Pautan Suara Sukan

Tuesday, December 25, 2012

Julang Piala AFF kali keempat, Singapura kuasa bolasepak Asia Tenggara

Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Kakibola edisi minggu akhir Disember dan saya baru berkesempatan untuk upload story ini di blog.

Singapura mengesahkan reputasi mereka selaku gergasi bolasepak Asia Tenggara apabila menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki buat kali keempat menerusi kemenangan aggregat 3-2 ke atas Thailand meskipun tewas 0-1 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, 22 Disember lalu.

Membawa bekalan 2 gol hasil kemenangan 3-1 yang dicatat di laman sendiri, Stadium Jalan Besar pada 19 Disember, Singapura bimbingan Radojko Avramovich memilih untuk bermain lebih defensif dan ternyata ianya membuahkan hasil meskipun terpaksa menahan asakan hebat tuan rumah sepanjang 90 minit perlawanan.


Gol jaringan Kirati Keawsombut menerusi tandukan kencang seminit sebelum babak pertama berakhir memecahkan kebuntuan permainan, sekaligus menyemarakkan moral dan semangat pemain Thailand yang sedar mereka boleh bergelar juara menerusi kelebihan gol di tempat lawan dengan hanya perlu menambah satu lagi jaringan.

Di sebalik melancarkan serangan bertali arus dan mencipta deretan peluang keemasan, satu gol yang dicari itu gagal diterjemahkan oleh barisan depan Thailand yang diterajui Teerasil Dangda, Pichitphong Choeichiu dan Jakkraphan Pornsai – malah Kirati pastinya meratapi kegagalan menyempurnakan peluang keemasan memberikan Thailand gol kemenangan selepas percubaannya melepasi palang gol pada minit ke-66.

Malah, kredit juga harus diberi kepada barisan pertahanan Singapura diketuai Bhaihaki Khaizan yang berjaya mengawal tekanan seterusnya bertahan dengan baik, selain kecemerlangan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tenang di gawang sekaligus menghampakan jurulatih Thailand, Winfried Schafer dan 20,000 penyokong setia skuad Gajah Perang.

Menariknya, kejayaan skuad Singapura ini dibantu aksi hebat 8 pemain tonggak mereka yang beraksi bersama pasukan Lions XII yang muncul naib juara dalam saingan Liga Super Malaysia, membuktikan bahawa Liga Malaysia mempunyai kualiti untuk melahirkan pemain terhebat di rantau ini.

Tetapi malangnya hanya dua sahaja pemain dari skuad Kelantan yang muncul juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA tahun ini melekat dalam skuad Harimau Malaya, itupun bukan di dalam kesebelasan utama - di mana silapnya?


Kejayaan terbaru ini bermakna Singapura layak berbangga selaku negara paling banyak memenangi trofi ini sejak ia diperkenalkan pada 1996 (ketika itu dikenali dengan nama Piala Tiger), diikuti Thailand sebanyak tiga kali, manakala Malaysia dan Vietnam, masing-masing sekali.

Thailand pula terus kempunan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 10 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2002 dan kekalahan kali ini merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut pada aksi final selepas 2007 dan 2008.

Ketua pasukan Singapura yang beraksi untuk Lions XII dalam saingan Liga Super Malaysia, Shahril Ishak dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) manakala penyerang Thailand, Teerasil Dangda muncul penjaring terbanyak kejohanan – manakala Malaysia yang kecewa gagal mempertahankan kejuaraan meraih Anugerah Fair Play (permainan bersih).

Saturday, December 15, 2012

Thailand tunjukkan Malaysia jalan keluar


Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Kakibola pertengahan Disember.

Malaysia gagal dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki apabila gol jaringan penyerang sensasi, Teerasil Dangda dan pemain pertahanan, Theerathon Bunmathan memadai untuk memberikan Thailand kemenangan 2-0 sekaligus menyingkirkan skuad negara kendalian Datuk K.Rajagobal dengan aggregat 3-1.

Thailand akan menentang Singapura pada aksi final yang dijadual berlangsung dua pusingan pada 19 dan 22 Disember depan sekaligus mengulangi pertemuan final edisi 2007 yang mana dimenangi Singapura dengan keputusan aggregat 3-2 – kedua-dua pasukan mencari gelaran keempat di kejohanan ini.


Menentang tuan rumah di Stadium Supachalasai, skuad negara hanya perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyaingi tempo permainan pantas Thailand dan hakikatnya sepanjang 90 minit permainan tidak keterlaluan andai dikatakan pasukan negara ibarat diajar bermain bolasepak oleh skuad bimbingan Winfried Shafer yang mendominasi sepenuhnya perlawanan.

Mungkin ada yang mengaitkan kad merah tidak berasas dilayangkan pengadil dari Korea, Lee Min Hun kepada Fadhli Shas pada penghujung babak pertama sebagai permulaan episod duka sang harimau, tetapi pada hakikatnya bermain dengan 11 pemain sekalipun belum tentu kita dapat memberikan saingan yang lebih bermakna dengan mengambil kira kualiti permainan yang ditunjukkan.

Barisan tengah dikemudi kapten pasukan sekali lagi hilang punca, tiada hantaran tepat, tiada pencetus kreativiti, gagal memanfaatkan sebaiknya kekuatan di posisi sayap, gemuruh apabila memegang bola, cenderung kehilangan bola dengan mudah dan lebih malang pada situasi terdesak di mana kita wajib mencari gol tempat lawan, ada pemain lebih gemar mahu menonjolkan skil individu yang tidak berapa menjadi berbanding menunjukkan semangat sepasukan.


Selain dua percubaan yang tersasar dalam tempoh 10 minit pertama, serta percubaan leret sepakan percuma Aidil Zafuan, jentera serangan skuad negara diterajui Norsharul Idlan tidak langsung mengancam gawang Thailand kawalan Kawin Thamsatchanan, tidak bernafsu mencari gol yang boleh menyemarakkan semangat, malah kemasukan Safee Sali di babak kedua sekalipun tidak berupaya mengubah situasi.

Berbeza dengan Thailand, menerusi permainan bertunjangkan kredibiliti barisan kejurulatihan dari Jerman, mereka tenang mengawal permainan, bijak mengatur serangan dari tengah, memanfaatkan kelincahan pemain perancang, Datsakorn Thonglao yang kerap melakukan hantaran berbahaya yang membelah barisan pertahanan skuad negara.

Rajagobal juga lambat bertindak apabila berterusan mengharapkan pemain anak emasnya, Amar Rohidan untuk menampung ketiadaan Fadhli di barisan pertahanan - pemain itu kemudiannya ‘membalas’ kepercayaan Raja apabila menjadi punca kepada terhasilnya gol pertama jaringan Dangda pada minit ke-62 dan selang tiga minit kemudian Theerathon menoktahkan terus sisa kebangkitan skuad negara menerusi sepakan deras yang mengegar gawang Farizal Marlias.

Kekalahan ini juga bermakna Raja gagal dalam misi utamanya bagi tahun 2012 - selepas bereksperimen untuk tempoh dua tahun lamanya dengan memperjudikan ranking pasukan kebangsaan, ini pastinya bukan hasil yang diharapkan jutaan penyokong Harimau Malaya serta Persatuan Bolasepak Malaysia sendiri.

Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan kemaraan ke separuh akhir adalah pencapaian yang sudah cukup bagus apatah lagi kita merupakan juara di rantau ini bagi setiap kejohanan utama sejak tahun 2009 – bermula dengan kejayaan memenangi pingat emas Sukan Sea 2009, diikuti menjuarai kali pertama Piala AFF Suzuki pada 2010 dan tahun berikutnya berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia.

Jadi, dengan reputasi hebat ini, apakah relevan dikatakan layak ke separuh akhir sudah cukup bagus? Siapa yang harus bertanggungjawab?

Singapura atasi Azkals

Dalam aksi yang berlangsung terdahulu, Singapura mengetepikan aksi berani skuad Filipina dengan aggregat 1-0 menerusi jaringan tunggal Khairul Amri sekaligus menafikan hasrat Azkals untuk mencipta kejutan mara ke final buat kali pertama.

Bagi Singapura, ini adalah penampilan keempat mereka di pentas final dan menariknya mereka tidak pernah tewas dalam tiga aksi final terdahulu.

Thursday, December 6, 2012

Tiket Semi RM40, Mula Dijual 7 Disember


Berikut adalah jadual jualan tiket mengikut maklumat yang diterima dari FAM.

JADUAL JUALAN TIKET

PERLAWANAN SEPARUH AKHIR MALAYSIA MELAWAN THAILAND PADA HARI AHAD 9 DISEMBER 2012 JAM 8.00 MALAM DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL.

Adalah dimaklumkan bahawa maklumat penjualan tiket untuk menyaksikan Perlawanan Separuh Akhir Piala AFF Suzuki yang tersebut adalah seperti berikut:

DI STADIUM NASIONAL,BUKIT JALIL
Pada 7 dan 8 Disember 2012, dari jam 9 Pagi hingga 7 Malam.
Pada 9 Disember 2012, dari jam 9 Pagi hingga perlawanan bermula.

DI STADIUM SHAH ALAM
Pada 7 dan 8 Disember 2012 sahaja, dari jam 9 Pagi hingga 7 Malam.

HARGA TIKET
Harga tiket adalah RM40 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.
Tempat duduk bebas.



Mampukah Gajah Putih dijinakkan?


Menentang Thailand, adalah ujian sebenar buat Rajagobal dan pemainnya, ia juga akan menjadi kayu pengukur di dalam menilai sejauh mana kekuatan pasukan ini yang dikatakan skuad impian yang mempunyai potensi layak ke Piala Asia 2015 sepertimana sering digembar-gemburkan oleh Raja.

Sama ada sedar tiada harapan tinggi boleh diletakkan apabila turun menentang Thailand, atau mahu merendah diri, Rajagobal memilih jalan selamat dengan berkata : “Lihat Thailand, mereka pasukan yang sangat kuat. Kami sudah berada di separuh akhir, dan kita tidak rugi apa-apa. Saya akan persiapkan pasukan seperti biasa dan kita akan hadapi mereka tanpa terlalu memikirkan tentang menang atau kalah.”

Dan seolah-olah masih bersandarkan kepada sejarah silam, Rajagobal berkata : “Mereka adalah pasukan yang kuat, mempunyai kepantasan, bagus dari aspek teknikal, taktikal, tetapi itu bukan bermakna kami akan takut. Dalam bolasepak apa sahaja boleh terjadi, lihat sahaja dua tahun lepas. Adakah awak jangka kami akan muncul juara selepas dibelasah 5-1 pada perlawanan pertama? Saya tahu apa taktik yang perlu diterap ketika menentang Thailand, dan pemain saya akan membuktikannya di atas padang.”


Apapun, kita juga perlu mengakui skuad negara tampil lebih impresif pada dua perlawanan selepas kekalahan kepada Singapura, terutamanya pada kelibat Mahali yang mengambil alih posisi Bunyamin Umar, Wan Zack Haikal dan Azamudin yang cemerlang di kedua-dua sayap, Zubir Azmi yang menyisihkan Azmi Muslim serta Shakir Shaari yang mantap di posisi tengah bertahannya.

Cuma, gandingan Norsharul Idlan Talaha dan Safee sahaja yang agak membimbangkan ketika ini apabila terhasil hanya satu gol di antara mereka meskipun digandingkan bersama dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan – sampai bila Raja akan terus menaruh kepercayaan dan bersabar pada ketika dia juga memiliki penyerang meningkat naik, Ahmad Hazwan Bakri di dalam pasukan?

Andai setiap kelemahan, terutamanya ketepatan hantaran dan kekurangan idea serta kreativiti untuk mencipta gerak berbahaya dapat diperbaiki selain kelebihan yang dimiliki di kedua-dua posisi sayap dapat dimanfaatkan sebaiknya, tidak mustahil Malaysia dapat menyingkirkan Thailand yang sebelum ini mara ke aksi final 2007 dan 2008.

Liga Super 2013 : Hai-O yakin 4 teratas sasaran relevan


Artikel yang saya nukil pada penghujung November lalu, telah diupload di portal ATM FA dan baru hari ini saya sempat untuk siarkannya di Suara Sukan. 

Kapten berpengaruh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar percaya pasukannya mempunyai segala rencah yang diperlukan untuk mencabar kelompok elit Liga Super musim depan, dan optimis ATM mempunyai potensi yang baik untuk mengintai kedudukan empat teratas di sebalik status selaku pendatang baru.


Meskipun kehilangan beberapa pemain tonggak yang menjadi tulang belakang kejayaan menjuarai saingan Liga Perdana 2012 dan muncul finalis Piala Malaysia pada Oktober lalu - antaranya pasangan kembar serba popular, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak serta Azmi Muslim – Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O tidak menganggap ia sebagai merencatkan kekuatan pasukan.

“Pemain datang dan pergi, itu adalah perkara biasa. Saya tidak anggap ia satu alasan, kerana bolasepak adalah permainan sepasukan, bukan bergantung kepada mana-mana pemain tertentu. Kita hilang 4 atau 5 pemain, tetapi kita juga ada bawa masuk 6 atau 7 pemain baru,” ujar Hai-O yang berkata belum tiba masanya untuk mendedahkan nama pemain-pemain baru tersebut disebabkan alasan teknikal.

Tambah Hai-O lagi : “Saya percaya pemain-pemain ini ada kelebihan mereka, ditambah dengan pemain sedia ada yang mana saya boleh katakan majoriti pemain tonggak memilih untuk kekal bersama pasukan ini, jadi tidak timbul soal kekuatan pasukan terencat dan sebagainya. Tempoh masa yang kita ada akan kita pergunakan sebaiknya untuk membentuk sebuah pasukan mantap dan Coach Sathia tentunya peka apa kelemahan yang perlu diatasi.

“Memang saya tidak nafikan Liga Super satu cabaran baru buat ATM, tetapi kebanyakan pemain di dalam pasukan ini adalah pemain berpengalaman dan pernah merasai pengalaman beraksi di Liga Super dan tahap tertinggi, pernah melalui tekanan dan suasana permainan yang sama.

“Sememangnya satu cabaran besar untuk kita bersaing dengan pasukan seperti Kelantan, Lions, Selangor yang memiliki pengalaman dan sudah beraksi lebih lama di tahap tertinggi. Tetapi dengan persiapan yang berjalan lancar ketika ini, serta tahap keyakinan tinggi rakan sepasukan yang sudah kembali berlatih sejak seminggu lalu, saya rasa berada di kelompok 4 terbaik adalah sasaran relevan,” katanya yang tidak mahu memperkecilkan kemampuan pasukan lain seperti Perak dan Johor yang turut memperkasakan pasukan dengan kehadiran pemain-pemain bintang dalam skuad mereka.  

Hai-O memilih untuk kekal bersama ATM buat musim kedua berturut-turut meskipun spekulasi bertiup kencang mengatakan pemain berusia 32 tahun ini bakal kembali menyarung jersi negeri kelahirannya, Terengganu sekaligus membuktikan komitmennya terhadap ATM bukanlah sesuatu yang perlu diragui.

Harimau mengaum, Thailand halangan terbesar Rajagobal


Malaysia bangkit mengetepikan permulaan sumbang dek kekalahan berat 0-3 kepada Singapura dengan dua kemenangan bergaya ke atas Laos dan Indonesia untuk mengesahkan kemaraan ke semifinal selaku naib juara Kumpulan B, namun halangan terbesar Malaysia dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki tidak lain tidak bukan adalah juara tiga kali, Thailand.


Kegagalan menjuarai Kumpulan B di sebalik kelebihan beraksi di tempat sendiri serta status selaku juara bertahan, bermakna Malaysia gagal mengelak pertembungan menentang gergasi Asia Tenggara itu yang kini di ranking nombor 1 AFF - Thailand menjuarai Kumpulan A dengan muncul satu-satunya pasukan yang meraih mata maksimum apabila memenangi kesemua tiga perlawanan menentang Myanmar, Filipina dan Vietnam sekaligus membayangkan hasrat merampas semula kejuaraan yang kali terakhir mereka julang 10 tahun lalu, iaitu pada 2002.

Tetapi persoalan ketika ini bukan mengenai persiapan Thailand, sebaliknya skuad kebangsaan kendalian Datuk K.Rajagobal – setelah dikritik hebat peminat, pemerhati dan para penganalisis sukan berikutan kepincangan dalam persiapan menghadapi kejohanan dwitahunan ini termasuk seri menentang Bangladesh dan Hong Kong, harus diakui tidak banyak harapan diletakkan ke atas mereka walaupun sekadar untuk mara melepasi halangan peringkat kumpulan.

Skuad negara tidak menyerlahkan potensi sebenar dan sekadar beraksi di bawah par, malah Rajagobal sendiri selepas dua tahun kejayaan menjulang Piala AFF buat kali pertama, masih tidak mempunyai barisan impian dan tercari-cari keserasian dan formula ampuh untuk mengembalikan reputasi Harimau yang tercalar hebat dek kejatuhan ranking dunia - justeru tidak hairanlah apabila mereka berterusan menjadi sasaran kritikan peminat yang kecewa dengan situasi tersebut.

Laungan ‘Raja, apa kau dah buat’ lantang kedengaran dinyanyikan Ultras Malaya ketika skuad kebangsaan diperbudakkan Shahril Ishak dan rakan sepasukannya berusia 42 tahun, Aleksandar Duric sehinggakan Rajagobal memilih untuk mempersalahkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat sebagai punca kekalahan itu.

Malah permulaan perlahan ketika menentang Laos juga hampir memakan diri jika tidak kerana aksi lebih bertenaga di babak kedua yang membolehkan kita menang menerusi jaringan sepakan percuma Safiq Rahim, Safee Sali, Wan Zack Haikal dan Khyril Muhaimeen Zambry sebelum meneruskan ngauman garang itu ketika menyingkirkan finalis dua tahun lalu, Indonesia 2-0 menerusi gol jaringan Azamudin Akil dan Mahali Jasuli.

Namun, dilihat dari perspektif berbeza – kemenangan ke atas Laos tidaklah boleh dibanggakan, sejak sebelum sepak mula kita memang sudah dijangka tidak akan bermasalah untuk menjinakkan Laos apatah lagi mereka merupakan pasukan paling kerdil di dalam kumpulan, hakikat bahawa mereka berjaya mengikat Indonesia 2-2 tidak mencerminkan kekuatan mereka kerana Indonesia sendiri, sejak 2010 bergelut dengan pelbagai kemelut dalam arena bolasepak mereka.

Pengharaman Liga Super Indonesia menyaksikan mereka kehilangan majoriti pemain berpengaruh dan berpengalaman, terpaksa membariskan rata-ratanya pemain mentah dari Liga Perdana Indonesia dan jika bukan kerana tradisi, pertemuan menentang Indonesia tidaklah begitu hebat untuk diperkatakan apatah lagi daripada sebuah pasukan jagoan Asia Tenggara, mereka kini berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia.

Kini, sasaran awal Rajagobal untuk membawa pasukan negara ke semifinal sudah tercapai dan setidak-tidaknya pengendali berusia 56 tahun berjaya menutup mulut pengkritik buat masa ini – cuma persoalannya bagi sebuah negara yang turun dengan reputasi selaku juara bertahan, dan pemenang pingat emas Sukan Sea di dua edisi lalu 2009 dan 2011, apakah sasaran semifinal merupakan sasaran terbaik yang boleh diletakkan?

Apapun, ini bukan masanya untuk kita mengkritik dan menyelar Rajagobal mahupun pasukan kebangsaan yang kita sayangi kerana para pemain memerlukan sokongan padu kita seluruh rakyat Malaysia dan peminat bolasepak tempatan untuk turut bersama mereka ketika aksi timbal balik semifinal mendebarkan menentang pilihan utama kejohanan itu pada 9 dan 13 Disember nanti.