K.Devan berani mempertaruhkan pemain yang langsung tiada pengalaman seperti Syazwan Fitri untuk memberikannya peluang beraksi, dan ternyata pada sesetengah situasi, ia membuahkan hasil.

Nasihat Suara Sukan kepada Nizad, sabarlah menanti, insyaallah peluang itu akan tiba dan pada waktu itu, anda harus buktikan anda boleh. Semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment