Sunday, October 27, 2013

Pahang sekat kebangkitan Sarawak

Separuh akhir kedua Piala Malaysia

Gol penyamaan Fauzi Roslan membantu Pahang mengikat Sarawak 1-1 seterusnya menyingkirkan jaguh dari Borneo itu dari saingan Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 4-2.

Foto : Dunia Sukan
Sarawak yang turun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri gagal menepati ekspetasi peminat yang mahu melihat kegarangan sama seperti ketika membelasah Perak mahupun ketika menewaskan Sime Darby apabila kurang menyengat di barisan hadapan.

Robert Albert yang melakukan rombakan besar pada peringkat pertama di Darul Makmur tempoh hari, kembali kepada taktikal dan kesebelasan asalnya apabila membariskan semula Joseph Kalang yang kembali dari pengantungan perlawanan, manakala di pertahanan Ronny Harun kembali bergandingan dengan Hairol Mokhtar.

Hanya Zamri Morshidi direhatkan dan tempatnya diambil oleh Joseph Kalang, manakala Ashri Chuchu melebar di sayap kiri tatkala Muamar Salibasic juga kembali ke posisi asalnya selaku backup striker - setelah beberapa kali mengacah menerusi Joseph Kalang khususnya, dengan salah satu percubaan mengegar palang gol, Sarawak memecah kebuntuan menerusi tandukan Bobby Gonzales yang menyambut hantaran JKT.

Namun, ketumpulan sentuhan penyudah termasuk kegagalan Salibasic dan Bobby menyempurnakan beberapa peluang terhidang membawa padah apabila Pahang yang memasukkan Fauzi untuk menggantikan Matias Conti menyamakan kedudukan menerusi sentuhan pertama pemain itu, tidak sampai seminit dimasukkan.

Nyata ia kemenangan yang berhak buat Pahang, mereka mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun selepas kali terakhir melakukannya pada 1997, dan bagi Sarawak, perlu diakui, rezeki bukan di pihak mereka selepas melakukan yang terbaik untuk sampai ke tahap ini. 

Saturday, October 26, 2013

Dua gol dalam tiga minit paksa ATM berputih mata

Separuh akhir kedua Piala Malaysia

Dua gol lewat dalam tempoh tiga minit menerusi Fakri Saarani dan Badhri Radzi membawa Kelantan ke pentas final seterusnya meleburkan hasrat ATM untuk mencipta kejutan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia malam tadi. 

Ketinggalan 1-2 hasil kekalahan di peringkat pertama di Selayang, ATM yang mencipta kejutan menewaskan Kelantan di Kota Bharu pada April lalu dilihat sekali lagi berada di landasan sama untuk berbuat demikian apabila dua gol Marlon Alex meletakkan mereka mendahului secara agregat 3-2. 

Namun, cuba bermain defensif untuk mempertahankan kelebihan itu menyaksikan Kelantan yang terdahulu membelasah JDT 6-1 di Kota Bharu tampil lebih agresif dan hasilnya, pemain gantian Fakri Saarani meledakkan gol penyamaan cantik pada minit ke-82 untuk mengikat agregat 3-3. 

Piya jaring gol penyamaan. Foto : Dunia Sukan
Gol itu membakar semangat pemain tuan rumah untuk terus menyerang dan tidak sampai tiga minit kemudian, Kota Bharu bergema lagi dengan sorakkan apabila kapten berpengaruh, Piya meledakkan gol penyamaan hasil hantaran Zairul Fitree untuk membawa Kelantan ke final keempat dalam lima musim. 

Begitupun, wira sebenar Kelantan adalah Khairul Fahmi Che Mat - setelah 'berehat' hampir keseluruhan babak kedua, Khairul Fahmi menyelamatkan satu percubaan 'pasti  gol' Shukor Adan pada masa kecederaan yang menafikan ATM gol ketiga, seterusnya menyaksikan Kelantan kini menghampiri misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. 

Tuesday, October 22, 2013

Taktikal Robert Albert jerat Bujang Senang

RECAP Separuh akhir pertama Piala Malaysia

Tiga gol pantas dalam tempoh 10 minit membantu juara 1992, Pahang menjinakkan juara Liga Perdana, Sarawak di Darul Makmur dan menghampiri pentas final pertama mereka sejak kali terakhir tampil pada 1997.

Selepas percubaan P.Gopinathan yang memperdaya dua pemain pertahanan memberikan gol pendahuluan buat Pahang pada minit ke-29, tandukan Azamudin Akil hasil hantaran lintang cantik Jalaludin Jafar serta kesilapan berprofil tinggi Sani Anuar Kamsani untuk memberi ruang kepada Matias Conti menjaringkan gol hanya beberapa minit kemudian menyaksikan Pahang pantas berada pada kedudukan selesa 3-0.

Gambar : Stadium Astro
Sepertimana lazim, Tok Gajah sedikit hilang tumpuan selepas itu dan memberi ruang kepada Sarawak mendapatkan gol tempat lawan yang sangat penting menerusi Shahrol Saperi yang baru diturunkan selepas lama tersisih akibat kecederaan.

Saya yang hadir sebagai pengulas jemputan untuk membicarakan tentang perlawanan ini yang disiarkan secara langsung menerusi RTM menekankan betapa kekalahan Bujang Senang pada malam tersebut sepatutnya boleh dielak jika bukan kerana terlalu banyak rombakan taktikal yang dilakukan oleh Robert Albert.

Mana tidaknya, Sarawak telah beraksi dengan taktikal dan strategi permainan sama sejak bermulanya kempen Piala Malaysia dan jika ada rombakan sekalipun, ianya adalah rombakan kecil yang tidak menjejaskan sistem permainan Sarawak secara keseluruhan.

Tetapi, Robert melakukan kesilapan apabila melakukan hampir 70% peratus perubahan pada taktikal dan barisan pemainnya - rombakan adalah perlu untuk mengimbangi tempo permainan selain mengalih tumpuan Pahang tetapi bukanlah pada satu skala yang besar.

Robert meletakkan Guy Bwele di posisi pertahanan tengah menggantikan Ronny Harun sebagai langkah untuk menyekat Matias Conti manakala Ashri Chuchu dibawa masuk menggantikan Joseph Kalang Tie yang digantung permainan - sebagai pengganti Bwele di tengah, Robert meletakkan Shahrol Saperi manakala Muamar Salibasic yang meledak dua kali hatrik di Piala Malaysia ditolak ke sayap kiri.

Hanya Bobby Gonzales sebagai target man di depan - cuba anda sendiri kira berapa banyak rombakan yang dilakukan oleh Robert terhadap sebuah pasukan yang beraksi 8 perlawanan terdahulu dengan sistem permainan yang sama? Hanya dua pertukaran dalam kesebelasan utama, tetapi secara keseluruhan ianya ada tujuh perubahan dilakukan pengendali itu dan anda sebagai peminat bolasepak adakah merasakan pada situasi getir, pada aksi penting seperti ini tujuh rombakan itu sesuatu yang wajar?

Ada yang mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya dan melabel ia komen bodoh, tetapi tidak akan ada mana-mana jurulatih yang bertindak merombak sehingga 60-70 peratus taktikal sewenang-wenangnya tetapi itulah yang dilakukan Robert.

Sepanjang 8 perlawanan lalu, Sarawak hanya bolos lima gol dan pertahanan mereka dilihat cukup ampuh, menunjukkan keserasian yang baik dan berdisiplin tinggi namun semua itu hilang ketika menentang Pahang.

Ashri dan Shahrol pertama kali bergandingan di tengah selepas sekian lama, ketiadaan Ronny Harun merosakkan terus persefahaman mantap yang terbina, communication failure pula menjadikan pertahanan yang selama ini berdisiplin menjadi berterabur - ini belum dicampur kegagalan Muamar untuk menyerlah manakala Bobby pula langsung tidak mendapat bantuan dari rakan-rakan di barisan tengah.

Salibasic tidak menyerlah

Ketiadaan Ronny cukup dirasai. Foto : Dunia Sukan
Apabila Muamar dikembalikan ke posisi asalnya di barisan depan, Sarawak dilihat lebih banyak mengancam malah hampir menyamakan kedudukan jika tidak kerana ketangkasan Khairul Azhan, tatkala ketika Dollah Salleh pula mengambil langkah bijak untuk beraksi lebih defensif bagi mempertahankan kelebihan dua gol yang dimiliki.

Saya pasti, Robert akan mengembalikan semula posisi asal dan taktikal yang lazim digunakannya pada aksi timbal balik nanti kerana itulah kekuatan yang akan membolehkan pemain Bujang Senang beraksi pada tahap keupayaan sebenar - ketinggalan dua gol bukan tugas mudah namun beraksi di Kuching, ramai yang pernah pulang berputih mata.

Dollah juga pastinya sedar betapa Sarawak yang mencari kemenangan 2-0 akan tampil cukup agresif/garang Sabtu nanti tetapi dalam masa sama, beliau sudah tentu tidak mahu mengambil risiko dengan mengarahkan pemainnya beraksi secara defensif mentaliti. 

Reuben tekad halang Dickson 'The Ironman'

Story disumbangkan Harris Rajahdin, untuk Media ATM. 

JIKA Kelantan memiliki pemain ‘makan besi’, Dickson Nwakaeme, AngkatanTentera Malaysia turut berbangga dengan kereta kebal, K Reuben.

Kelibat penyerang kelahiran Nigeria bertubuh sasa itu jelas mencetuskan masalah buat finalis Piala Malaysia itu musim lalu dengan pengendali, B Sathianathan secara spontan berkata, “Dia ni makan besi ke?” ketika ditemuramah oleh Astro Arena selepas perlawanan berkesudahan 1-2 kepada The Red Warriors pada separuh akhir timbal balik pertama.

Foto by Shekhinah PR
Kini, tanggungjawab untuk merantai kelibat peledak yang sudah menjaringkan 6 gol pada kempen Piala Malaysia ini terletak pada bahu Reuben yang mampu menyaingi pemain import itu daripada segi fizikal.

Biarpun mengakui tugas sukar untuk mengawal pemain berketinggian hampir 2 meter itu, Reuben yakin dengan kemampuan dirinya dibantu dengan rakan sepasukan untuk mengekang kemaraan Dickson pada timbal balik kedua di Kota Bharu, Jumaat ini.

“Sememangnya, Dickson adalah seorang pemain berbahaya daripada segi fizikal. Tetapi itu bukan kelebihannya saja kerana dia memiliki skil keupayaan individu tinggi.

“Bukan saya seorang saja yang ditugaskan mengawalnya, seluruh pasukan juga perlu bekerjasama untuk menafikan Dickson ruang dan peluang untuk menjaringkan gol,” kata Reuben yang memainkan peranan dalam kejayaan skuad Harimau Muda A pada Pestabola Merdeka sebelum ini.

Mengejar deficit dua gol tempat lawan, Reuben yakin dengan kemampuan rakan sepasukannya untuk melakar kebangkitan di Stadium Sultan Mohd IV, seperti yang pernah dilakukan oleh The Gladiators pada saingan Liga Super sebelum ini.

“Saya masih ingat, tidak ramai yang memberikan harapan apabila kami ke sana, tetapi kami berjaya mencipta kejutan untuk menang 3-1. Saya yakin jika kami mengikuti sepenuhnya arahan taktikal jurulatih dan bermain sebagai satu pasukan, tiada sebab mengapa kami tidak boleh menerbalikkan keputusan,” katanya.

Saturday, October 19, 2013

Ayuh, bangkit The Gladiators!!

Artikel sumbangan Harris Rajahdin untuk Media ATM. 

Mereka pernah melakukannya sebelum ini, dan kini Angkatan Tentera Malaysia perlu melakukannya sekali lagi seandainya mahu mengulangi penampilan pada final musim ini.

Begitulah senario yang dihadapi barisan anak buah B Sathianathan yang memilih laluanberliku dalam misi untuk mengulangi kemaraan ke pentas akhir Piala Malaysia yang dilakar selepas penantian 46 tahun.

Tanpa pertahanan tengah, Amiridzwan Taj Tajudin yang digantung berikutan layangan kad merah ketika separuh akhir menentang Lions XII, dimanfaatkan sepenuhnya oleh juara bertahan musim lalu merobek bahagian tengah dengan meledakkan dua jaringan tempat lawan berharga dalam laluan meraih kejayaan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

Ketiadaan Amiridzwan dirasai. Foto Shekhinah PR
Malang terus menimpa The Gladiators susulan ketiadaan Norfazly Alias yang terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan peha yang hampir pasti mengenepikannya bagi timbal balik kedua di Kota Bharu seminggu kemudian, menjurus jaringan kedua The Red Warriors menerusi Norfarhan Muhammad pada minit ke-79.

Bertandang ke Stadium Sultan Mohd IV Jumaat depan pastinya menjanjikan ujian getir tanpa perlu memburu defisit dua gol dan ketiadaan dua tonggak pertahanan tengah, namun itulah yang perlu dihadapi ketua pasukan, Hairuddin Omar dan rakan-rakan selepas gawang mereka dibolosi pada minit ke-15 oleh kapten The Red Warriors, Badhri Radzi.

Pemain sayap kanan, Christie Jayaseelan mengotakan janjinya untuk mencipta magis apabila bijak memanfaatkan kesilapan Azizi Matt Rose, memperdayakan Shakir Saari sebelum merembat kencang dengan kaki kanan melepasi jangkauan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-15.

ATM masih berpeluang. Gambar Shekhinah PR
Namun, keadaan pastinya berbeza seandainya memanfaatkan pelbagai peluang yang terhidang dengan kecemerlangan Ejai di gawang menyelamatkan percubaan Indra Putra Mahayuddin pada penghujung permainan memastikan dua gol menjadi buruan pada timbal balik kedua.

Meskipun sukar, ia bukan misi yang mustahil melihatkan ATM pernah meraih kejayaan 3-1 di sana pada kempen Liga Super, seminggu selepas tewas 2-3 di Stadium Paroi pada penamat saingan pusingan pertama liga.

Lebih manis, kemenangan itu menamatkan rekod tanpa kalah 42 perlawanan Kelantan di gelanggang keramat mereka dengan Sathia mengharapkan persembahan sama daripada anak buahnya pada pertemuan akan datang ini.

“Ia pastinya sukar, tambahan dengan ketiadaan Fazly yang hampir pasti tidak sempat pulih berikutan kecederaan peha.

“Namun, saya yakin dengan kemampuan mereka untuk menang di sana seperti yang ditunjukkan sebelum ini. Kami memiliki banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya. Kami menguasai permainan tetapi pada 10 minit terakhir, kami kehilangan fokus dan membenarkan lawan menjaringkan gol,” kata bekas pengendali Kelantan itu.


Friday, October 18, 2013

Kelantan bawa bekalan tipis

Separuh akhir pertama Piala Malaysia

Hasrat ATM menyekat Kelantan daripada membawa pulang kemenangan sebagai bekalan ke Kota Bharu tidak kesampaian apabila jaringan Norfarhan Mohd memastikan juara bertahan itu berkelebihan tipis satu gol menjelang aksi timbal balik pada 25 Oktober nanti.

FOTO oleh laman rasmi TRWFC. FB : TRWFC
Selepas Christie Jayaseelan memadam kelebihan awal pasukan pelawat yang mendahului menerusi ledakan cantik kapten, Badhri Radzi, saingan dilihat agak seimbang di antara kedua-dua pasukan malah ATM seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal untuk memanfaatkan sekurang-kurangnya empat peluang menjaringkan gol, termasuk tiga menerusi Fitri Omar.

Kelantan yang turut beroleh beberapa peluang menerusi Indra Putra, Dickson Nwakaeme dan Norfarhan menghukum sebaiknya kesilapan pertahanan ATM yang dilihat pincang tanpa kehadiran Amiridzwan Taj seterusnya memastikan mereka kini berada di 'driver seat' untuk mara ke final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Man of the match pilihan Suara Sukan : Dickson Nwakaeme
Flop of the match : Farisham Ismail