Pautan Suara Sukan

Thursday, March 31, 2011

Kim Swee – Kota Bharu Bukan Gelanggang Keramat, Status Pendahulu Tekanan Buat Kelantan


Sehari selepas mendapat tahu siapa lawan skuad Olimpik negara pada Pusingan Kelayakan Olimpik, Ong Kim Swee dan barisan pemainnya sudahpun berada di Kota Bharu, menjelang pertembungan menarik Liga Super minggu ini, antara pasukannya Harimau Muda menentang Juara Piala Sumbangsih juga naib juara liga musim lalu, Kelantan.

Bakal turun beraksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-4 pada Jumaat, Kim Swee nyata tidak terganggu dengan reputasi hebat skuad The Red Warriors di gelanggang  keramat mereka itu, sebaliknya berkeyakinan tinggi ‘anak harimau’ bimbingannya dapat menghadiahkan Kelantan kekalahan pertama di laman sendiri musim ini.

Bukan mahu memperlekeh skuad bimbingan Datuk M.Karathu, namun Kim Swee ketika dihubungi Suara Sukan menegaskan moral dan keyakinan pemainnya ketika ini berada di tahap tinggi, dan mahu mereka beraksi seolah-olah bermain di gelanggang sendiri, seterusnya mengegar SSM4 yang dijangka dipenuhi lebih 20 ribu penyokong tuan rumah. 

Kali terakhir Red Warriors tunduk di gelanggang sendiri, adalah kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia musim lalu, dan skuad bimbingan Datuk M.Karathu ketika ini menerajui persada liga dengan hanya kelebihan jaringan ke atas dua pencabar terdekat, Felda United dan Selangor, yang mana kesemuanya mengutip 14 mata.
 
Kim Swee berkata kedudukan selaku pendahulu memberi tekanan besar kepada Kelantan, yang pastinya tidak mahu melepaskan cengkaman di tangga teratas, tatkala moral di kem Kelantan dilihat sedikit merudum ekoran kekalahan pertama kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, kira-kira dua minggu lalu.

Menyentuh persiapan pasukannya, Kim Swee berkata Harimau Muda akan turun tanpa kelibat tiga tonggak utama – Muslim Ahmad, Faizal Muhamad dan Gary Steven Robbat yang cedera namun menegaskan itu tidak akan menjadi masalah, kerana beberapa pemain lain berpotensi mengisi kekosongan ditinggalkan tiga pemain itu.
Norshahrul, ayam tambatan Kelantan

Beliau yakin Kelantan akan sekali lagi mempertaruhkan ketajaman sentuhan penyudah penjaring terbanyak mereka, Norshahrul idlan Talaha untuk meledak gawang pasukannya, namun berpendapat barisan pertahanannya mempunyai ramuan diperlukan untuk menyekat pergerakan Norshahrul, apatah lagi kebanyakan pemain Harimau Muda pernah beraksi bersamanya. 

Harimau Muda ketika ini berada di tangga ketujuh Liga Super, 1 mata di belakang pasukan tangga keenam, Pahang dan 5 mata di belakang Kelantan.

Terkini : Keadaan Malek Stabil, Perlu Berehat


Keadaan jaguh bina badan negara, Dato’ Malek Noor, yang dikejarkan ke Hospital Pantai, Ipoh akibat serangan sakit jantung pada Rabu, dilaporkan sudah mula stabil. 

Pengurus Keahlian Yayasan Kebajikan Atlet, Aminuddin Hassan yang dihubungi pagi tadi berkata Malek sudah boleh menggerakkan tangan dan mula memberi respon, namun dinasihatkan doktor agar berehat, kerana dalam keadaannya yang lemah ketika ini, apa-apa kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh 48 jam akan datang.
Penulis & Dato' Malek Noor
Dato' Malek, seorang yang menghiburkan.
Malek diserang sakit jantung, ketika menyertai Perlawanan Bolasepak Amal antara barisan bekas pemain kebangsaan, menentang Skuad Pilihan MB Perak di Ipoh, di mana sebelum itu beliau bersama rakan atlet lain sempat menikmati makan petang dan buah-buahan tempatan milik Koperasi Atlet Malaysia Berhad (KAMB) di Tanjung Tualang.

Malek Noor Kritikal, Dikejarkan Ke Hospital Ipoh


Perlawanan Bolasepak Amal YAKEB-MB Perak baru lima minit bermula, Dato’ Malek Noor yang diletakkan sebagai penjaga gol belum pun beraksi mahupun menyentuh bola walau sekali apabila beberapa rakan atlet berlari ke arah gawang gol untuk memberi bantuan kepadanya.

Sekali pandang, ia seolah beliau sekadar melawak tangannya tersangkut di jaring apatah lagi Malek memang dikenali sebagai seorang yang menghiburkan. 

Namun, tanggapan itu jauh meleset, beliau mengalami pening kepala dan keadaannya didapati lebih serius daripada dijangka, dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun untuk rawatan lanjut, dan diberitakan diserang sakit jantung.
Rakan-Rakan Sabar Menanti Di Lobi Hospital Pantai

Dato' Mumtaz Jaafar, Pengerusi Eksekutif YAKEB


Pengerusi Eksekutif YAKEB, yang juga rakan baik Malek, Dato’ Paduka Mumtaz Jaafar bergegas ke hospital selepas menerima perkhabaran itu, sebelum rombongan YAKEB yang lain menyusul sejurus tamat perlawanan. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Keadaan Malek, bekas Mr.Universe dan Mr.Asia, dilaporkan agak kritikal dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pantai Ipoh, sebelum dilaporkan sedikit stabil dengan Mumtaz dan Pengurus Keahlian YAKEB, Aminuddin Hassan memilih untuk menemani Malek di Hospital.

Sehingga ke jam 7 pagi ini, Mumtaz dan Aminuddin masih di Hospital, dengan keadaan Malek dilaporkan bertambah baik. Sama-sama kita doakan tiada apa yang buruk berlaku, dan Malek segera sembuh dan dibenarkan pulang.

Lagenda Bolasepak Kebangsaan Menang Di Ipoh, Sentuhan Azlisham & Karim Pin Masih Berbisa


Jaringan yang terhasil hanyalah satu, di mana barisan bekas pemain bolasepak kebangsaan yang membawa nama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menang 1-0 hasil jaringan Shahrin Majid ke atas skuad pilihan Menteri Besar Perak, di Stadium Ipoh pada Rabu.


Namun bukan itu tumpuannya, sebaliknya apa yang lebih menarik, peluang menyaksikan kelibat bekas wira negara suatu ketika dahulu baik bagi pasukan YAKEB, mahupun skuad MB Perak.

Kelibat 4 pemain yang pernah beraksi di Olimpik – Bakri Ibni, Hamzah Hussin,Khalid Ali dan Syukur Salleh serta tiga rakan karib, Mat Zan Mat Aris, Razip Ismail dan Reduan Abdullah nyata masih berjaya memukau ratusan peminat yang hadir memberikan sokongan, tatkala nama-nama seperti Azizul Abu Hanifa, P.Umaparan, Chan Kok Heng dan Ahmad Shahrul Azhar mencuri tumpuan bagi barisan pilihan MB Perak.

Agak bertuah rasanya, menyertai rombongan dan menyaksikan sendiri aksi hebat yang sebelum ini hanya dapat didengar melalui orang-orang lama.

Penulis (Tengah) Bersama Mat Zan (Kiri), Ahmad Yusof & Dato Ghani Minhat
Razip & Kamarulzaman
Hamzah misalnya, masih belum kehilangan sentuhan emas yang pernah mengangkat namanya selaku permata bolasepak negara, namun pujian buat kesemua barisan pemain yang berjaya membuktikan mengapa mereka layak dilabel lagenda bolasepak negara.

Azlisham Ibrahim
Apapun, pemain paling cemerlang di atas padang pastinya bekas penjaga gol kebangsaan yang pernah mewakili beberapa pasukan negeri antaranya Selangor, Perak dan Negeri Sembilan, Azlisham Ibrahim

Pada usia 38 tahun, Azlisham atau lebih glamer dengan panggilan “Boy” membuktikan kudratnya masih berbisa, dengan beberapa aksi menyelamat menarik, termasuk percubaan MB Perak sendiri, Dato Sri Dr.Zambry Abdul Kadir.
Karim Pin (Kiri) & Dato Ghani

Manakala Karim Pin pula, ibarat lipas kudung di mana larian deras serta skill individunya kerap kali memporak-perandakan pertahanan lawan, sehingga adakalanya memaksa terjahan keras dilakukan pasukan lawan. 17 tahun bersara, Karim, 49 tahun, seolah tidak kenal erti penat apabila sering kali turun naik sekaligus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan.

Wednesday, March 30, 2011

Kelayakan Olimpik & Piala Dunia : Tuah Undian Tetap Tidak Membawa Tuah Jika Tiada Tuah – Ghani Minhat


Debaran panjang untuk mengetahui siapa lawan skuad bolasepak Olimpik dan Piala Dunia terjawab hari ini. 

Pastinya ramai yang menarik nafas lega, Skuad Olimpik diundi menentang Lubnan, pasukan di tangga ke 169 dunia mengikut ranking baru FIFA, manakala skuad senior pula dihadiahkan pertemuan menentang pasukan di tangga ke 147 dunia, Taiwan. Ini boleh disifatkan tuah undian, apatah lagi berjaya mengelak beberapa nama besar  seperti Jepun, Arab Saudi, Iran, Australia mahupun Bahrain.

Kini, laluan untuk mencipta sejarah baru bolasepak tanah air terletak sepenuhnya di tangan K.Rajagobal dan Ong Kim Swee namun apakah benar cabaran Lubnan (Pusingan Kedua Kelayakan Olimpik) dan Taiwan (Pusingan Awal Kelayakan Piala Dunia) boleh dipandang enteng, pada ketika cabaran dihadirkan mana-mana pasukan pada tahap ini pastinya sukar diramal.

4 tahun lalu, Malaysia tersingkir di pusingan awal Kelayakan Piala Dunia, tewas secara aggregat 1-4 kepada Bahrain namun tiada harapan tinggi diletakkan ketika itu. 

Berbeza kali ini, status selaku Juara Piala AFF Suzuki serta peningkatan ditunjukkan baik skuad Olimpik, mahupun skuad Senior, menyaksikan harapan tinggi diletakkan jutaan peminat bolasepak tanah air sekaligus mengundang tekanan yang tidak sepatutnya.

Bagi Raja Bolasepak negara, Dato’ Ghani Minhat, status pasukan lawan sama ada pilihan ataupun underdog tidak membawa sebarang makna sekiranya kelemahan itu datangnya daripada pasukan kita sendiri. 

Ghani yang mewarnai arena bolasepak tanah air dengan aksi lincahnya pada 1950-an berpendapat siapapun lawan skuad negara, Olimpik mahupun Piala Dunia, jika semangat sepasukan dan patriotik tidak dapat ditonjolkan, lawan skuad kerdil seperti Kemboja sekalipun tidak mungkin boleh menang. 

Tambahnya, tiada istilah tuah undian sekiranya pasukan negara tidak memiliki tuah untuk mara lebih jauh.

Bagi bekas pemain tengah kebangsaan, Khalid Ali, beliau berpendapat Taiwan mungkin lawan yang mudah untuk dijinakkan skuad senior negara, namun  apabila bertemu Singapura di Pusingan Kedua, mereka perlu berada pada tahap ‘extra-ordinary’ dalam semua aspek, terutamanya kecergasan dan persediaan mental. 

Menurutnya kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki tidak boleh dijadikan penanda aras kemampuan skuad senior negara, kerana ia hanyalah kejohanan membabitkan negara Asia Tenggara dan pada tahap pertandingan lebih besar, segala-galanya berbeza dan pemain harus mempunyai keyakinan tinggi, bukannya ‘over-confident’. 

Menyentuh mengenai skuad Olimpik, Khalid menegaskan adalah penting pemain-pemain muda dalam skuad Kim Swee mengekalkan prestasi mengagumkan ketika ini, tetapi jangan sekali-kali mengharapkan tuah nasib semata-mata.

Malah, beberapa bekas pemain kebangsaan lain seperti Zulkifli Ahmad, Karim Pin, Kamarulzaman Yusoff dan Bakri Ibni turut berpandangan sama justeru Rajagobal pastinya tidak mahu barisan pemainnya mengambil mudah pertemuan menentang Taiwan yang dijadual 29 Jun dan 3 Julai depan.

Adalah silap jika pasukan negara memilih untuk mempamer prestasi sama ketika menentang Vietnam pada separuh akhir Piala AFF Suzuki tahun lalu, di mana kita menang 2-0 di laman sendiri, dan aksi negatif di Hanoi hampir menyaksikan Malaysia berputih mata, sekadar seri 0-0, dan mara diiringi tuah.

Kepada skuad Senior dan Olimpik, selamat maju jaya dari Suara Sukan 1 Mas, Suara Sukan Anda.
  

‘Orang Besi’, Wira Olimpik Kembali Beraksi


Masih ingatkah anda nama Mat Zan Mat Aris, bekas pemain yang membina pertahanan ampuh skuad kebangsaan dan Kuala Lumpur di era kegemilangan skuad warga kota suatu ketika dahulu? Pernah digelar ‘orang besi’ dek aksi bertenaga dan meyakinkan di barisan pertahanan, peminat bolasepak tempatan berpeluang menyaksikan kelibat Mat Zan yang kini membimbing skuad Liga Perdana Pos Malaysia apabila beliau turun beraksi bersama barisan bekas pemain dan lagenda skuad bolasepak kebangsaan malam ini, menentang barisan pilihan Menteri Besar Perak, di Stadium Ipoh.

Turut beraksi selain Mat Zan, nama-nama besar arena bolasepak tempatan yang pernah mempamer kelibat di Sukan Olimpik seperti Namad Abdullah, Khalid Ali, Hassan Sani dan Hamzah Hussin. Turut tidak ketinggalan, Shukor Salleh, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Karim Pin, K.Gunalan, Kamarulzaman Yusoff, Azlisham Ibrahim, Shahrin Majid dan ramai lagi pemain yang pernah mengharumkan nama negara.

Mereka akan beraksi membawa nama yayasan kebajikan Atlet Kebangsaan, kepada peminat bolasepak yang merindui aksi wira bolasepak negara ini, jangan ketinggalan berkunjung ke Stadium Ipoh, malam ini, perlawanan bermula jam 8 malam.

Turut hadir memberikan sokongan : Raja Bola, Dato’ Ghani Minhat, Dato’ Malek Noor bekas Mr.Universe dan Mr.Asia, serta Pengerusi Eksekutif Yakeb, Dato’ Paduka Dr.Mumtaz Jaafar.

Sekilas Kelayakan Euro 2012 : Oranje Berpesta, Juara Dunia Bergaya


Awal pagi tadi, berlangsung lagi beberapa perlawanan Kelayakan Euro 2012, dengan yang menjadi tumpuan, pesta gol di Armsterdam tatkala dua gol lewat Dirk Kuyt membantu Belanda mencatat kemenangan dramatik 5-3 ke atas Hungary, sekaligus mengekalkan rekod sempurna tanpa tewas dalam Kumpulan E.

Skuad Oranje sebelum itu ketinggalan selepas jaringan Zoltan Gera dan Gergely Rudolph memadam kelebihan awal ciptaan Robin Van Persie. Aksi berbalas jaringan menyaksikan Wesley Sneijder dan Ruud Van Nisterooy kembali meletakkan Belanda mendahului 3-2, sebelum Gera sekali lagi menyamakan kedudukan 3-3. 

Dua gol Kuyt di penghujung permainan memberikan 3 mata buat Oranje, sekaligus memberi kelebihan 9 mata ke atas pasukan tangga kedua, Sweden yang menewaskan Moldova 2-1, hasil jaringan Mikael Lustig dan Sebastian Larsson.

Sepanyol pula, menang 3-1 ke atas Lithuania hasil jaringan Xavi, gol sendiri Tadas Kijankas dan Juan Mata tujuh minit sebelum tamat permainan, manakala Republik Czech bangkit daripada kekalahan kepada Sepanyol minggu lalu untuk menewaskan Liechtenstein 2-0.

Keputusan lain :
Turki                  2-0          Austria
Belgium              4-1          Azerbaijan
Estonia               1-1          Serbia
Slovenia             0-0          Ireland Utara
Romania             3-1          Luxembourg
Israel                  1-0          Georgia