Pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B.Sathianathan mungkin
menarik nafas lega di atas kemenangan tipis pasukannya menewaskan Negeri
Sembilan 3-2 dalam aksi penuh dramatik tempoh hari, namun beliau tetap melihat
kealpaan barisan pertahanan yang menghadiahkan dua gol di tempat lawan kepada
skuad penyandang juara itu.
Justeru, Sathia memberikan amaran kepada pemainnya terutama
benteng terakhir diketuai pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak agar
memperbaiki prestasi dan menuntut komitmen penuh pemainnya menjelang aksi timbal
balik suku akhir Piala Malaysia, Selasa ini.
foto : Amierul Hisham |
“Dengan hanya 1 gol, kami belum selesa, dan saya mahu pemain
saya tunjukkan komitmen penuh di Paroi nanti. Terlalu banyak kelemahan yang
masih perlu diperbaiki terutamanya pertahanan yang memberikan dua gol mudah
kepada Negeri Sembilan. Ia sepatutnya tidak berlaku, gol pertama adalah nyata
kesilapan penjaga gol Farizal Harun dan gol kedua pula kerana pemain saya gagal
mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
“Jadi, saya tidak mahu pemain mengulangi kesilapan sama. Keputusan
seri sudah cukup untuk kami mara, tetapi saya tidak mahu pemain bermain dengan mentaliti
itu, kerana beraksi di Paroi bukan satu tugas mudah. Yang penting kami mahu
dapatkan gol di tempat lawan dan mencatat kemenangan untuk mara ke separuh
akhir,” tegas Sathia.
Kealpaan barisan pertahanan di kem ATM bukanlah cerita baru
kerana tempoh hari ketika menentang Kedah dalam aksi peringkat kumpulan, ATM
melepaskan dua gol selepas mendahului 2-0, sekaligus menyaksikan mereka
dipintas Kelantan dan akhirnya berkesudahan di tempat kedua - keputusan yang menjadi penyebab mereka
terpaksa menentang Negeri Sembilan di suku akhir.
Maka, tidak hairanlah Sathia dilihat berang dengan
pertahanannya yang turut dibarisi dua lagi pemain kebangsaan selain Aidil,
iaitu Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajuddin.
Pada aksi suku akhir pertama Jumaat lepas, ATM menewaskan
Negeri Sembilan menerusi jaringan Christie Jayaseelan, Bruno Sebatian
Martelotto dan kapten pasukan, Hairuddin Omar manakala Negeri Sembilan membalas
menerusi Firdaus Azizul dan Ahmad Shakir Ali.