Monday, November 24, 2014

InstaPutra juara pusingan ketiga STL

Saingan pusingan ketiga Sepaktakraw League (STL) Zon Utara melabuhkan tirai dengan pasukan InstaPutra muncul juara dengan menewaskan Infratel ‘A’ pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.

InstaPutra, diperkuatkan tekong kebangsaan Fazil Asri, Anuar Samsudin dan Afifuddin Razali mencatat kemenangan 21-13, 21-14 ke atas Infratel yang diwakili Fauzi Ibrahim, Daud Muhamad dan Jamadi Mazlan untuk muncul juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Kemenangan ini juga menyaksikan InstaPutra layak beraksi di pusingan Grand Finals Januari depan, bersama-sama dengan Mazatech ‘A’ dan ATM ‘F’ yang muncul juara pusingan pertama dan kedua di Terengganu (Zon Timur) pada 13 – 16 November lalu.  


Manakala Infratel selaku naib juara berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan layak beraksi di pusingan play-off bersama-sama Warisan AZ ‘A’ yang muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan ATM ‘J’ dan meraih RM1,000.

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung tiga set, Warisan AZ dibarisi dua bekas pemain kebangsaan, Nazirul Ikram dan Zul Effendi Sumari serta Fadzlihaimi Jamaludin tewas 13-21 pada set pertama tetapi bangkit menang dua set berikutnya 21-19 dan 21-12.  

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan bersama-sama Naib Presiden III PSM, Dato’ Mohd Yusof Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Muhammad Mahazi Ibrahim dan Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Aminudin Omar.  

Terdahulu pada perlawanan separuh akhir, percaturan berani jurulatih InstaPutra, Muhamad Saffar merehatkan tekong berpengalaman, Fazil Asri dan membariskan Faiz Roslan sebagai tekong utama hampir membawa padah apabila InstaPutra mencicirkan beberapa mata mudah sebelum kemasukan Fazil membantu mereka mencatat kemenangan 21-18, 21-12.   

Infratel ‘A’ pula menewaskan ATM ‘J’, juga menerusi ‘straight set’ 21-14, 21-15.

STL yang diperkenalkan buat julang kalinya sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu. Selepas Kuala Terengganu, dua lagi pusingan berlangsung di Kedah pada 22, 23, 29 dan 30, disusuli Johor dan Melaka sebelum Grand Finals berlangsung di Kuala Lumpur.

Keputusan:

Suku Akhir: InstaPutra mng AMZ Sports ‘A’ 2-0 (21-11, 21-13); Infratel ‘A’ mng PSNP 2-1 (21-14, 17-21, 21-18); Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘G’ 2-1 (21-12, 11-21, 21-18); ATM ‘J’ mng IL-MPSJ 2-1 (15-21, 21-12, 22-20)

Separuh Akhir: InstaPutra mng Warisan AZ ‘A’ 2-0 (21-18, 21-12) & Infratel ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-0 (21-14, 21-15) 

Tempat Ke-3 : Warisan AZ ‘A’ mng ATM ‘J’ 2-1 (13-21, 21-19, 21-12)


Akhir : InstaPutra mng Infratel ‘A’ 2-0 (21-13, 21-14)

Wednesday, November 19, 2014

PIALA AXIATA JUNIOR TAMPILKAN 24 JUARA PERINGKAT NEGERI!

Selepas pencarian selama tiga minggu pemain badminton paling berbakat di kalangan remaja, Piala Axiata Junior menampilkan 24 pemenang yang kini akan melangkah ke pentas lebih besar beraksi di Pusingan Akhir Kebangsaan bulan depan.

Pencarian bakat Piala Axiata Junior telahpun menjelajah ke 12 buah negeri, dari Perlis di utara hingga ke Johor di selatan semenanjung, dan tidak ketinggalan Kelantan, Terengganu dan Pahang di Pantai Timur.

Hampir 1,300 pelajar dari sekolah kerajaan, institusi swasta dan akademi badminton mempertontonkan bakat mereka selepas melalui proses saringan yang diketuai pemenang pingat perak acara beregu di Sukan Olimpik Atlanta, Cheah Soon Kit, dan panel penilainya.

Kesemua 12 pemain lelaki dan 12 pemain wanita yang muncul juara di peringkat negeri masing-masing selepas berakhirnya pusingan awal kini akan bertanding di Pusingan Akhir dari 4-7 Disember depan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras - dengan sasaran untuk bergelar juara kebangsaan Piala Axiata Junior, membuka laluan kepada mereka untuk menyerlah menjadi bintang masa depan arena badminton tanah air.


Di Negeri Sembilan, pelajar tingkatan empat SMJK Chan Wa 2, Ngai Yong Kien menewaskan Lee Jia Jun 21-9, 21-18 untuk muncul juara kategori lelaki manakala Kelly Siow Zhi Xin dari SMK King George V mengetepikan tentangan Lee An Nie 21-12, 21-18 pada aksi akhir yang berlangsung 15 minit.

Pakar acara beregu, Helmie Zulhaidee Zulman, 16, dari SMK Segambut mencipta kejutan apabila menjuarai kategori perseorangan lelaki di Kuala Lumpur menerusi kemenangan 21-18, 21-16 ke atas Lim Jia Lek, 15 tahun dari Chong Hwa Independent High School, Jalan Ipoh. Kedua-dua pemain merupakan pelatih di Akademi Badminton Synergy dan sudahpun sedia memahami corak permainan masing-masing.

“Saya tidak pernah langsung bermain dalam acara perseorangan dalam mana-mana kejohanan sebelum ini kerana saya adalah pemain beregu. Jurulatih beritahu saya tentang Piala Axiata Junior dan meyakinkan saya untuk menyahut cabaran,” ujar Helmie. “Saya cukup teruja dengan kemenangan ini dan akan berusaha keras untuk menghadapi Pusingan Akhir.

Bagi kategori wanita, pemain SMK Seri Bintang Selatan, Dyvylyn Saha menewaskan Ng Joe Ee 21-5, 21-8 pada perlawanan akhir yang berlangsung 30 minit. Tatkala Dyvylyn mendapat ‘bye’ di pusingan pertama, Joe Ee pula beraksi di kesemua pusingan penyingkiran dan ternyata kepenatan menjejaskan permainannya pada perlawanan akhir.

Dyvylyn, berusia 13 tahun adalah anak kepada Davincy Saha, dan cucu kepada Hj Sanusi Mohamad yang merupakan jurulatih dan bapa kepada antara keluarga pengiat badminton paling tersohor, adik-beradik Saha, yang mana kesemuanya pernah mewakili negara dalam sukan badminton. Davincy sendiri pernah beraksi di empat Kejohanan All-England, dengan pencapaian terbaiknya adalah tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas kepada Zhao Jianhua dari China.

Di Johor, Low Yi Sheng, 13, dari SMK Seri Perling menang set pertama 21-9 ke atas Richie Ting Wei Jing, lawan yang lebih tua tiga tahun daripadanya. Pada set kedua, Low mendahului 5-0 sebelum Richie, pelajar tingkat empat di SMK Skudai, menarik diri selepas mengalami kekejangan otot di kedua belah kakinya.

Nur Azlinda Azlin Hassim dari SMK Convent Muar muncul juara kategori wanita selepas bekerja keras dalam pertarungan tiga set menentang Tang Ying Hui, untuk mencatat kemenangan 14-21, 23-21, 21-18 pada aksi akhir.  

Kesemua juara dan naib juara peringkat Negeri menerima RM500 setiap seorang di atas usaha mereka, manakala sekolah yang mereka wakili turut menerima RM300 sebagai token penghargaan. 

SENARAI PEMENANG (Juara Negeri)
PERLIS – Lelaki : Yee Bin Xian (SMK Syed Hassan, Kangar); Wanita: Nur Rizuwani (SMK Syed Hassan, Kangar).

JOHOR – Lelaki: Low Yi Sheng (SMK Seri Perling); Wanita: Nur Azlinda Azlin bte Hassim (SMK Convent Muar).

KEDAH – Lelaki: Ng Yong Chai (SMK St Michael, Alor Star); Wanita: Eng Sin Jou (SMK St Michael, Alor Star)

KUALA LUMPUR – Lelaki: Helmie Zulhaidee Zulman (SMK Segambut); Wanita: Dyvylyn Sahar bte Davincy Sahar (SMK Seri Bintang Selatan).

MELAKA – Lelaki: Tai Chuan Zhe (SMK Katholik); Wanita: Hamisya bte Hashudin (SMK Seri Kota).

PAHANG – Lelaki: Nabeel Azriq B Nazri (SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan); Wanita: Wong Jia Mei (SMK Air Putih, Kuantan).

KELANTAN – Lelaki: Mohammad Akram bin Mohd Razi (SMK Putera, Kota Baru); Wanita: Tuan Nur Aina Nazirah bte Tuan Daud (SM Agama (1) Nurul Ittifak, Pasir Puteh).

TERENGGANU – Lelaki: Muhammad Shahfuan bin Mat Desa (SMK Bukit Nenas, Setiu); 
Wanita: Hafizah Adila bte Hasran (SMK Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu).

SELANGOR – Boys: Wong Kin Pan (Sri Sempurna International School, Cheras); Wanita: Chen Ai Yin (SMK Katholik, Petaling Jaya)

PERAK – Lelaki: Tan Choong Yen (Tenby Ipoh International School); Wanita: Ting Ee Chin (SMJK Yuk Choy).

PULAU PINANG – Lelaki: Ng Wei Shun (SMK Jalan Damai); Wanita: Ooi Shi Jie (SMJK Jin Sin)

NEGERI SEMBILAN – Lelaki: Ngai Yong Kien (SMK Chan Wa 2, Seremban); Wanita: Kelly Siow Zhi Xin (SMK King George V, Seremban)


Monday, November 17, 2014

Regu ATM ungguli pusingan kedua

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menutup tirai saingan SepakTakraw League (STL) edisi Timur dengan cukup bergaya apabila tiga regu mereka menamatkan aksi Pusingan Kedua STL di kedudukan tiga teratas. 

ATM ‘F’ muncul juara dengan menewaskan ATM ‘D’ untuk mengiringi juara pusingan pertama, Mazatech ‘A’ beraksi di pusingan Grand Finals seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala ATM ‘E’ mengesahkan satu slot di pusingan play-off menjadi milik mereka setelah memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Negeri, kedua-dua regu mengetepikan sentimen ‘rakan sepasukan’ apabila menampilkan aksi sengit berkualiti yang berlanjutan ke set penentuan.


Regu ATM ‘F’ yang dibarisi Nazmi Najib, Shakirin Nasir dan Muhaimi Che Bongsu menang set pertama 21-19, namun ATM ‘D’ yang diwakili ‘feeder’ kebangsaan, Arif Mohamad, Noorazwari Ishak dan Adwad Ahmad bangkit menang set kedua 21-14 sebelum ATM ‘F’ mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 21-16 di set penentuan .

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga, ATM ‘E’ menewaskan Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) ‘D’ dengan keputusan 21-15, 21-19.  

Kecemerlangan ditunjukkan kesemua regu ATM bimbingan Aswadi Abdullah, menutup kecewa kekalahan regu ATM ‘A’ yang tewas kepada Mazatech ‘A’ pada perlawanan akhir pusingan pertama 14 November lalu dan Aswadi mengintai kecemerlangan berterusan dari pemainnya.

“Kami gembira untuk menjadi antara dua johan terawal yang layak ke Grand Final, pemain-pemain menunjukkan komitmen dan kualiti mereka tetapi kami tidak akan berhenti di sini. Kita sudah pun melihat jauh ke depan untuk persiapkan pasukan untuk menghadapi play-off dan Grand Final pada Januari. Kita juga akan terus memberi cabaran di sirkit Kedah, Johor dan Melaka. 

Tambahnya, “Kami tidak memandang mudah saingan STL ini, kerana ini antara platform yang kita lihat sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi Piala Emas Khir Johari 2015.”  

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Dato’ Ahmad Ismail, yang sekali lagi turun padang untuk menyaksikan perlawanan akhir, sebelum ini melaungkan keyakinan betapa penganjuran dua pusingan pertama di Terengganu secara jayanya ini bakal menjadi penanda aras untuk penganjuran STL yang lebih mencabar selepas ini. 

STL 2014/2015 yang membuka tirai pada 13 November lalu, menyaksikan dua pusingan berlangsung di Kuala Terengganu dengan 16 regu mengambil bahagian pada setiap pusingan.

Mazatech ‘A’ yang diwakili dua pemain kebangsaan, Izurin Refin dan  Kamal Alfiza Shafie serta pemain sepak takraw negeri, Muzhaffar Zamir muncul juara pusingan pertama STL apabila mengetepikan tentangan ATM ‘A’ dengan keputusan 21-15, 21-19 pada perlawanan akhir.

Selepas ini, STL akan berlangsung dua pusingan di Kedah pada (22, 23, 29 dan 30 November) diikuti Johor (13, 14, 20 dan 21 Disember) dan Melaka (27 & 28 Disember, 3 & 4 Januari) sebelum berlangsungnya pusingan Grand Finals pada Januari 2015.

Lapan pasukan yang muncul johan setiap pusingan mara secara automatik ke pusingan Grand Finals manakala 8 pasukan yang menamatkan saingan sebagai naib johan serta pemenang tempat ketiga masing-masing akan layak beraksi di pusingan play-off bagi merebut baki slot beraksi di Grand Finals.

Keputusan Pusingan Pertama :

AKHIR : MAZATECH ‘A’ mng ATM ‘A’ 2-0 (21-15, 21-19)
TEMPAT KETIGA : ATM ‘C’ mng GASTAK ‘B’ 2-1 (14-21, 21-15, 21-19)

Keputusan Pusingan Kedua:
AKHIR : ATM ‘F’ mng ATM ‘D’ 2-1 (21-19, 14-21, 21-16)

TEMPAT KETIGA : ATM ‘E’ mng GASTAK ‘D’ 2-0 (21-15, 21-19) 

Saturday, November 15, 2014

Sirkit pertama penanda aras

Pusingan pertama saingan SepakTakraw League (STL) yang menutup tirai pada Jumaat akan menjadi penanda aras untuk menjadikan saingan STL lebih kompetitif dan mencabar.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail berpendapat STL telah berjaya menyediakan platform di dalam menepati hasrat untuk merevolusikan arena sepak takraw negara menerusi penganjuran Pusingan Pertama – pusingan pembuka tirai yang berlangsung dengan jayanya di Stadium Tertutup Negeri.     

Beliau yang meluangkan masa untuk menyaksikan perlawanan akhir berkata, “Ini baru permulaan, pusingan pertama dan kedua di Terengganu ini akan memberi banyak input kepada kita. Yang lemah kita baiki, yang mana baik kita tambah baik. Sekarang kita sudah mula menghidangkan permainan kepada orang ramai, saya percaya pertandingan-pertandingan yang akan berlangsung selepas ini, bermula dengan Pusingan Kedua, dan seterusnya di Kedah, Johor dan Melaka akan lebih mencabar.”


Tambahnya, usaha untuk memperkenalkan dan membangunkan sepak takraw di peringkat akar umbi akan dipergiat secara serius dengan STL dilihat sebagai kaedah terbaik untuk memastikan sukan tradisi ini lebih dekat dengan masyarakat namun terdapat beberapa kekangan yang perlu diatasi terlebih dahulu.

“Asalnya kita cadang satu gelanggang iaitu di Titiwangsa, tetapi kerana kita mahu pastikan pembangunan akar umbi tidak terabai, lebih dekat dengan rakyat kita bawa ke negeri-negeri. Sekarang kita ada 4+1 negeri (anjurkan STL), tahun depan kita akan tukar ataupun perbanyakkan.

“Sedikit masalah yang kita hadapi apabila mahu membawa STL ke negeri lain, gelanggang yang tidak bersesuaian dengan kehendak yang ditetapkan ASV, kecerahan lampu limpah yang perlu sekurang-kurangnya 1200 ke 1500 lux. Kalau semua negeri boleh sediakan kemudahan tesebut, saya bagi jaminan bahawa kita bersedia untuk bawa STL ke seluruh negara,” katanya.

Dato’ Ahmad yang berazam untuk turun menyaksikan sendiri setiap pusingan STL turut melaungkan keyakinan betapa STL akan mampu mengetengahkan bakat-bakat yang selama ini terpendam selain membantu mengecilkan jurang di antara pemain-pemain akademi, kelab dan negeri dengan yang bertaraf kebangsaan.    

“Lihat final Pusingan Pertama, kita perlu akui pemain yang ada dalam skuad kebangsaan tetap adalah yang terbaik. Wujud jurang antara mereka tetapi saya percaya STL menyediakan ruang untuk mengecilkan jurang tersebut. Kita nak wujudkan satu kumpulan besar pemain yang bagus, yang sama taraf dengan pemain kebangsaan ataupun mungkin menjadi lebih baik dari mereka.” 

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai presiden untuk sentiasa turun padang dan kita akan memantau aksi pemain-pemain yang mengambil bahagian dengan bantuan panel pemantau yang kita lantik terdiri dari 12 orang kesemuanya,” jelasnya.

Pada aksi akhir Pusingan Pertama STL, regu Mazatech ‘A’ yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Izurin Refin dan Kamal Alfiza Shafie serta pemain sepak takraw negeri, Muzhaffar Zamir, mengetepikan tentangan ATM ‘A’ dengan keputusan 21-15, 21-19.

Aksi ‘round robin’ bagi Pusingan Kedua STL berlangsung pada Sabtu, dengan 16 lagi regu bersaing untuk merebut 8 slot beraksi di suku akhir. Kesemua aksi kalah mati termasuk perlawanan akhir akan berlangsung pada Ahad sekaligus memuktamadkan pemenang bagi dua pusingan awal di Terengganu.


Regu yang muncul juara pada Ahad, akan memenangi wang tunai RM5,000 dan mengiringi Mazatech ‘A’ untuk beraksi di pusingan Grand Finals. 

Mazatech A juarai sirkit pertama STL

Kehadiran pemain berpengalaman ternyata memberi kelebihan kepada pasukan Mazatech ‘A’ apabila muncul juara pusingan pertama SepakTakraw League (STL) di Stadium Tertutup Negeri.

Regu bimbingan Bakari Semah yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Izurin Refin dan Kamal Alfiza Shafie serta pemain sepak takraw negeri, Muzhaffar Zamir, mengetepikan tentangan ATM ‘A’ pada aksi akhir dengan keputusan 21-15, 21-19 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta tiket automatik untuk beraksi di pusingan Grand Finals di Kuala Lumpur pada Januari nanti.

ATM ‘A’ yang membariskan bekas ‘killer’ kebangsaan, Sazali Saat, Hairul Hazizi dan Saiful Bajuri berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM3,000 selain layak untuk beraksi di pusingan play-off bagi merebut tiket beraksi di pusingan Grand Finals.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Haji Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan bersama-sama timbalannya Akramudin Abdul Aziz dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Abdul Rashid Jusoh.

Mazatech ‘A’ yang membawa nama Terengganu, mendapat sokongan padu hampir 500 peminat dan tidak berdepan masalah untuk membuktikan kelas mereka dengan aksi bertenaga sepanjang pertandingan selama dua hari itu.


“Pemain saya telah menunjukkan aksi cukup bertenaga, mungkin sedikit kelebihan kepada regu saya kerana menurunkan dua pemain kebangsaan, tetapi kita tidak memandang rendah keupayaan lawan. Kami menunjukkan komitmen penuh dari perlawanan pertama hingga ke perlawanan akhir“, kata Bakari.

Tambahnya, “Menerusi STL kita berharap jurang yang wujud antara pemain-pemain amatur dan bertaraf kebangsaan akan lebih kecil selepas ini. Saya melihat STL sebagai satu kejayaan.”  

Jurulatih ATM, Aswadi Abdullah, pula berkata ATM memandang serius penganjuran STL dan berpendapat STL akan berjaya dalam usahanya untuk memartabatkan semula sukan sepak takraw.

 “STL membawa satu dimensi baru, ini adalah apa yang kita perlukan sejak sekian lama. Bagi pihak ATM, kami mahu mencabar secara serius di semua sirkit berlangsungnya STL. Sejauh mana pencapaian kami di STL adalah perkara kedua yang penting platform kini sudah tersedia untuk pemain-pemain. Kami mempunyai beberapa regu yang dibarisi bekas pemain senior dan pelapis kebangsaan dan saya gembira melihat mereka beraksi cemerlang sehingga ke final,” katanya.

Terdahulu pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di sebelah petang, Mazatech menewaskan ATM ‘C’ 21-6, 21-8 manakala ATM ‘A’ menyingkirkan Gastak ‘B’ 21-14, 21-14.

Sementara itu, ATM ‘C’ menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Gastak ‘B’ 14-21, 21-15, 21-19 dalam aksi sengit penentuan tempat ketiga yang berlangsung hampir 70 minit. Kemenangan membolehkan satu lagi regu bimbingan Aswadi itu meraih hadiah wang tunai RM1,000 dan layak beraksi di pusingan play-off.

STL yang diperkenalkan buat julang kalinya sebagai usaha merevolusikan arena sepak takraw tempatan dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 7 November lalu. Selepas dua pusingan awal di Kuala Terengganu, pusingan seterusnya akan berlangsung di Kedah, Johor dan Melaka sebelum Grand Finals berlangsung di Kuala Lumpur.

KEPUTUSAN STL (Peringkat kalah mati):  

Suku Akhir: ATM ‘C’ mng Mazatech ‘B’ 2-1 (21-11, 19-21, 21-14); Mazatech ‘A’ mng Pasta ‘B’ 2-0 (21-13, 21-13); ATM ‘A’ mng Gastak ‘A’ 2-0 (21-16, 21-18) dan Gastak ‘B’ mng ATM ‘B’ 2-0 (21-15, 21-12)

Separuh Akhir: Mazatech ‘A’ mng ATM ‘C’ 2-0 (21-6, 21-8) dan ATM ‘A’ mng Gastak ‘B’ 2-0 (21-14, 21-14)

Tempat ketiga : ATM ‘C’ mng GASTAK ‘B’ 2-1 (14-21, 21-15, 21-19)


Akhir : MAZATECH ‘A’ mng ATM ‘A’ 2-0 (21-15, 21-19)

Thursday, November 13, 2014

Revolusi baru arena sepak takraw buka tirai di Terengganu

Revolusi baru arena sepak takraw tempatan, Sepaktakraw League (STL) membuka tirai secara rasminya di Kuala Terengganu hari ini, menandakan bermulanya usaha besar-besaran untuk menyemarakkan semula minat orang ramai terhadap sukan tradisi ini, dalam masa sama mengembalikan imej sukan sepak takraw tanah air yang sedang melalui fasa suram.

Menjadi destinasi pertama penganjuran STL, pusingan pembukaan di Terengganu ternyata menepati ramalan apabila meraih sambutan menggalakkan daripada para peminat dan pengemar sukan ini yang mahu melihat kualiti, martabat dan reputasi takraw tanah air kembali ke tahap di mana ianya patut berada.

Tidak ketinggalan untuk turut mengambil bahagian, adalah dua pemain kebangsaan – Izurin Refin dan Kamal Alfiza Shafie – yang mewakili pasukan Mazatech A. Dua pemain ini menganggotai skuad pemenang pingat gangsa acara berpasukan di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan baru-baru ini.


Izurin, pemain kelahiran Besut, berkata, “Walaupun saya pemain kebangsaan, saya merasakan STL satu ruang pendedahan yang cukup baik yang amat saya perlukan kerana pemain kebangsaan pun tidak banyak terlibat dengan pertandingan atau suasana permainan sebenar. Ramai pemain mahukan satu pertandingan seperti ini kerana jelas sekali kita kurang pendedahan.”

Tambah pemain berusia 23 tahun itu, “Saya percaya usaha yang diambil membuktikan semua pihak serius untuk mahu meningkatkan kualiti sepaktakraw tanah air. Itu juga lah harapan saya dan saya percaya STL bukan sahaja memberi pendedahan yang baik, dalam masa sama dapat mencungkil lebih ramai bakat baru.”

Pendapat sama turut dikongsi Kamal Alfiza yang memilih untuk berundur seketika dari skuad kebangsaan selepas berakhir Sukan Asia Oktober lalu disebabkan komitmen kerja.  

“STL sudah tentunya satu platform baik. Melalui cara beginilah kita dapat menarik lebih ramai peminat untuk bukan sahaja memberi sokongan tetapi juga turut terlibat untuk ketengahkan kebolehan mereka. Seperti bola sepak, ramai yang berminat dan mahu bermain bola sepak kerana publisiti untuk sukan itu cukup luas dan banyak pertandingan bola sepak diadakan. Kini sepaktakraw ada STL dan saya yakin kita sedang berada di laluan yang tepat untuk kembalikan gemilang,” jelas pemain yang beraksi sebagai ‘killer’ itu.  

Hari pertama saingan sirkit pertama menyaksikan sebanyak 16 regu yang dibahagikan kepada empat kumpulan bersaing secara ‘round-robin’ bagi mengesahkan slot beraksi di pusingan kalah mati pada Jumaat. Johan setiap sirkit akan layak secara automatik untuk beraksi di Grand Finals manakala naib johan dan pasukan di tempat ketiga akan beraksi di play-off untuk memburu slot beraksi di Grand Finals. 

STL yang akan berlangsung selama tiga bulan, menampilkan 128 regu dengan jumlah keseluruhan 640 pemain di lapan sirkit yang berlangsung di empat negeri. Ia dilancarkan secara rasminya pada 7 November lalu oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 

Selepas sirkit pertama dan kedua yang berlangsung di Stadium Tertutup Negeri, Kuala Terengganu dari 13-16 November, ia disusuli dengan sirkit seterusnya di Kedah (22,23, 29, 30 Nov), Johor (13, 14, 20, 21 Dis) dan Melaka (27, 28 Dis dan 3, 4 Jan). Pusingan Grand Finals akan berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa di Kuala Lumpur, berlangsung selama dua hujung minggu iaitu pada 10, 11, 17 dan 18 Januari 2015. 

Untuk makluman, STL adalah kerjasama strategik antara PSM dan Asia Sports Ventures, satu daripada cabang Astro, bertanggungjawab untuk mewujudkan dan menerajui Liga berkenaan. Kerjasama antara dia pihak ini bertujuan untuk mengangkat sepaktakraw di Malaysia ke satu tahap lebih tinggi dalam setiap sudut yang mungkin, dari menarik jumlah penonton yang lebih besar sehinggalah ke menjana tajaan untuk sukan tersebut.

Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan, Jamaludin Hassan yang kini terlibat sebagai panel pemantau bakat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), berkata pengenalan STL adalah langkah pertama untuk mengembalikan gemilang sukan itu. 

“Bagi saya, liga seperti ini sepatutnya sudah lama diperkenalkan, ia adalah usaha yang cukup baik kerana ia memberi peluang kepada semua untuk terlibat dan saya yakin ia menjanjikan kita hasil yang positif. Impak bukan boleh dilihat dalam masa singkat, peringkat permulaan mungkin belum nampak aura dia tetapi ini adalah permulaan yang sudah lama kita nantikan.

“Apabila selalu dipertontonkan aksi-aksi sepak takraw, barulah minat itu akan timbul dan lebih ramai yang mahu kenali takraw lebih dekat. Saya dan barisan panel lain dipertanggungjawabkan untuk memilih 150 pemain dari pertandingan STL tahun ini bagi diserap ke dalam draf Liga Franchise 2015. Saya rasa tidak mustahil untuk ianya dilakukan jika melihat kepada sambutan seperti ini,” jelas Jamaludin yang memilih untuk tidak menyambung kontrak sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada awal November lalu. 

Wednesday, November 12, 2014

ANAK DIDIK HAN JIAN KETUAI KEMARAAN

Dilihat sebagai platform untuk mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baru dari kalangan remaja, Piala Axiata Junior menampilkan kumpulan pertama lapan pemain berbakatnya – empat lelaki dan empat wanita, yang muncul juara di peringkat negeri masing-masing selepas berakhirnya proses pemilihan minggu lalu.

Mendahului senarai, Wong Kin Pan, 15, yang mengatasi tentangan sengit daripada Abu Ubaidah pada perlawanan akhir kategori lelaki peringkat negeri Selangor di Akademi Badminton Michael di Puchong, Ahad lalu.  

Pelajar tingkatan empat Sekolah Antarabangsa Seri Sempurna di Cheras itu, yang mana gerak permainannya agak mirip dengan bintang badminton China, Chen Long, merakamkan kemenangan 21-13, 21-16 ke atas Abu Ubaidah dalam masa 40 minit menerusi ‘drop shots’ mengelirukan selain permainan jaring cukup baik untuk mara ke Pusingan Akhir Kebangsaan di Stadium Kuala Lumpur BA di Cheras pada 4 Disember.

Bakal menyertai Wong di Stadium KLBA bulan depan adalah pelajar SMJK Katholik, Petaling Jaya, Chen Ai Yin yang meraih 8A pada PMR tahun lalu. Pelajar berusia 16 tahun itu tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Martina Leong Wei Chen menerusi kemenangan 21-9, 21-4.

Kin Pan (kiri) dan Ai Yen
“Ia perlawanan yang sukar di set yang pertama, tetapi saya mengekalkan ketenangan dan cuba untuk kurangkan kesilapan,” kata Wong, anak didik Juara Dunia 1985 dari China, Han Jian yang merupakan ketua jurulatih di Akademi Badminton Setia di Cheras. Han Jian juga merupakan ketua jurulatih ketika Malaysia memenangi Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992.

“Saya telah berlatih di bawah panel kejurulatihan diketuai Han Jian dan hari ini saya cukup gembira dengan kemenangan pada aksi final ini. Saya berharap untuk mengekalkan prestasi saya ini apabila beraksi di Grand Finals,” tambahnya.  

Di Kelantan, Mohammad Akram Mohd Razi, 16, dan Tuan Nur Aina Nazirah Tuan Daud, 13, muncul juara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita di Pusat Sukan Shape Up di Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu.

Mohammad Akram dari SMK Putera di Kota Bharu mengalahkan Chan Wei Lun pada aksi akhir manakala Tuan Nur Aina, pelajar SMK Agama (1) Nurul Ittifak, Pasir Putih, menundukkan Ruhul Atifah Roslan.

Muhammad Shahfuan Mat Desa dan Hafizah Adila Hasran, kedua-duanya berusia 14 tahun, pula akan mewakili Terengganu pada Pusingan Akhir selepas muncul juara dalam kategori mereka manakala cabaran Pahang akan diketuai Nabeel Azriq Nazri, pemain berusia 13 tahun yang menewaskan Sam Victor, lawan yang dua tahun lebih tua daripadanya pada aksi akhir kategori lelaki. 

Skrip yang sama terhasil dalam aksi kategori wanita apabila Wong Jia Meng, 13, dari SMK Air Putih, Kuantan menampilkan aksi cukup bertenaga untuk menewaskan Izzati Nur Nadiah pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kelab Raket Kilas Kilat di Bandar Indera Mahkota.

Kesemua juara dan naib juara di peringkat Negeri menerima RM500 di atas usaha mereka manakala sekolah yang mereka wakili turut menerima RM300 sebagai token penghargaan.

Terbuka kepada pelajar sekolah menengah, lelaki dan wanita berusia di antara 13 ke 16 tahun, Pemilihan Piala Axiata Junior akan berlangsung pula di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan pada Sabtu dan Ahad ini. 

Pemain yang menyerlah di peringkat pemilihan awal akan bersaing untuk muncul juara peringkat negeri, dan kemudiannya merebut gelaran juara Piala Axiata Junior peringkat kebangsaan, sekaligus membuka laluan untuk bergelar bintang masa depan arena badminton tanah air.

Bekas pemain kebangsaan, Cheah Soon Kit, yang berpasangan dengan Yap Kim Hock untuk memenangi pingat perak acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Atlanta 1996, bersama-sama panel penilainya akan memilih 12 pemain lelaki dan 12 pemain wanita pada pengakhiran pusingan awal untuk beraksi di Peringkat Akhir Kebangsaan. 

Wednesday, November 5, 2014

KLHC Terus Gah, Import Korea Perkuat Cabaran THT

Dengan catatan dua kemenangan dalam dua perlawanan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pantas meletakkan diri sebagai pasukan pilihan awal dalam kancah saingan Liga Hoki TNB-MHL musim ini.
   
Meskipun terpaksa berdepan saingan sengit yang disajikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), THT tetap berjaya membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 2-1.  

Jurulatih THT, Sarjit Singh mengakui pasukannya mungkin beraksi dibayangi sedikit perasaan ‘terlebih yakin’ pada perlawanan tersebut selepas membelasah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 7-0 pada perlawanan pertama.

Selain itu, Sarjit turut meratapi hakikat betapa skuadnya agak pincang  : “Kami tidak dapat senaraikan barisan pemain terbaik kerana kami hanya mempunyai 14 pemain. Malek (Engku Abd Malek) tersisih kerana cedera manakala lima pemain import kami dari Korea Selatan belum tiba minggu lepas.”

Begitupun, Sarjit mengesahkan lima pemain Korea itu - Kang Moon Kyu,  Seo Jong Ho, Kang Moon Kweon, Bae Jeong Seok, dan Jang Jong Hyun, sudahpun menyertai rakan sepasukan lain dalam sesi latihan dan akan diturunkan  ketika THT turun menentang Maybank pada Jumaat.  

Seo Jong Ho
“Mereka bersedia untuk diturunkan beraksi pada Jumaat, itu adalah apa yang boleh saya katakan dengan pasti.” tambahnya.

Sementara itu, kehebatan juara bertahan, KLHC pula dilihat cukup sukar untuk digugat dari perlawanan ke perlawanan.  Selepas kemenangan 5-3 ke atas TNB pada perlawanan Piala Sumbangsih, pasukan itu kemudiannya mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Maybank pada Ahad lalu.  

“Kami turun pada perlawanan itu (menentang Maybank) dengan hasrat mengutip tiga mata tetapi kami tidak jangkakan dapat mencatat kemenangan mudah. Kami bernasib baik untuk mendapat gol awal dan ia membuka ruang untuk kami terus memberi tekanan kepada mereka,” kata jurulatih KLHC, M. Dhaarma Raj.

Bercakap mengenai lawan mereka pada Jumaat ini, Sapura HC, Dhaarma berkata : “Walaupun kami akan menentang THT pada Ahad depan, kami akan pergi dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Buat masa ini, fokus kami adalah Sapura, ia sudah tentu satu perlawanan yang sukar.”

Dalam satu lagi perlawanan pada Jumaat, TNB akan turun menentang UniKL, dengan kedua-dua pasukan masih mencari kemenangan pertama mereka dalam saingan liga musim ini. 

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berkata : “Secara keseluruhan saya merasakan kami telah beraksi dengan baik ketika menentang THT Ahad lalu. Ia perlawanan yang sengit dan kami memiliki banyak peluang yang baik, saya gembira dengan prestasi pemain-pemain saya. Seperkara yang perlu kami tingkatkan adalah sentuhan penyudah di depan gol yang dilihat masih tumpul.”

Selepas mengalami kekalahan memalukan 0-7 pada perlawanan pembukaan, UniKL tampil lebih meyakinkan ketika menentang Sapura. Mereka tidak bernasib baik untuk membawa pulang satu mata apabila menghadiahkan pukulan penalti pada lewat permainan yang membawa kepada kekalahan 2-1.

“Ianya persembahan yang jauh lebih baik dan bertenaga (menentang Sapura) berbanding perlawanan sebelumnya. Kami beraksi dengan lebih keyakinan dan akan terus menunjukkan aksi lebih baik apabila berdepan TNB nanti,” jelas jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Jadual Perlawanan:


Jumaat: Sapura lwn KLHC (6.0ptg, Padang 1); UniKL lwn TNB (6.0pm, Padang 2); Maybank lwn Terengganu Hockey Team (8.0malam, Padang 2). Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.