Friday, August 30, 2013

Pemain Selangor, JDT ungguli panggilan ke latihan pusat

Jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal telah menyenaraikan 24 nama untuk dipanggil menghadiri latihan pusat kem kebangsaan yang akan berlangsung dari 1 hingga 6 September, sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan persahabatan berstatus A menentang China pada 10 September. 

5 pemain Selangor dan 4 pemain JDT mengungguli senarai pemain tatkala beberapa nama seperti Nik Shahrul Azim, Nazmi Faiz, Wan Zack Haikal dan Junior Eldstal tidak disenaraikan kerana khidmat mereka akan digunakan Ong Kim Swee di Pestabola Merdeka nanti. 

Apa yang penting, janganlah Rajagobal pandai-pandai tukar status perlawanan persahabatan berstatus A ini kepada perlawanan ujian pada hari perlawanan, sepertimana pernah dilakukannya ketika menentang Arab Saudi. 


Senarai penuh pemain yang dipanggil : 

Khyril Muhaimin, Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Farizal Marlias (Perak)
Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Asrarudin Putra, K.Gurusamy, S.Kunalan (Selangor)
Nazrin Nawi (NS)
Aidil Zafuan, Norsharul Idlan, Safee Sali, Safiq Rahim (JDT)
Azamudin Akil, Razman Roslan, Saifulnizam Miswan (Pahang)
Khairul Fahmi, Shakir Shaari, Fakri Saarani (Kelantan)
Hasmizan Kamarudin, Faizal Muhammad (Terengganu)
Helmi Remeli (PKNS)
Sani Anuar Kamsani (Sarawak)
Fitri Omar (ATM)

Thursday, August 29, 2013

Nik Shahrul sedia balas kepercayaan

Dia pernah menolak peluang untuk membarisi pasukan Harimau Muda ketika diberi peluang tidak lama dahulu, begitupun pertahanan versatile Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dan bersedia membalas kepercayaan Ong Kim Swee apabila namanya disenaraikan pengendali itu untuk membawa cabaran di Pestabola Merdeka bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun yang boleh beraksi di segenap posisi pertahanan sama ada pertahanan tengah, kanan mahupun kiri ini sudahpun mengukuhkan reputasinya selaku salah seorang pemain pertahanan terbaik dimiliki negara selepas membentuk kombinasi mantap bersama Obinna Nwaneri di barisan belakang The Red Warriors musim ini.


“Tahun ini adalah peluang terakhir saya untuk mewakili Harimau Muda, selepas ini saya sudahpun melebihi had umur. Jadi saya mahu memanfaatkan peluang yang hadir ini dengan memberikan aksi terbaik dan memikat perhatian Kim Swee, mungkin ada rezeki saya untuk membentuk senarai akhir pemain ke Sukan Sea nanti jika mampu menyerlah di Pestabola Merdeka dan mengekalkan prestasi yang ditunjukkan bersama Kelantan,” kata Nik Shahrul.

Hanya mendapat peluang untuk berada di dalam kesebelasan utama Bojan Hodak pada tahun ini ekoran kecederaan jangka panjang dialami S.Subramaniam dan Azizi Matt Rose, Nik Shahrul pantas menyerlah membuktikan kredibilitinya sehinggakan berlaku episod tarik tali antara pengendali skuad senior negara, Datuk K.Rajagobal dan Kim Swee untuk menggunakan khidmatnya.

Meskipun tidak seperti rakan lain di dalam skuad Harimau Muda yang berpengalaman beraksi di Eropah dan kejohanan berprestij seperti Sukan Universiade Dunia di Kazan baru-baru ini, Nik Shahrul berpendapat dia tiada sebab untuk rasa terasing atau janggal kerana dia juga pernah beraksi di pentas Piala AFC bersama Kelantan selain tiga aksi final liga domestik, termasuk Piala FA pada Jun lalu.

“Saya percaya dengan kebolehan saya, sebagai pemain setiap perlawanan adalah pengalaman baru. Baik ianya domestik atau antarabangsa. Saya telah mendapat kepercayaan untuk beraksi menentang Chelsea dan Barcelona, saya kutip banyak pengalaman.

“Di peringkat tempatan, saya pernah beraksi dalam suasana final dikelilingi 90,000 penyokong, jadi tiada sebab untuk gemuruh atau rasa kekok. Saya berjanji, jika diberi peluang saya akan tampilkan aksi terbaik saya,” kata pemain kelahiran Rantau Panjang ini.

Andai mahu merebut tempat di dalam kesebelasan utama, Nik Shahrul sedar ianya bukan mudah kerana dia perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman seperti Fadhli Shas, Amir Zafran dan juga Shukur Saad.

Nik Shahrul, Junior jadi tumpuan

Menjelang Pestabola Merdeka yang akan berlangsung bulan depan, Ong Kim Swee telah menyenaraikan beberapa pemain dari skuad Liga Malaysia untuk memperkuatkan pasukan Harimau Mudanya yang akan membawa cabaran di kejohanan itu nanti.

Nama yang pastinya menjadi tumpuan, Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal apatah lagi ini kejohanan kompetitif pertama mereka bersama skuad kebangsaan selepas hanya tampil dalam beberapa siri perlawanan persahabatan skuad senior sebelum ini.

Nik Shahrul kini menjadi kesayangan di barisan belakang Kelantan selepas membentuk gandingan mantap bersama Obinna Nwaneri di posisi pertahanan tengah skuad juara treble 2012 itu, manakala Junior atau nama sebenarnya Putera Nader Amarhan menyerlah sebagai salah seorang tonggak kekuatan Bujang Senang dalam menjuarai Liga Perdana musim ini.

Antara pemain lain dipanggil adalah Zubir Azmi (Terengganu), S.Sivanesan (NS), K. Reuben (ATM) dan Nazmi faiz (PKNS).

Senarai penuh pemain adalah seperti berikut.


Wednesday, August 28, 2013

Selangor diaib Sime Darby, Lions kena lagi ..

Seakan ada yang tidak kena apabila saingan Piala Malaysia yang sedang rancak berlangsung menyaksikan beberapa keputusan di luar dugaan - terbaru, pada aksi ketiga yang berlangsung semalam, naib juara Liga Super, Selangor diaibkan naib juara Liga Perdana, Sime Darby dengan kekalahan 0-3 tatkala Lions yang turun dengan status sebagai pasukan pilihan selepas menjuarai Liga Super, turut dihadiahkan kekalahan kedua apabila tewas kepada Perak menerusi jaringan tunggal Azlan Ismail.

Kelantan pula bernasib baik untuk membawa pulang satu mata dan perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Khairul Fahmi yang menyelamatkan sepakan penalti tuan rumah pada babak pertama, manakala Pahang memerlukan jaringan penyamaan babak kedua untuk mengikat Terengganu, 1-1.

Jaringan Norsharul Idlan mengesahkan kemenangan 3-2 JDT ke atas T-Team namun aksi menghiburkan hadir di Larkin apabila Johor dan ATM mencatat keputusan seri 3-3.

Keputusan lain :

Matchday 3 :

Kumpulan A
Johor 3-3 ATM
Sime Darby 3 - 0 Selangor

Kumpulan B
T-Team 2 - 3 JDT
PKNS 1-0 Felda

Kumpulan C
NS 1-1 Kelantan
Pahang 1-1 Terengganu

Kumpulan D
Perak 1-0 Lions XII
Kedah 0-0 Sarawak

Saarvindran tekad gegar Pestabola

Artikel sumbangan Harris Rajahdin, bekas wartawan Berita Harian

Bergelar penjaring terbanyak Harimau Muda A di temasya Sukan Universiti Dunia yang berlangsung di Kazan, Russia baru-baru ini, D.Saarvindran bertekad untuk mengulangi prestasinya di Pestabola Merdeka dan seterusnya Sukan Sea akhir tahun ini.

Pemain tengah kelahiran Selangor berusia 20 tahun itu mencetak gol pertama dalam laluan kejayaan mengejut 2-0 ke atas Itali sebelum menambah dua lagi jaringan dalam keputusan seri 1-1 ke atas Ireland dan kekalahan 1-3 dalam penentuan ketujuh/kelapan keatas Kanada.

Sarvindran (kiri) antara nama yang meningkat naik ketika ini
Kini, Saarvindran mahu memastikan mahkota penjaring terbanyak terus menjadi miliknya pada kejohanan bola sepak antarabangsa tertua di rantau ini, Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung di Kuantan pada 5-14 September ini.

“Saya berharap dapat meneruskan persembahan yang ditunjukkan di Kazan pada Pestabola Merdeka nanti. Sasaran saya adalah untuk bergelar penjaring terbanyak di Pestabola dan juga Sukan Sea,” kata Saarvindran.

Baru berusia 20 tahun, Saarvindran memulakan kerjayanya di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2008 sebelum melangkah ke peringkat remaja bersama Harimau Muda B (2010-2012) sebelum dinaikkan ke Harimau Muda A sehingga sekarang.

“Meskipun orang mengatakan bahawa Pestabola tidak sepenting Sukan Sea, saya tidak bersetuju dengan pendapat itu dan bertekad untuk menjuarainya. Pestabola Merdeka adalah sebuah kejohanan istimewa yang pernah menampilkan legenda bola sepak negara dan kami mahu mengikut jejak langkah legenda yang pernah memenanginya sebelum ini seperti (Allahyarham) Mokhtar Dahari dan Soh Chin Aun,” katanya.

Saturday, August 24, 2013

Selangor gigit jari, Lions disentap Sarawak

Pada hari yang menyaksikan juara bertahan kembali ke landasan kemenangan hasil kemenangan 2-0 ke atas Terengganu, juara Piala Malaysia 32 kali Selangor pula berputih mata di gelanggang sendiri apabila tunduk 2-3 kepada finalis musim lalu, ATM di laman sendiri di Shah Alam.

Kejutan turut berlaku di Stadium Negeri, Kuching yang menyaksikan pertembungan antara juara Liga Perdana, Sarawak menentang juara Liga Super, Lions XII yang mana gol Joseph Kallang Tie memastikan Sarawak pulang dengan kemenangan hasil kemenangan 2-1 ke atas skuad dari seberang tambak itu.

Keputusan lain seperti berikut :

Matchday 2 :

Kumpulan A
Sime Darby 1 - 2 Johor
Selangor 2 - 3 ATM

Kumpulan B
JDT 1 - 0 Felda
T-Team 0 - 1 PKNS

Kumpulan C
Kelantan 2 - 0 Terengganu
Negeri Sembilan 3 - 5 Pahang

Kumpulan D
Sarawak 2 - 1 LionsXII
Kedah 0 - 0 Perak

Friday, August 23, 2013

Affandi : Harimau serba mantap

Pengurus Harimau Muda, Dato’ Affandi Hamzah mahu barisan pemain skuad itu memanfaatkan pengalaman yang telah diraih ketika berkelana lebih 4 bulan di Slovakia pada Kejohanan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung dari 5 hingga 15 September depan.

Affandi berkata meskipun pertandingan yang dianjurkan semula selepas 4 tahun dihentikan itu tidak sekompetitif edisi-edisi yang lalu, ia tetap dipandang serius oleh pengurusan pasukan justeru mengharapkan pemain-pemain dapat menterjemahkan aksi terbaik sebagai ‘batu loncatan’ untuk menghadapi Sukan Sea Myanmar hujung tahun nanti.

“Persiapan ketika ini di landasan terbaik malah pemain semua sudah kembali ke kem latihan setelah berehat beberapa hari selepas pulang dari Vion. Kita sedang merancang untuk mengatur aksi pemanas badan sebagai satu daripada persiapan dan Pestabola akan menjadi medium pertama bagi Ong Kim Swee menguji sejauh mana keberkesanan latihan yang telah kita lalui di Slovakia.

kredit pic : kosmo
“Saya yakin peminat semua mahu lihat kita muncul juara, itu juga hasrat saya apatah lagi kesemua lawan nanti adalah dari rantau Asia Tenggara yang juga lawan sama di Sukan Sea nanti. Ini pastinya akan menjadi kayu pengukur prestasi dan membantu Kim Swee mengenalpasti apa yang kurang dalam pasukan.

“Skuad yang kita bariskan nanti adalah yang terkuat namun dalam masa sama Kim Swee akan terus memantau yang berpotensi untuk diserap ke dalam skuad sepanjang Piala Malaysia nanti. Adunan pemain muda berpengalaman dalam Liga Malaysia dan pemain sedia ada dalam Harimau Muda pastinya menjadikan skuad ini serba mantap,” kata Affandi.

Antara pemain yang disandarkan harapan oleh Kim Swee untuk menghadapi Pestabola Merdeka kali ini adalah kapten pasukan Irfan Fazail serta dua tonggak kelahiran Kelantan, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Syahrul Azwari selain kelibat beberapa pemain yang berada dalam perhatian skuad senior seperti Wan Zack Haikal, Nazmi Faiz Mansor dan K.Reuben.


Tambah Affandi : “Pemain-pemain yang sama inilah akan kita bawa ke Myanmar dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea nanti, jadi mereka perlu untuk menepati status mereka dan membuktikan kepada Kim Swee juga pengurusan pasukan bahawa mereka sememangnya pemain yang kita inginkan.” 

Misi benam Red Giants

BIARPUN hanya beraksi tiga minit, ia tetap pengalaman berharga buat pertahanan kanan, K Reuben pada penampilannya menentang gergasi Sepanyol, Barcelona tempoh hari.

Masuk sebagai pemain gantian pada masa kecederaan, pemain berusia 23 tahun itu tidak diberikan banyak masa untuk membuktikan kemampuannya namun ia masih menjadi sesuatu yang bakal dikenang anak kelahiran Kajang sepanjang hayatnya.

“Sungguh pun beraksi hanya tiga minit, ia tetap pengalaman yang berguna buat saya dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak. Diharapkan saya dapat menggunakan pengalaman yang diraih dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Selepas kekalahan kami pada perlawanan pertama kepada Sime Darby, Selasa, kami perlu memastikan tiga mata penuh menentang Selangor supaya kami tidak tercicir dalam perebutan tiket ke suku akhir,” kata Burn.

Penampilan Burn dalam skuad kebangsaan menandakan sejauh mana kerjayanya sudah berkembang sejak menempa nama di Sukan Universiti Dunia di Shenzhen dua tahun lalu.

Kini Burn sudah berjaya menempatkan diri dalam benak pemikiran pengendali skuad kebangsaan K Rajagobal dan kini menjadikan posisi pertahanan kanan secara tetap dalam barisan ATM bimbingan B Sathianathan.

Tewas 3-4 kepada Sime Darby dalam aksi pembukaan, ATM kini berdepan misi getir untuk meraih kemenangan ke atas the Red Giants esok dalam misi untuk menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.
Dengan Selangor sekadar seri tanpa jaringan dengan Johor pada perlawanan pembukaan, saingan dalam Kumpulan A kekal terbuka dalam pertembungan yang menjanjikan aksi sengit, menarik dan disulami kontroversi seandainya berpandu kepada rekod pertemuan.

Masih segar di ingatan kekalahan 1-2 kepada Selangor menerusi jaringan minit terakhir K Gurusamy yang menamatkan impian ATM untuk merebut gelaran liga selain kekecewaan penentuan penalti pada pusingan pertama Piala FA yang menafikan khidmat pemain akibat penggantungan berikutan insiden pergeseran antara kedua-dua pasukan itu.

Berikutan kekalahan Selasa lalu, Sathia menjanjikan rombakan di bahagian pertambahan sambil mengalu-alukan kepulangan semula penjaring terbanyak, Marlon Alex James daripada penggantungan.

Namun, penyerang kelahiran St Vincent & Grenadines itu berkemungkinan besar tidak akan diturunkan kerana demam menyaksikan gandingan serangan Hairuddin Omar-Nizaruddin Yusoff dikekalkan. 

Pertahanan kiri, Muhammad Safwan Hashim akan mengisi posisi bek kiri menggantikan Fitri Omar.  

Wednesday, August 21, 2013

"Pemain saya tidur"

“Pemain saya tidur pada separuh masa pertama. Mereka hanya bangkit daripada tidur pada separuh masa kedua,” luah pengendali, B Satianathan yang jelas kecewa sejurus kekalahan 3-4 the Gladiators kepada Sime Darby pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Malaysia malam tadi.

Ketinggalan 1-4 kepada naib juara Liga Perdana itu, finalis tahun lalu itu bangkit dengan dua gol namun gagal menemui satu lagi jaringan untuk menyelamatkan satu mata dalam aksi menghiburkan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Baru dua minit berlangsung, tuan rumah dikejutkan jaringan penyerang Togo, Togaba Komlan Kontiwa dengan ATM menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Fazrul Hazli Kadri yang tertampan masuk sepakan percuma Irwan Fadly Idrus pada minit ke-16.

Kelonggaran benteng pertahanan ATM kemudiannya pantas dihukum Togaba yang merembat deras ke penjuru gawang, Mohd Farizal Haron pada minit ke-22.

Dalam ketiadaan pemilik Kasut Emas, Marlon Alex James yang digantung, tanggungjawab di bahagian serangan digalas oleh kapten, Hairuddin Omar dan Mohd Nizaruddin Yusoff dengan Niza, juga bekas pemenang Kasut Emas Liga Super hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya sekadar singgah di palang meski pun penjaga gol, Suffian Abd Rahman sudah tertewas.

Malang menimpa buat ATM apabila Mohd Hadzirun Hamid memanfaatkan keadaan kucar kacir dalam kotak penalti untuk menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-31.

Terdesak memburu dua gol, Sathia membuat keputusan untuk memasukkan Venice Elphi Danny Kaya pada minit ke-32 menggantikan Norfazly Alias, tetapi perkara sebaliknya yang berlaku dengan ATM menyukarkan keadaan buat diri mereka apabila terus dibolosi satu lagi jaringan menerusi serangan pantas sebaik wisel babak kedua dibunyikan.

Kemasukan Venice memberikan nafas baru kepada jentera serangan ATM dengan hasilnya, Irwan Fadly Idrus merapatkan jurang menerusi sepakan percuma kaki kiri pada minit ke-57 sebelum pemain sayap, Venice mengotakan janjinya untuk merobek gawang Sime Darby menerusi rembatan cantik pada minit ke-75.

Gol keempat yang dicari-cari gagal dijelmakan anak buah Sathia dengan pengadil menyapu garam di luka ATM apabila meniup wisel penamat awal sebelum masa tambahan 4 minit habis dimainkan.

Keputusan itu jelas menaikkan kemarahan penyokong yang bertindak membaling objek kepada pengadil dan pegawai perlawanan dengan Sathia terpaksa menahan kemarahannya atas apa yang disifatkannya sebagai keputusan tidak adil.

“Pengadil meniup wisel ketika jam saya menunjukkan 3 minit 53 saat. Masa tambahan tak sampai pun 4 minit. Kalau empat minit, biarlah sampai empat minit. Ini yang buat penyokong marah. Anda (media) boleh melihat sendiri betapa marahnya mereka.

“Pengadil sepatutnya menambah lagi masa tambahan melihatkan pemain mereka yang berterusan melengah-lengahkan perlawanan pada masa tambahan.

Kelantan disentap gol penyamaan lewat, JDT tumbang di Shah Alam

Sepak mula Piala Malaysia 2013 menyaksikan juara bertahan, Kelantan diikat tuan rumah Pahang menerusi gol penyamaan lewat permainan, tatkala pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim tumbang mengejut di Shah Alam kepada PKNS Selangor.

Negeri Sembilan mencatat hanyalah kemenangan kedua mereka musim ini dengan menundukkan Terengganu, tatkala Sime Darby membuka tirai dengan kejutan besar menewaskan finalis musim lalu, ATM, 4-3.

Keputusan lain Matchday 1, seperti berikut :

Kumpulan A
Johor 0 - 0 Selangor
ATM 3 - 4 Sime Darby

Kumpulan B
PKNS 2 - 0 JDT
Felda 0 - 1 T-Team

Kumpulan C
Pahang 1 - 1 Kelantan
Terengganu 0 - 2 Negeri Sembilan

Kumpulan D
Lions XII 2 - 2 Kedah
Perak 2 - 1 Sarawak

Sunday, August 18, 2013

Nasib sama menimpa Frenz United A

Nasib sama seperti Frenz United B! Itulah yang menimpa pasukan Frenz United A apabila tewas 1-2 kepada Frenz Indonesia dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF-FAM-Asean Frenz 2013 di Stadion Jalak Harupat, Bandung. Di aksi separuh akhir yanh berlangsung semalam, Frenz United B tewas 1-2 kepada Chonburi FC.

Beraksi di gelanggang sendiri, Frenz Indonesia memulakan aksi dengan bertenaga dan menguasai hampir sepenuhnya separuh masa pertama dengan Frenz United Malaysia sekali sekala menguji kubu lawan dengan serangan balas namun gol yang dicari kedua-dua pasukan tidak berjaya ditemui.

Mohd Akhmar Haiqal Azhar (jersi hitam) dari Frenz Malaysia A bertembung dengan pemain lawan ketika perebutan bola. Dunia Sukan. 
Bersambung babak kedua, Frenz Indonesia memperolehi gol pertama pada minit ke-56 melalui Imanes Novanrianto yang menguis masuk melepasi penjaga gol Malaysia, Adam Zairi Fitri Zaini yang sebelum itu menepis sepakan percuma pihak lawan.

Tersentak dengan gol itu, jurulatih Frenz Malaysia A membuat beberapa perubahan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui Mohd Akhmar Haiqal Azhar pada minit ke-66 yang mudah menanduk masuk setelah menerima hantaran jauh dari penjaga gol.

Pemain Frenz Malaysia A, Mohd Akhmar Haiqal Azhar meraikan gol beliau pada minit ke-66
Selepas itu Frenz Malaysia A melancarkan serangan demi serangan bagi mencari gol tambahan namun keghairahan tersebut membawa padah apabila Frenz Indonesia menjaringkan gol melalui M. Awal Fajri pada minit ke-88.

Sementara itu jurulatih Frenz Malaysia A, Mat Dinos Talib berkata, pasukannya menguasai babak kedua namun sedikit kealpaan akibat terlalu menyerang menyebabkan pasukan kalah kepada lawan.

"Kami akan membuat post mortem dan berjanji akan bangkit di perlawanan separuh akhir kedua nanti" tambah Mat Dinos.

Perlawanan separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung di Stadium Frenz, Janda Baik pada Rabu (21 Ogos) dan Khamis (22 Ogos). 

Rekod tanpa kalah Frenz United B lebur

Rekod tanpa kalah Frenz Malaysia B dileburkan oleh Chonburi FC apabila mereka ditewaskan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala ASEAN-FAM-Frenz 2013 di Stadium Chonburi sebentar tadi.

Chonburi yang menerima sokongan padu dari penyokong mereka menguasai permainan di awal separuh masa pertama dan membuat beberapa percubaan bahaya ke pintu gol Frenz Malaysia B. Mereka hampir mendahului apabila berlaku salah faham di barisan pertahanan pasukan pelawat namun percubaan Kanthawat Petcharat tersasar dari pintu gol.

Foto : Dunia Sukan
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-14 apabila kegagalan penjaga gol Frenz Malaysia B, Muhammad Saiful Niza yang gagal menangkap kemas percubaan Sittichok Paso membolehkan Samart Authairatsamee menolak masuk bola ke dalam gawang.

Chonburi terus menyerang namun Frenz Malaysia B mula menemui rentak permainan. Larian-larian pantas oleh Muhammad Hafizuddin di sebelah kanan kerap mengucar-kacirkan pertahanan tuan rumah. 
Pada minit ke-24 beliau berjaya meloloskan diri hasil hantaran Muhammad Fareez dan membuat satu hantaran lintang ke kawasan gol Chonburi.

Kesilapan pemain pertahanan, Kritsada Kaman menyaksikan bola tiba di kaki Muhammad Ad Deen yang membuat rembatan deras menewaskan penjaga gol Chonburi, Chakhon Philakhlang untuk membolehkan Frenz Malaysia B menyamakan kedudukan.

Gol tersebut seolah-olah memberi semangat kepada Frenz Malaysia B dan mereka membuat beberapa percubaan ke arah pintu gol Chonburi tetapi gagal untuk menemui gawang buat kali kedua menyaksikan kedudukan di akhir separuh masa pertama terikat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan Chonburi menguasai perlawanan dan mereka memaksa Frenz Malaysia B bekerja keras untuk mematahkan serangan-serangan yang dilakukan. Namun pada minit ke-72, pasukan pelawat akhirnya terpaksa akur juga apabila Saharat Sontisawat membuat satu lob yang cantik untuk menewaskan Saiful Niza.

Jaringan tersebut seolah-olah memberikan semangat kepada pasukan tuan rumah yang terus memburu gol sebagai bekalan ke Janda Baik untuk perlawanan kedua nanti. Namun mereka gagal menyudahkan beberapa peluang yang tercipta dan terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 2-1 sahaja pada wisel penamat.

Jurulatih Frenz Malaysia B, Zolkifli Samion berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dan masih menganggap peluang mereka untuk ke perlawanan akhir masih lagi terbuka dengan adanya 90 minit lagi yang harus ditempuhi di perlawanan kedua di Janda Baik nanti.

Sementara itu jurulatih Chonburi, Naruephon Kaenson percaya pasukannya mampu untuk mencapai keputusan yang dikehendaki di perlawanan kedua nanti namun ianya memerlukan usaha yang lebih dari para pemainnya. Walaupun memenangi perlawanan Naruephon tidak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak didiknya yang beliau percaya mampu untuk bermain lebih baik lagi.