Real Mulia FC (RMFC) melakar kemenangan penting
untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan A Liga FAM dengan menewaskan Sungai Ara
FC 1-0 pada Ahad untuk terus berada di landasan mengejar tiket beraksi di Liga
Perdana 2016.
Pemain tengah, Badrulhisani Abdul Rahman muncul wira
apabila merembat kencang hantaran M.Yoganathan dari luar kotak penalti untuk
gol tunggal perlawanan sekaligus mengesahkan tiga mata berharga milik RMFC
tatkala Sungai Ara tewas buat pertama kali di gelanggang mereka.
Meskipun berdepan isu padang yang dilihat tidak
sesuai untuk sebuah pertandingan rasmi sebelum sepak mula, RMFC menampilkan
aksi bertenaga serta kekuatan mental tinggi untuk mencatat kemenangan kelima
berturut-turut di gelanggang lawan, dan juga kemenangan kelima dengan jaringan
1-0.
Pengendali RMFC, Yunus Aliff berkata, “Bukan mudah
untuk menang di gelanggang ini kerana padang ditakungi air ekoran hujan sebelum
perlawanan. Tetapi pemain saya manfaatkan pengalaman mereka dan menunjukkan
karakter yang hebat untuk membawa pulang tiga mata.
“Kedua-dua pasukan mencipta peluang, kami ada empat
atau lima peluang dan begitu juga mereka tetapi akhirnya pasukan yang beraksi
lebih baik menang. Kita ketepikan segala provokasi dan menunjukkan kekuatan
mental untuk menang di sini. Pemain tidak boleh leka dan perlu lebih ghairah
memburu kemenangan selepas ini.”
RMFC yang berada di kedudukan ketiga sebelum
perlawanan, menguasai babak awal perlawanan, dengan dua percubaan dari Wan
Aliff Wan Jasmi sedikit tersasar. Sungai
Ara turut memiliki peluang menjaringkan gol tetapi kecemerlangan bekas penjaga
gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa dan palang gol menjadi penghalang buat tuan
rumah meledak jaringan.
RMFC ketika ini di kedudukan kedua, dua mata
mengatasi Megah Murni yang seri di UKM dan ketinggalan lima mata di belakang
Perlis yang unggul dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Shahzan Muda.
RMFC akan bertandang ke Kuala Berang, Terengganu untuk menentang Hanelang FC
Ahad depan.