Wednesday, August 5, 2015

Zulkifli Affendi pastikan harapan Real Mulia terus bernyala

Real Mulia FC belum bersedia mengangkat bendera putih meskipun jurang lima mata dengan Perlis tatkala berbaki hanya tiga perlawanan dilihat semakin mustahil untuk diatasi.   

Selepas menyaksikan pasukannya bekerja keras membenam cabaran Megah Murni FC 1-0 di gelanggang lawan,  jurulatih RMFC, Yunus Aliff optimis pertarungan antara RMFC dan Perlis untuk memburu slot beraksi di Liga Perdana 2016 hanya akan ternoktah apabila kedua-dua pasukan  bertembung sesama sendiri di Kangar pada 16 Ogos depan.   

“Ianya tipis, tetapi selagi peluang ada kita tidak boleh mengalah. Saya melihat bagaimana pemain saya mengatasi tekanan untuk menang ke atas Felcra, kemudiannya Megah Murni. Mereka mahukan kemenangan ini, tidak putus asa, menunjukkan semangat tinggi untuk terus kekal dalam perjuangan.  

“Masih ada tiga perlawanan, 9 mata boleh dikutip jadi saya tidak akan kata peluang sudah tertutup. Kita akan menentang Perlis di Kangar, jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku sehingga ke aksi terakhir nanti. Apapun, kita akan fokus perlawanan ke perlawanan dan saya mahu persiapkan barisan terbaik untuk menentang Penjara Ahad ini,” ujar Yunus. 
  


Ahad lalu, gol tunggal jaringan bekas pemain kebangsaan, Zulkifli Affendi Zakri pada minit ke-40 menghadiahkan kemenangan penting buat Real Mulia pada hari sama yang menyaksikan pendahulu Kumpulan A, Perlis mengukuhkan cengkaman di tangga teratas menerusi kemenangan 2-1 ke atas jiran Real Mulia, UKM FC.

“Tidak mudah berdepan tekanan seperti ini, tetapi moral pemain di tahap cukup tinggi. Kami perlu kekal fokus dan lakukan tugas kami di atas padang. Yang penting, kerjasama sepasukan cukup tinggi,” jelas Zulkifli yang pernah membarisi skuad Sukan SEA 2001 dan 2005.

Ianya adalah kemenangan kelapan RMFC di gelanggang lawan – satu-satunya pasukan yang menang kesemua perlawanan di tempat lawan – sekaligus menyaksikan RMFC terus menghambat kedudukan Perlis yang cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

RMFC akan melayan kunjungan pasukan tangga tercorot, Penjara FC Ahad ini dengan dua tonggak, A. Puvan Raj dan Badrulhisani Abd Rahman kembali dari penggantungan perlawanan manakala Perlis akan bertandang ke Arena UM untuk menentang Felcra FC. Hanya juara kumpulan akan layak ke final Piala FAM dan Liga Perdana 2016.